Arkib Blog
-
▼
2010
(55)
-
▼
September
(10)
- Hayatilah Sifat Mahmudah dan Jauhi Sifat Mazmumah
- “Hisablah dirimu sebelum Allah menghisabmu”. (Imam...
- Tiga Kebahagiaan Anak Adam
- Ciri-ciri Kesempurnaan Iman
- Golongan Yang Menjadi Musuh dan Kawan Iblis.
- Senjata Untuk Menghancurkan Iblis laknatullah
- Munajat Kepada Allah di Akhir Ramadhan
- Teruskan Beramal dan Berzakat Fitrah Tanda Hamba Y...
- Menggapai Kasih Sayang Allah...
- Sifat Syurga dan Penduduknya
-
▼
September
(10)
Sabtu, 25 September 2010
Tiga Kebahagiaan Anak Adam
Tiga Kebahagiaan Anak Adam
Sahabat yang dirahmati Allah,
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "Kebahagiaan bagi anak Adam ada tiga. Dan kesengsaraan terhadap anak Adam ada tiga. Maka di antara yang membahagiakan adalah isteri yang solehah, kenderaan yang baik serta rumah yang lapang. Dan kesengsaraan bagi anak Adam ada tiga iaitu tempat yang tidak baik dan isteri yang tidak baik serta kenderaan yang tidak baik."
Setiap manusia inginkan kebahagiaan dalam kehidupan. Tanpa kebahagiaan hidup manusia seolah-olah hilang keselesaan dan kesempurnaan. Nabi s.a.w menjelaskan bahawa ada tiga kebahagiaan anak Adam iaitu 1. isteri yang solehah. 2. kenderaan yang baik dan 3. rumah yang lapang.
Pertama : Isteri yang solehah.
Sabda Rasullah s.a.w: “Dunia itu adalah kenikmatan dan sebaik-baik kenikmatan dunia ialah wanita yang solehah.” (Hadis Riwayat Muslim)
Agama merupakan faktor terpenting dalam mendapatkan kebahagiaan rumah tangga. Namun, tidak ramai di kalangan umat manusia pada zaman ini yang meneliti dan mengambil faedah daripada panduan agama dalam memilih calon isteri. Ramai di kalangan kita yang masih tidak menyedari bahawa faktor ini berupaya memberikan kebahagiaan dan keuntungan dunia dan akhirat.
Wanita yang beragama sentiasa mentaati Allah dan Rasul-Nya. Menjaga maruah diri dan ibu bapa, menundukkan pandangan di hadapan lelaki yang bukan mahram, berusaha menuntut ilmu, memahami dan mengamalkan apa yang difahaminya. Sentiasa bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan pelbagai amalan wajib dan sunat.
Wanita yang terdidik dengan agama akan sentiasa memastikan dirinya bersih, kemas dan cantik. Ini kerana agama memerintahkan dia melakukan demikian. Semua itu dilakukan ikhlas kerana Allah berserta keyakinan bahawa dia akan dibalas dengan pahala di sisi Tuhannya.
Dia sentiasa memelihara diri dan menutup aurat dari pandangan lelaki yang bukan mahram. Percakapan yang lembut dan tepat seringkali menjadikan dirinya disukai dan disayangi oleh sesiapa sahaja yang mengenalinya. Masa yang terluang sentiasa dipenuhi dengan aktiviti yang berfaedah dan demi kebaikan diri serta agama.
Isteri solehah adalah idaman setiap suami yang soleh. Bila suami memandangnya terasa sejuk hati suami dan terbina rasa kasih dan sayang. Bila suaminya diluar rumah teringat akan kebaikan akhlak isterinya dan layanan istimewa yang diterima dari isteri yang tercinta.
Isteri yang solehah adalah wanita yang beriman kepada Allah s.w.t. dan rukun-rukun Iman yang lain. Mempunyai akhlak yang mulia, hati yang bersih daripada sifat-sifat mazmumah dan sentiasa melaksanakan tanggungjawabnya untuk memastikan rumahtangga yang terbina adalah rumahtangga Islam (baitul Muslim). Semua masa dan waktunya dipergunakan dengan sebaik-baiknya untuk mencari keredhaan Allah s.w.t.
Di dalam Al-Qur'an dan hadis Nabi s.a.w. terdapat beberapa tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh setiap isteri yang solehah.
Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :
1. Sentiasa malu kepada suami.
2. Menutup keaifan suami dan tidak menceritakan kepada orang lain.
3. Mentaati perintah suami dan tidak suka berbalah dengan suami.
4. Diam ketika suaminya sedang berbicara.
5. Berdiri ketika suaminya pulang dan ketika keluar.
6. Dekatkan dirinya kepada suaminya (ketika tidur).
7. Memakai wangi-wangian hanya untuk suami.
8. Memelihara mulutnya dengan bersugi dan dengan bau-bauan yang harum.
9. Sentiasa berhias di hadapan suami.
10. Tidak berhias ketika suami tidak ada.
11. Tidak berkhianat kepada suaminya ketika tidak ada ditempat tidur.
12. Menghormati keluarga suami dan kerabatnya.
13. Merasa puas dan bersyukur jika di beri sedikit oleh suami.
14. Tidak menolak ajakan suami (untuk bersanggama).
15. Tidak boleh berpuasa sunat kecuali mendapat keizinan daripada suami.
16. Tidak boleh keluar rumah kecuali mendapat keizinan daripada suami.
17. Tidak membenarkan masuk ke dalam rumah orang yang tidak diredhai oleh suami.
18. Memelihara harta suami.
19. Tidak berbicara kepada setiap orang dengan perkataan yang lunak.
20. Menjauhkan diri dari tempat-tempat yang jelek.
21. Mampu melahirkan ramai anak.
22.Wanita yang kematian suami dan ia mempunyai anak-anak yang masih kecil, lalu ia mengekang dirinya hanya untuk mengurusi anak-anaknya dan mendidik mereka serta memperlakukannya dengan baik.
23. Tidak mengadu domba dan mengumpat.
24. Memelihara auratnya.
25. Tidak menyakiti suaminya.
26. Mengutamakan solat di rumah dari di masjid kecuali untuk mengikuti majlis ilmu dengan izin suaminya.
27. Tidak memakai perhiasan yang berlebihan ketika keluar rumah.
28. Tidak berjalan dengan gaya yang jelek.
29. Suaminya merasa senang dan rasa kasih apabila memandangnya.
30. Menahan pandangan (tidak liar pandangannya).
31. Mendidik anak-anak dengan iman dan takwa.
32. Banyak bersabar dalam menempuh segala kesusahan dan ujian Allah, dan dalam mengerjakan perintah-perintah Allah.
33. Menjaga rahsia suami dan tidak menceritakannya walaupun kepada ibu bapanya.
Sekiranya setiap wanita Islam yang telah berumahtangga, yang ingin mendapat keredhaan Allah s.w.t. di dunia dan di akhirat perlulah memiliki ciri-ciri sebagai isteri solehah seperti yang di nyatakan di atas. Wanita yang derhaka kepada suaminya dan tidak mempunyai alasan yang dibenarkan oleh syarak maka jika ia mati (tidak mendapat keampunan dari suaminya), maka ia tidak akan dapat mencium bau Syurga. Terdapat ramai dikalangan ahli Neraka adalah terdiri daripada kaum wanita, salah satu kesalahan mereka adalah kerana derhaka kepada suami.
Oleh itu bersiapkanlah diri kalian untuk menjadi isteri solehah kerana sesungguhnya redha Allah bergantung kepada redha suami kepadamu. Inilah ciri pertama yang membawa kebahagiaan anak Adam
Kedua : Kenderaan yang baik.
Hidup di dalam dunia penuh cabaran dan cangih memiliki kenderaan adalah satu keperluan bukannya kemewahan. Kenderaan yang baik adalah kenderaan yang dibeli secara tunai, jika tidak berkemampuan hendaklah dibeli dengan mengunakan sistem pinjaman cara Islam iaitu bebas daripada sistem riba'. Jenis dan kualiti kenderaan adalah bergantung kepada kemampuan kewangan kita. Carilah kenderaan yang berkualiti dan murah penyelengaraannya.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud : “Hai orang-orang yang beriman , bertakwalah kepada Allah dan tinggalkanlah riba’ (yang belum di pungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba’) maka ketahuilah , bahawa Allah dan RasulNya akan memerangimu . Dan jika kamu bertaubat (dari mengambil riba’), maka bagimu pokok hartamu, kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.”
(Surah Al- Baqarah ayat 278-279)
Kenderaan yang baik adalah kenderaan yang sentiasa dijaga dengan baik dan di servis setiap kali habis tempuh perjalanan yang ditetapkan. Dipereksa tayar, bateri, lampu, brek, minyak hitam dan injen supaya kenderaan tersebut tidak membahayakan pemandu dan penumpangnya bila digunakan dijalan raya. Kita sering dengar kemalangan berlaku disebabkan kerosakkan brek atau tayar botak dan ianya akan membahayakan keselamatan terutama bila waktu hujan.
