Isnin, 29 November 2010

Siapakah Pendusta Agama?



Sahabat yang dirahmati Allah,

Menyayangi dan memelihara anak yatim adalah sebagai satu kewajipan yang diperintahkan oleh Allah s.w.t kepada setiap orang Islam. Dan ia adalah salah satu usaha murni untuk memperjuangkan Islam yang jarang dilakukan orang. Oleh itu untuk megatasi masalah sosial yang timbul disebabkan empat perkara iaitu iaitu :


1. Tidak memuliakan anak yatim.

2. Tidak memberi makan orang miskin.

3. Memakan harta pusaka dengan cara yang tidak benar dan

4. Mencintai harta benda secara berlebihan.


Firman Allah s.w.t maksudnya : "Adapun manusia apabila Rabb-nya mengujinya lalu dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia berkata : “Rabb-ku telah memuliakanku”. (15) Adapun bila Rabb-nya mengujinya lalu membatasi rezekinya, maka dia berkata : “Rabb-ku menghinakanku.” (16) Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya kamu tidak memuliakan anak yatim, (17) dan kamu tidak saling mengajak memberi makan orang miskin, (18) dan kamu memakan harta pusaka dengan cara mencampurbaurkan (yang halal dan yang bathil), (19) dan kamu mencintai harta benda dengan kecintaan yang berlebihan. (20)"

( Surah al-Fajr ayat 15-20)

Allah s.w.t. berfirman di dalam ayat diatas bahawa Allah s.w.t menempelak orang yang mengatakan ia dimuliakan sebab memiliki harta dan di luaskan rezekinya dan meyakini bahawa hal itu dari Allah s.w.t. sebagai penghormatan baginya. Padahal tidak demikian, tetapi itu adalah sebagai cobaan baginya.Begitu juga apabila Allah s.w.t membataskan rezeki untuknya ia mengatakan Allah menghinanya sedangkan ini semua adalah ujian daripada-Nya.

Syeikh Muhammad Abduh berkata, “Allah berkali-kali menegaskan wasiat tentang anak yatim dalam al-Quran dan as-Sunnah. Cukuplah bagimu untuk diketahui bahawa al-Quran melarang mengherdik anak yatim dan mengancam dengan ancaman yang berat kepada orang yang memakan harta anak yatim. Anak yatim itu memerlukan kasih sayang fitriah untuk membantu, mendidik dam memelihara hak-haknya.”

Pada ketika ini, kita sering melihat pemimpin Islam hidup dalam kemewahan sedangkan orang fakir miskin sedang menderita megharapkan pembelaan, mereka menangis kesedihan kerana tidak cukup perbelanjaan harian, tidak memiliki tempat tinggal dan tidak mempunyai pendapatan yang tetap dan tidak mampu untuk menampung keperluan hidup yang sentiasa meningkat. Pemimpin Islam sepatutnya pemimpin yang memihak rakyat bawahan, bukan mengutamakan kroni dan ahli keluarga sahaja atau penyokong-penyokong mereka yang hidup di persekitaran kalangan mereka sahaja.

Pemimpin umat Islam seharusnya memilih hidup yang sederhana, kerana sebahagian umat Islam yang lain masih hidup dibawah aras kemiskinan. Demikian juga dengan Jemaah Islam seharusnya memberi sumbangan dan bantuan untuk menggembirakan mereka yang miskin, teraniaya, dianiayai atau yang tertindas oleh beban hutang.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apabila masyarakat sudah membenci orang miskin dan menonjol-nonjolkan kehidupan dunia serta rakus dalam mengumpulkan harta, maka mereka akan ditimpa empat bencana, iaitu zaman yang berat, pemimpin yang zalim, penegak hukum yang khianat dan musuh yang mengancam.”

Daripada sabda Rasulullah s.a.w ini, kita dapat mengambil pelajaran bahawa munculnya masalah atau kesulitan ekonomi, kemunculan ramai pemimpin yang zalim, berlakunya pengkhianatan oleh penegak hukum adalah disebabkan oleh terabainya nasib orang-orang miskin dan keasyikan mengumpul kekayaan.

Ibnu Hazm mengatakan bahawa : "Kemiskinan hanya dapat diatasi dengan kesediaan orang kaya memberikan hak orang miskin yang diamanahkan Allah s.w.t. kepadanya"

Firman Allah s.w.t maksudnya : “Dan nafkahkanlah sebahagian daripada hartamu yang Allah telah menjadikan kamu menguasainya.” (Surah al-Hadid ayat 7)

Sahabat yang dimuliakan,

Bahawa kemiskinan yang berlaku dalam masyarakat kita adalah tanggungjawab kita bersama. Menolong dan membela yang lemah, miskin dan kurang upaya adalah ciri-ciri orang yang bertaqwa .

Firman Allah s.w.t. maksudnya : "Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaipan meminta sedekah) dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya)."

(Surah al-Baqarah ayat 197).

Inilah yang dikatakan golongan pendusta agama yang mengabaikan nasib golongan yang lemah dan miskin dan tidak bersungguh-sungguh membantu mereka, enggan memberikan pertolongan. Manusia yang tidak pernah sensitif dan peka dengan masalah anak yatim dan fakir miskin atau melalaikan solat serta berbuat riak, disebut oleh Allah s.w.t sebagai pendusta agama.

Hal ini dijelaskan di dalam al-Quran, iaitu pada surah al-Maa’uun. Surah ini merupakan surah ke-110 di dalam al-Quran dan termasuk golongan surah Makkiyyah (surah yang diturunkan di Mekah).

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama? Itulah orang yang menghardik anak yatim, dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin. Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat, (ia itu) orang-orang yang lalai dari solatnya. orang-orang yang berbuat riya . dan enggan (menolong dengan) barang berguna."

(Surah al- Maa'uun ayat 1-7)

Nama al-Maa’uun diambil daripada kata al-Maa’uun yang terdapat pada ayat terakhir surah ini yang bererti `barang-barang yang berguna’. Surah ini juga disebut surah at-Takzib yang bererti pendustaan kerana di dalamnya dipaparkan perilaku orang yang mendustakan agama.

Bagi manusia yang mempunyai sifat-sifat seperti yang digambarkan dalam surah al-Maa’uun, Allah s.w.t menjanjikan pembalasan dan siksaan Neraka. Orang yang memiliki sikap seperti yang digambarkan dalam surah al-Maa’uun telah kehilangan kepekaan kepada masyarakat . Mereka tidak mahu untuk mengeluarkan hartanya sedikit pun untuk sesama manusia.

Dalam hati mereka tidak ada rasa belas kasihan untuk membantu memenuhi keperluan masyarakat. Inilah yang dimaksudkan dengan orang-orang yang `menolak memberi bantuan’ pada akhir surah ini.

Surah al-Maa’uun memaparkan perilaku manusia dalam kehidupan sosial yang dikategorikan sebagai pendusta agama. Mereka memiliki kebiasaan mengherdik anak yatim dan tidak memberi makanan kepada fakir miskin. Perilaku seperti ini merupakan cerminan sikap takbur dalam diri sendiri. Mereka menganggap anak yatim serta fakir miskin sebagai anggota masyarakat yang rendah dan hina.

Surah al-Maa’uun juga memperlihatkan perilaku manusia dalam beribadah yang dikategorikan pendusta agama. Mereka melalaikan solat, dalam erti melaksanakan solat tanpa keikhlasan dan kekhusyukan, atau tidak menunaikan solat dengan benar.Solat mereka tidak lebih daripada ucapan lisan serta gerakan badan yang telah terbentuk sedemikian rupa tanpa penghayatan makna serta hikmah setiap ucapan dan gerakan yang mereka lakukan.

Dalam surah al-Maa’uun juga disebutkan bahawa orang yang berbuat riak akan dibalas oleh Allah s.w.t. Riak ialah melakukan suatu amal perbuatan untuk mencari pujian yang ia anggap ibadah itu. Allah s.w.t sendiri mengancam mereka yang berbuat riak dengan siksaan yang berat di Neraka.

Rasulullah s.a.w. dalam sabda bermaksud: "Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak."

(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Manusia yang digambarkan dalam surah al-Maa’uun tidak menempatkan solat sebagai sarana untuk berkomunikasi dengan Tuhan, melainkan hanya untuk sebagai ibadah ritual dalam kehidupan mereka.