Selain pembelian pinjaman secara Islam , insuran untuk kenderaan juga perlulah diambil takaful (insuran Islam) supaya kita tidak terikat dengan riba' yang diharamkan oleh Allah s.w.t.
Kenderaan yang baik adalah kenderaan yang akan digunakan untuk mencari rezeki halal, untuk solat berjemaah dimasjid dan kuliah agama dan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti dakwah dan kerja-kerja kebajikan. Kenderaan ini juga akan menjadi saksi dihadapan Allah bahawa kita gunakan kenderaan ini untuk jalan kebaikan dan ia tidak digunakan untuk melakukan maksiat kepada Allah s.w.t.
Ketiga : Rumah yang lapang.
Pertama perlu diambil perhatian bahawa pembelian rumah hendaklah mengikut syariat Islam iaitu pembeliaan mengunakan pinjaman cara Islam samaada BBA atau murabahah. Rumah yang dibeli dengan cara riba' akan mendapat kemurkaan Allah s.w.t kerana sistem riba' telah diharamkan oleh Allah s.w.t.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “ Selagi akan terjadi dan nyata pada akhir zaman empat macam di kerjakan manusia :
Pertama : orang-orang (mudah sahaja mengerjakan riba’ dan) memakan harta riba’.
Kedua : orang-orang (dengan tak merasa takut-takut) mengerjakan zina.
Ketiga : orang-orang (sering) bersumpah (walau pun palsu , tak ambil peduli)
Keempat : orang-orang (suka) mengurangkan sukatan atau timbangan (pada jual beli)
Maka apabila berlaku dan telah nyata (di lakukan orang-orang seperti di lakukan itu) akan bertebaranlah penyakit dan bala yang akan di turunkan Allah dengan perang setengah akan setengahnya.”
Rumah merupakan tempat pertama sesi pendidikan bermula sebelum masuknya anak kita ke alam persekolahan. Guru yang pertama adalah isteri kita sendiri sebab itulah wanita yang solehah merupakan asas dan tunjang utama dalam kebahagiaan anak adam kerana merekalah yang akan menjadi pendidik pertama kepada bakal-bakal da'i yang akan datang selepas kita. Kelahiran rumah yang lapang dan selesa ini akan memberi kemudahan dan ketenangan semasa proses didikan berjalan di rumah. Pendidikan kepada anak-anak khususnya, perlu kepada suasana yang tenteram dan harmoni. Dari suasana inilah yang akan membentuk jiwa dan akhlak mereka.
Bukan ini sahaja malahan suasana begini akan dapat mengisi ketenteraman jiwa kepada para da'i setelah sibuk berjuang dan menghadapi masyarakat jahiliah yang penuh dengan maksiat dan kemungkaran. Rumah yang lapang adalah rumah yang sempurna dari segi kedudukannya, kebersihannya dan kemudahan-kemudahan asas. Sebaik-baiknya eloklah seseorang itu membuat pelan rumah itu sendiri bagi menyusun sendiri struktur rumah antara ruang tamu, bilik dan sebagainya. Bilik-bilik yang asas adalah untuk ibu bapa sendiri, bilik untuk anak perempuan, bilik untuk anak lelaki, bilik pembantu rumah, bilik tetamu, bilik perpustakaan kecil dan bilik solat.
Untuk bilik perpustakaan kecil yang dipenuhi dengan buku-buku dan majalah-majalah Islam untuk meningkatkan ilmu syara dan ilmu waqei (realiti). Dari segi kebersihan pula sentiasa diuruskan dengan sempurna. Tidak dibiarkan kotoran dan abuk-abuk begitu saja. Dari pandangan luarnya sudah cukup menerangkan sifat dan akhlak penghuninya. Di keliling rumah ditanami sedikit bunga sebagai perhiasan, dipotong mana-mana rumput yang panjang dan dicat sekadarnya untuk memberi pandangan luar yang lebih elok.
Perhiasan yang mahal-mahal dan perabut yang mewah jika boleh dikurangkan kerana sifat seorang Mukmin ia tidak suka kepada kemegahan dan pembaziran. Lebih baik wang yang berlebihan disimpan untuk pendidikan anak-anak. Segala alat-alat moden yang boleh menjimatkan masa dan memudahkan kerja-kerja rumah adalah perlu digunakan sepenuhnya bergantung kepada kemampuan masing-masing. Kerana dengan ini akan lebih memberi kemudahan dan keselesaan.