Ingatlah antara misi terpenting Islam saperti yang dinyatakan di dalam al-Qur'an ialah membela, menyelamatkan, membebaskan, melindungi dan memuliakan golongan yang miskin, lemah dan tertindas.

Dalam sebuah hadis Qudsi diriwayatkan, Allah s.w.t hanya menerima solat daripada orang yang `menyayangi orang miskin, ibnu sabil, wanita yang ditinggalkan suaminya dan yang menyayangi orang yang mendapat musibah’.

Ketika Nabi Musa a.s bertanya kepada Allah s.w.t, “Tuhanku, di mana aku harus mencarimu?” Allah s.w.t menjawab: “Carilah Aku di tengah-tengah mereka yang hancur hatinya.”


Sahabat yang dikasihi,

Marilah sama-sama kita kasih dan sayang kepada anak-anak yatim, orang-orang miskin dan dhaif dan kurang upaya dan menjaga solat supaya khusyuk dan dijauhi dari sifat riak. Kerana dengan mengasihi mereka hati kita akan hilang rasa tinggi diri atau ego. Sedekah yang kita berikan kepada golongan yang susah dan memerlukan bantuan lebih bermakna dan bernilai disisi Allah s.w.t. Do'a daripada mereka yang susah dan miskin lebih makbul disisi Allah s.w.t daripada do'a orang-orang kaya yang tidak merasai keperitan dalam kehidupan ini.

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersada yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya." (Hadis Riwayat Muslim).

DOA DAN HARAPAN SEORANG ISTERI...


BISMILLAHIROHMANIROHIM...

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim...
Kau ampunilah dosa ku yg telah ku perbuat
Kau limpahkanlah aku dengan kesabaran yg tiada terbatas
Kau berikanlah aku kekuatan mental dan fisikal
Kau kurniakanlah aku dengan sifat keredhaan
Kau peliharalah lidahku dari kata-kata nista
Kau kuatkanlah semangatku menempuhi segala cabaranMu
Kau berikanlah aku sifat kasih sesama insan

Ya Allah
Sekiranya suami ku ini adalah pilihan Mu diArash
Berilah aku kekuatan dan keyakinan untuk terus bersamanya
Sekiranya suami ku ini adalah suami yg akan membimbing tanganku
dititianMu
Kurniakanlah aku sifat kasih dan redha atas segala perbuatannya
Sekiranya suami ku ini adalah bidadara untuk ku di Jannah Mu
Limpahkanlah aku dengan sifat tunduk dan tawaduk akan segala
perintahnya
Sekiranya suami ku ini adalah yang terbaik untukku di DuniaMu
Peliharalah tingkah laku serta kata-kataku dari menyakiti perasaannya
Sekiranya suami ku ini jodoh yang dirahmati olehMu
Berilah aku kesabaran untuk menghadapi segala kerenah dan ragamnya

Tetapi Ya Allah
Sekiranya suami ku ini ditakdirkan bukan untuk diriku
Kau tunjukkanlan aku jalan yg terbaik untuk aku harungi segala
dugaanMu
Sekiranya suami ku tergoda dengan keindahan dunia Mu
Limpahkanlah aku kesabaran untuk terus membimbingnya
Sekiranya suami ku tunduk terhadap nafsu yang melalaikan
Kurniakanlah aku kekuatanMu untuk aku memperbetulkan keadaanya
Sekiranya suami ku menyintai kesesatan
Kau pandulah aku untuk menarik dirinya keluar dari terus terlena

Ya Allah
Kau yang Maha Megetahui apa yang terbaik untukku
Kau juga yang Maha Mengampuni segala kesilapan dan ketelanjuranku
Sekiranya aku tersilap berbuat keputusan
Bimbinglah aku ke jalan yang Engkau redhai
Sekiranya aku lalai dalam tanggungjawabku sebagai isteri
Kau hukumlah aku didunia tetapi bukan diakhiratMu
Sekiranya aku engkar dan derhaka
Berikanlah aku petunjuk kearah rahmatMu

Ya Allah sesungguhnya
Aku lemah tanpa petunjukMu
Aku buta tanpa bimbinganMu
Aku cacat tanpa hidayahMu
Aku hina tanpa RahmatMu

Ya Allah
Kuatkan hati dan semangatku
Tabahkan aku menghadapi segala cubaanMu
Jadikanlah aku isteri yang disenangi suami
Bukakanlah hatiku untuk menghayati agamaMu
Bimbinglah aku menjadi isteri Solehah
Hanya padaMu Ya Allah ku pohon segala harapan
Kerana aku pasrah dengan dugaanMu
Kerana aku sedar hinanya aku
Kerana aku insan lemah yg kerap keliru
Kerana aku leka dengan keindahan duniamu
Kerana kurang kesabaran ku menghadapi cabaranMu
Kerana pendek akal ku mengharungi ujianMu

Ya Allah Ya Tuhanku
Aku hanya ingin menjadi isteri yang dirahmati
Isteri yang dikasihi
Isteri yang solehah
Isteri yang sentiasa dihati

Amin, amin Ya Rabbal Allamin...

Sabtu, 20 November 2010

Permata Jiwa Yang Telah Hilang


Salam wahai sahabat2ku sekelian...semoga di Rahmati Allah selalu...

Salah satu permata jiwa yang telah hilang adalah kasih sayang..Kerana rata-rata jiwa manusia telah gersang,Pokok kasih sayang sudah tidak tumbuh di jiwa Kerana air iman sudah tidak turun menyiramTuhan sudah tidak dicintai oleh manusia.Otomatik cinta sesama manusia tidak ada,Kerana itulah cintailah Tuhan .Cinta-mencintai sesama manusia akan terjalin sama,Cintakan Tuhan adalah rahsia mencintai sesama manusia.Cintakan Tuhan adalah anak kunci mencintai makhluk-Nya.Kalau Tuhan sudah tidak dicintai,Sudah pasti sesama manusia tidak akan terjadi cinta-mencintai.Patutnya kita berjuang,Untuk mencari kasih sayang yang hilang.Kita berkorban kerana hendak menanamkan kasih sayang.Mengapa kita berjuang perbalahan yang datang?Mengapa kita berjuang, hingga hilang kasih sayang?Yang kita cari bukankah kasih sayang.Mengapa kita berjuang hingga sampai hilang kasih sayang.Kasih sayang bukankah keperluan insan?Mengapa keperluan itu dihilangkan?Bukankah manusia itu menderita kalau tidak dapat kasih sayang?Bukankah manusia itu akan terganggu kehidupannya kalau tidak ada kasih sayang?Jagalah kasih sayang, jangan sampai hilang

ANTARA WIBAWA SUAMI DAN KETAATAN ISTERI



Kewibawaan Suami"Suami yang berwibawa itu dia memiliki ilmu pengetahuan yang luas, ibadah yang kemas, akhlak yang mulia dan kepimpinan yang berkesan"

Suami idaman! Para wanita Tuhan jadikan bersamanya sifat pemalu. Sifat pemalu semulajadi itu serba sedikit dapat menyelamatkan maruah para wanita. Apabila hilang sifat malu maka runtuhlah benteng maruah yang utama dari wanita. Di akhir zaman ini memang sifat malu semulajadi itu sudah hampir lenyap. Maka lahirlah wanita yang kurang malu atau tak malu.

Salah satu kesan ketara kekurangan sifat malu itu apabila para wanita sanggup berterus-terang mengenai ciri-ciri suami idaman. Tanpa berselindung mereka rata-rata idamkan suami macho, tampan, segak, bertubuh sasa, kaya, popular, berpangkat, berkelulusan dan sebagainya.
Ramaikah lelaki seumpama itu? Tentulah sedikit saja. Memang Tuhan jadikan jumlahnya sedikit. Bahagiakah wanita yang berjaya mendapat suami idaman tersebut? Mudah saja jawapan kepada persoalan ini, iaitu kebahagiaan terletak di hati, bukan di mata, telinga, mulut, tangan, kaki dan lain-lain anggota lahir.