Janganlah jadikan patung-patung manusia atau binatang menjadi perhiasan rumah. Jangan gantung gambar keluarga di dinding-dinding rumah. Malaikat rahmat tidak masuk di dalam rumah yang ada patung-patung makhluk yang bernyawa. Rumah yang lapang juga sentiasa bersedia untuk digunakan dalam rangka menjalankan aktiviti-aktiviti pengajian dan pendidikan Islam.
Rumah yang lapang dan selesa adalah penghuninya sentiasa membaca al-Qur'an, berzikir, membuat solat-solat sunat dan jika berkemampuan panggil guru datang kerumah untuk mengajar anak-anak membaca al-Qur'an dan membuat pengajian ilmu Islam. Rumah seperti ini akan menjadikan penghuninya sentiasa tenteram dan tenang hatinya kerana malaikat rahmat akan sentiasa mengunjungi rumah tersebut.
Rumah yang baik juga sentiasa di datangi tetamu kerana tetamu yang hadir membawa rezeki dan bila tetamu balik dosa penghuni rumah itu akan di ampunkan oleh Allah s.w.t.
Nabi s.a.w berwasiat kepada Sayyidina Ali k.w maksudnya : "Wahai Ali ! Anjurkanlah berbuat baik kepada mereka yang sedang ceria wajahnya. Dan hormatilah tetamu sebab rezeki tetamu yang singgah kerumah sesaorang pun ikut singgah di situ. Dan kalau ia meninggalkan rumah itu, dosa penghuni rumah itu lenyap bersama kepergian tetamu tersebut. Lalu terhapuslah dosa-dosa itu jauh ditengah lautan."
"Wahai Ali ! Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang ada lukisannya atau patung atau orang yang menyakiti kedua orang tuanya atau rumah yang tidak pernah dikunjungi tetamu."
Nabi s.a.w menyatakan juga bahawa kesengsaraan bagi anak Adam ada tiga iaitu 1. tempat yang tidak baik dan 2. isteri yang tidak baik serta 3. kenderaan yang tidak baik.
Pertama : Tempat yang tidak baik .
Rumah seperti ini adalah rumah yang sempit iaitu tidak ada dikerjakan ibadah-ibadat sunat di dalamnya seperti bacaan al-Qur'an, zikir, solat dan majlis ilmu. Rumah yang sentiasa dimeriahkan dengan filem-filem melalui CD, didengarkan muzik-muzik yang melalaikan akan mematikan hati penghuni rumah tersebut, dan dihiasi pula dengan patung-patung binatang maka malaikat rahmat yang membawa rezeki tak akan singah dirumah tersebut. Rumah seperti ini disukai oleh jin kafir dan syaitan.
Kedua : Isteri yang tidak baik.
Isteri yang tidak baik adalah isteri yang suka menderhakai suaminya, tidak menghormati suami dan keluarga suami. Isteri seperti ini suka pada hiburan, bermegah dengan perabut dan perhiasan mewah untuk kebangaan. Utamakan kebendaan lebih daripada kehidupan dihari akhirat. Suka berhias diri untuk orang lain bukan untuk suami dan tidak suka pada majlis ilmu dan pengajian Islam.
Ketiga :
Kenderaan yang tidak baik. Kenderaan yang kerap kali rosak dan sentiasa dibaiki dan kerap kali menyusahkan pemiliknya.
Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita memiliki dan mencari tiga kebahagiaan anak Adam seperti yang dinyatakan hadis di atas supaya dengan kebahagiaan yang kita perolehi di dunia sebenarnya ada kaitan dengan keimanan dan kebahagiaan kita dihari akhirat. Kerana dunia adalah jambatan menuju ke hari akhirat.
Isteri yang solehah, kenderaan yang baik dan rumah yang lapang adalah wasilah menuju ke hari akhirat. Jika ianya baik maka ianya memudahkan proses kita bertemu Allah s.w.t. Begitulah sebaliknya jika di dunia lagi kita memiliki tiga kesengsaraan maka ianya akan menyulitkan urusan kita menuju ke hari akhirat terutama perkara pertama memiliki isteri yang tidak baik. Kita akan menghadapai banyak masaalah untuk menjawab persoalan pertama yang akan ditanya oleh Allah s.w.t. dihari akhirat nanti.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Puas hati baca.Biasa baca buku apa sis?
BalasPadam