Sepatutnya wanita merasa malu untuk berterus-terang tentang ciri-ciri suami yang diidamkan. Tetapi tidak pula salah andainya sekadar mengharap, malah dibolehkan harapan itu dirintihkan kepada Tuhan, tanpa dilafazkan. Dan elok disertakan pula dengan sangka baik kepada Tuhan bahawa siapa saja yang datang ke dalam hidupnya seorang lelaki bergelar suami maka itulah yang terbaik untuk dirinya. Kerana Tuhan Maha Mengetahui, Maha Adil dan sangat luas rahmat-Nya. Setiap anugerah Tuhan itu tetap ada kebaikan atau hikmah di sebaliknya. Oleh itu, lebih baik mengekalkan sifat malu melalui tanpa mendedahkan apa yang tersirat di hati mengenai bakal suami dan mengharap serta berserah kepada Tuhan.

Sebuah perkahwinan atau rumahtangga tidak lebih dari salah satu alat untuk mendapatkan Tuhan. Melalui suami dan melalui isteri, tidak lebih dari alat untuk sama membesarkan Tuhan. Apabila mendapat Tuhan ertinya memperolehi segala-galanya, memperolehi sumber iman dan taqwa, kekuatan, kekayaan, ketenangan, keselamatan dan kebahagiaan. Kehilangan Tuhan, apa saja yang dimiliki dalam hidup tidak mempunyai apa-apa erti kerana semuanya hancur musnah. Kalau begitu kedudukannya, alangkah elok andainya setiap wanita mengharapkan kehadiran seorang suami yang berwibawa kerana dengannya ada sedikit jaminan mendapat Tuhan dan sekaligus mendapat segala-galanya. Suami berwibawa adalah suami yang berupaya membawa hati kepada rasa kehambaan dan rasa bertuhan. Kedua-dua rasa ini bakal menjamin kesejahteraan dunia dan lebih-lebih lagi di Akhirat.


Wibawa ada dua jenis.

Pertama, yang bersifat semulajadi yang dicipta oleh Tuhan.

Ada manusia yang Tuhan anugerahkan pada dirinya mempunyai tarikan semula jadi seperti cantik, handsome, tampan, petah bercakap. Atau secara semulajadi Tuhan jadikan orang lain mudah jatuh hati, atau memandang hebat kepada seseorang. Atau boleh juga disebut sebagai peribadi yang menarik perhatian. Kurnia Tuhan ini tidak boleh diusahakan.

Kedua, ialah wibawa aradhi atau mendatang.

Wibawa jenis yang kedua ini boleh diusahakan. Ertinya boleh dicapai melalui usaha yang bersungguh-sungguh. Apabila berjaya memilikinya maka peribadinya akan dilihat menarik, disegani, dihormati, disayangi. Malah sangat mendatangkan manfaat kepada dirinya dan orang lain. Bertuah dan beruntung seorang isteri apabila Tuhan kurniakan suami yang berwibawa, iaitu apabila seorang suami memiliki ilmu pengetahuan yang luas, ibadah yang kemas, akhlak yang mulia dan kepimpinan yang berkesan. Lebih-lebih lagi bertuah sekiranya seseorang itu ada kedua-duanya iaitu wibawa semulajadi dan aradhi, tetapi ini amat jarang berlaku kepada orang awam kecuali para rasul.Di dalam sebuah keluarga, andainya suami belum memiliki wibawa mendatang ini, sentiasa belum terlewat untuk diusahakan. Contohnya, ilmu dan pengetahuan, amat berguna yang akan memberi kesejahteraan di dunia dan merupakan panduan untuk keselamatan Akhirat. Menguasai ilmu semata-mata tidak memadai dalam erti kata kalau sekadar terhenti kepada menjadi cerdik dan pandai. Kerana kerosakan yang amat besar berlaku di muka bumi ini adalah angkara orang cerdik dan berilmu pengetahuan. Ramai para ulama turut melanggar perintah Tuhan. Bukan mereka tidak tahu hukum-hakam, tetapi kerana tidak boleh melawan nafsu. Di sinilah letaknya betapa penting mempunyai iman dan taqwa. 

Jumaat, 12 November 2010

Bacaan al-Qur'an Akan Memberi Syafaat di Hari Akhirat.




Sahabat yang dirahmati Allah,

Kitab suci al-Qur'an yang diwahyukan oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Muhammad s.a.w adalah merupakan kitab suci yang sempurna dan lengkap, dan menjadi peduman hidup manusia di dunia. Al-Qur'anul karim perlu dibaca, difahami, diyakini dan dilaksanakan dalam kehidupan.

Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna pernah berkata, "Pesanku kepadamu wahai saudara-saudara...hendaklah sentiasa menghubungkan diri dengan al-Qur'an pada setiap detik dan masa. Andaikata saudara melakukan sedemikian, nescaya saudara akan merasa betapa agungnya Pencipta yang Maha Tinggi itu. Sebenarnya siapa yang berbuat demikian tidak dapat tidak akan bertambah keimanan terhadap keagungan Pencipta lalu bertambah lagi ketundukannya kepada kekuasaan-Nya...." Al-Qur'an adalah mukjizat aqaliah iaitu mukjizat yang berfungsi dan mempunyai kelebihan luar biasa hingga ke hari kiamat. Membaca al-Qur'an akan diberi pahala oleh Allah s.w.t. digandakan hingga 10 kali ganda.


Sahabat yang dimuliakan,

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:“Bacalah al- Qur'an kerana ia akan datang pada hari akhirat kelak sebagai pemberi syafaat kepada tuannya.”(Hadis Riwayat Muslim)

Di dalam sebuah hadis lain Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:“Pada hari kiamat nanti, di hadapan Allah swt tidak akan ada syafaat yang mempunyai taraf yang lebih tinggi daripada Al-Qur'an, bukan Nabi, bukan malaikat dan sebagainya”.

Melalui hadis di atas kita dapat mengetahui bahawa Al-Qur'an adalah pemberi syafaat yang mana syafaatnya akan diterima oleh Allah s.w.t. Terdapat satu riwayat menyatakan bahawa Apabila seseorang itu meninggal dunia dan keluarganya sibuk melakukan upacara pengkebumian, seorang yang kacak akan berdiri di bahagian kepalanya. Apabila mayat itu dikafankan, orang itu akan datang mendiami antara dadanya dan kain kafan itu.

Bila selesai dikebumikan, orang ramai termasuklah ahli-ahli keluarga dan kekasih kita akan pulang ke rumah dan datanglah dua malaikat Munkar dan Nakir cuba untuk memisahkan orang yang kacak itu supaya mereka dapat membuat pertanyaan mengenai iman orang yang meninggal dunia itu tanpa sebarang gangguan.

Tetapi orang yang kacak itu akan berkata:“Dia adalah kawanku. Aku tidak akan meninggalkannya berseorangan walau dalam keadaan apa sekalipun. Jalankanlah tugas kamu tetapi aku tidak akan meninggalkannya sehingga aku membawanya masuk ke Syurga!”

Selepas itu dia berpaling ke arah mayat sahabatnya dan berkata:

“Akulah Al-Quran yang mana engkau telah membacanya kadang kala dengan suara perlahan dan kadang kala dengan suara yang kuat.”

“Janganlah engkau bimbang. Selepas pertanyaan Munkar dan Nakir ini, engkau tidak akan berasa dukacita lagi”

Bila pertanyaan selesai, orang yang kacak itu akan mengadakan untuknya satu hamparan sutera yang penuh dengan kasturi dari malaikat-malaikat dari Syurga.

Alangkah indahnya dan bahagianya sekiranya orang itu adalah kita.Kita tahu tentang tingginya syafaat Al-Quran tetapi dengan mengetahuinya sahaja tanpa berusaha untuk mendekati dan merebut syafaat itu kita adalah orang-orang yang rugi.

Cuba kita renungkan sejenak diri kita sendiri. Ajal dan maut adalah ketentuan Allah s.w.t. Bila ia telah datang kita tidak akan mampu memperlambatkan atau mempercepatkannya walaupun untuk tempoh sesaat.Dan apabila berada di alam kubur siapakah lagi yang akan menemani kita jauh sekali memberi bantuan kecuali amalan-amalan kita sewaktu di dunia. Allah telah menjanjikan Al-Qur'an sebagai pemberi syafaat terulung dan janji Allah itu adalah benar.

Terdapat beberapa kebaikan-kebaikan al-Qur'an iaitu :

Pertama : Al-Qur'an merupakan kalam Allah dan perlembagaan syariatnya yang kekal abadi. Allah telah menurunkannya kepada manusia sebagai panduan dalam mengharungi kehidupan agar dapat mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Kedua : Membaca al-Qur'an merupakan satu ibadah yang boleh menghampirkan diri seseorang itu kepada Allah s.w.t.. Pahalanya amat besar iaitu sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Qur'an, ganjarannya satu kebaikan dan sepuluh ganjaran yang sama dengannya. Selain itu ia juga boleh meberikan syafaat di hari akhirat kelak.

Ketiga : Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim ada menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya :” Perumpamaan Mukmin yang membaca al-Qur'an adalah seperti limau yang mempunyai bau yang harum dan rasanya sedap. Manakala perumpamaan Mukmin yang tidak membaca al-Qur'an pula adalah seperti tamar yang tidak ada bau tetapi rasanya manis dan sedap.”

Keempat : Membaca al-Qur'an hendaklah dilakukan dengan beradab sebagai menghormati kalimah Allah di antaranya ialah seseorang itu hendaklah berada dalam keadaan suci (berwudhu’) dan membacanya di tempat yang bersih, memulakan dengan membaca Ta’auwuz dan Basmallah, membaca dengan teliti dan perlahan, menjaga makhraj (bertajwid) serta memperelokkan suara sekadar termampu.

Kelima : Pembacaan al-Qur'an yang paling baik ialah apabila difahami apa yang dibaca. Dengan ini barulah seseorang itu akan dapat merasai nikmatnya yang sebenar.


Sahabat yang dikasihi,

Surah Al Mulk adalah surah keamanan dan keselamatan, kerana ia menyelamatkan pembaca-pembacanya dari siksa kubur. Sejarah telah membuktikan seperti yang berlaku di zaman Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam. Ibnu Abbas menceritakan:

“Pernah suatu ketika setengah para sahabat berkhemah di atas kubur. Mereka sebenarnya tidak menyangka tempat itu adalah kubur. Setelah beberapa ketika berada di dalam khemah, mereka tiba-tiba terdengar suara orang membaca Surah Al Mulk dari mula hinggalah akhirnya. Suara itu datangnya dari dalam tanah. Tahulah mereka, sebenarnya mereka sedang berkhemah di atas kubur. Kemudian hal itu diadukan kepada Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam lalu baginda bersabda yang bermaksud: “Surah Al Mulk adalah surah pelepasan kerana ia menghindar pembacanya dari azab neraka.”

Abu Hurairah meriwayatkan hadis, katanya yang bermaksud: “Sesungguhnya di dalam Al-Quran itu, ada satu surah yang mengandungi 30 ayat, ia mensyafaat bagi lelaki yang membacanya. Maka selagi mana lelaki itu membacanya, selagi itu pula ia meminta ampun unutuknya. Surah itu ialah surah Al Mulk.”

Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Surah Al Mulk itu memelihara dan menghindarkan pembacanya dari azab kubur.”

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Aku sungguh gembira, sekiranya orang mukmin sentiasa membaca surah Al Mulk sehingga seolah-olah surah itu tertulis di dalam hatinya.”


Sahabat,

Marilah sama-sama kita hayati al-Qur'an dan teruskan menjadi teman setia kita, jangan lupa membacanya bersungguh-sungguh dan fahami maknanya. Semoga ia akan membantu kita di alam barzakh dan hari akhirat.

Selasa, 9 November 2010

30 Rahsia hati wanita...




Wahai kaum Adam...hargailah setiap keikhlasan hati utk kaum Hawa...
Hatinya terlalu sensitif...


1. Bila sorang wanita mengatakan dia sedang bersedih,tetapi dia tidak menitiskan airmata,itu bermakna dia sedang menangis di dalam hatinya.

2. Bila dia tidak menghiraukan kamu selepas kamu menyakiti hatinya, lebih baik kamu beri dia masa untuk menenangkan hatinya semula sebelum kamu menegur dengan ucapan maaf.

3. Wanita sukar nak cari benda yang di benci tentang orang yang paling dia sayang (sebab itu ramai wanita yang patah hati bila hubungan itu putus di tengah jalan).

4. Sekiranya sorang wanita jatuh cinta dengan sorang lelaki, lelaki itu akan sentiasa ada di fikirannya walaupun ketika dia sedang keluar dengan lelaki lain.

5. Bila lelaki yang dia suka dan cinta merenung tajam ke dalam matanya, dia akan cair seperti coklat!!

6. Wanita memang sukakan pujian tetapi selalu tidak tau macam mana nak menerima pujian.

7. Jika kamu tidak suka dengan gadis yang sukakan kamu separuh mati,tolak cintanya dengan lembut,jangan berkasar sebab ada satu semangat dalam diri wanita yang kamu tak akan tahu bila dia dah buat keputusan,dia akan lakukan apa saja.

8. Sekiranya sorang gadis mula menjauhkan diri darimu selepas kamu tolak cintanya,biarkan dia untuk seketika.Sekiranya kamu masih ingin menganggap dia sorang kawan,cubalah tegur dia perlahan-lahan.

9. Wanita suka meluahkan apa yang mereka rasa.Muzik,puisi,lukisan dan tulisan adalah cara termudah mereka meluahkan isi hati mereka.

10. Jangan sesekali beritahu perempuan yang mereka ni lansung tak berguna.

11. Bersikap terlalu serius boleh mematikan mood wanita.

12. Bila pertama kali lelaki yang dicintainya dalam diam memberikan respon positif,misalnya menghubunginya melalui telefon,si gadis akan bersikap acuh tak acuh seolah-olah tidak berminat,tetapi sebaik saja ganggang diletakkan,dia akan menjerit kesukaan dan tak sampai sepuluh minit,semua rakan-rakannya akan tahu berita tersebut.

13. Sekuntum senyuman memberi seribu erti bagi wanita.Jadi jangan senyum sebarangan.

14. Jika kamu menyukai sorang wanita,cubalah mulakan dengan persahabatan.Kemudian biarkan dia mengenalimu dengan lebih mendalam.

15. Jika sorang wanita memberi seribu satu alasan setiap kali kamu ajak keluar,tinggalkan dia sebab dia memang tak berminat denganmu.

16. Tetapi jika dalam masa yang sama dia menghubungimu atau menunggu panggilan darimu,teruskan usahamu untuk memikatnya.

17. Jangan sesekali mengagak apa yang dirasakannya.Tanya dia sendiri!!

18. Selepas sorang gadis jatuh cinta,dia akan sering tertanya-tanya kenapalah aku tak jumpa lelaki ini lebih awal.

19. Kalau kamu masih tercari-cari cara yang paling romantik untuk memikat hati sorang gadis,cubalah rajin-rajinkan tangan menyelak buku-buku cinta.

20. Bila setiap kali gambar kelas keluar,benda pertama yang dicari oleh wanita ialah siapa yang berdiri di sebelah buah hatinya, kemudian barulah dirinya sendiri.

21. Bekas teman lelaki akan sentiasa ada di fikirannya tetapi lelaki yang dicintainya sekarang akan berada di tempat teristimewa iaitu di hatinya!!

22. Satu ucapan 'Hi/Assalamualaikum' sahaja sudah cukup menceriakan harinya.

23. Teman baiknya saja yang tahu apa yang sedang dia rasa dan lalui.

24. Wanita paling benci lelaki yang berbaik-baik dengan mereka semata-mata nak tackle kawan mereka yang paling cantik.

25. Cinta bermaksud kesetiaan, ambil berat, jujur dan kebahagiaan tanpa sebarang kompromi.

26. Semua wanita mahukan sorang lelaki yang cintakan mereka sepenuh hati..

27. Senjata wanita adalah airmata!!

28. Wanita suka jika sesekali orang yang disayanginya mengadakan surprise buatnya (hadiah,bunga atau sekadar kad ucapan romantis). Mereka akan rasa terharu dan merasakan bahawa dirinya dicintai setulus hati. Dengan ini dia tak akan ragu-ragu terhadapmu.

29. Wanita mudah jatuh hati pada lelaki yang ambil berat tentang mereka dan baik terhadapnya. So,kalau nak memikat wanita pandai-pandailah...

30. Sebenarnya mudah mengambil hati wanita kerana apa yang dia mahu hanyalah perasaan dicintai dan disayangi sepenuh jiwa.


Note: tidak semestinya 30 perkara diatas semuanya wujud dalam diri setiap wanita...
Sekadar renungan bersama...yg baik jadikan tauladan..yg buruk jadikan sempadan...renung2kanlah...