Ahad, 19 Disember 2010

Kenapa Hati Kita Masih Terhijab?



Sahabat yang dirahmati Allah,

Setiap manusia dilahirkan mempunyai hati. Samaada hati itu hidup atau mati bergantung kepada pemilih hati itu sendiri. Jika ia berusaha mengenali Allah s.w.t dan mencari kebenaran maka hatinya akan jadi baik. Sebaliknya jika ia menjauhkan diri dengan Allah s.w.t dan melanggar perintah dan larangan-Nya maka hatinya akan menjadi sakit. Inilah kelebihan manusia daripada haiwan-haiwan iaitu mempunyai hati yang dapat mengenal Allah dengan sebenarnya hingga ia menjadi hamba Allah yang benar-benar takutkan Allah.

Ini di firmankan Allah s.w.t. yang bermaksud : "Apabila disebut nama Allah,gementarlah hati-hati mereka".

(Surah Al Anfaal ayat 2)

Hati yang terang-benderang begini dimiliki oleh para orang muttaqin, muhlisin, muqarrobin dan solehin. Hati mereka nampak dan kenal betul sifat-sifat keagungan Allah. Sebab itu mereka dapat benar-benar menghambakan diri kepada Allah s.w.t. Sebaliknya ada juga manusia yang hatinya gelap (buta) tidak nampak dan tidak kenal Allah.

Ini juga ada difirmankan oleh Allah s.w.t maksudnya :

"Adakah orang yang mengetahui bahawasanya apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu itu benar sama seperti orang yang buta (mengetahui) ? Hanyalah orang-orang yang berakal sahaja yang dapat mengambil pelajaran."

(Surah Ar Ra’d ayat 19)

Firman Allah s.w.t.lagi maksudnya :

"Mereka itulah orang-orang yang hatinya, pendengarannya dan penglihatannya telah dikunci oleh Allah dan mereka itulah orang orang yang lalai"

(Surah An Nahl ayat 108)

Dari Umar bin Al Khattab, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Cap penutup hati tergantung di kaki Arasy maka bila larangan Allah dilanggar dan yang diharamkan-Nya dianggap halal, Allah mengirim cap penutup hati ini lalu hati para pelanggar dikenakan cap ini".

Bila hati sudah buta, sudah dikunci mati oleh Allah s.w.t., tidak dapat lagilah ia mengenal Allah. Begitulah hati orang-orang kafir dan munaflk yang menyebabkan mereka menolak kebenaran. Walaupun kita sebagai umat Islam, ada juga dikalangan kita hatinya masih buta. Buktinya ialah kita masih tergamak membuat dosa (kecil atau besar). Orang yang masih buat dosa ialah orang yang tidak takutkan Allah . Orang yang tidak takutkan Allah . ialah orang yang tidak kenal siapa Allah . Tidak kenal Allah ialah lantaran kerana hati telah buta.

Sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya : "Sesungguhnya seorang Mukmin apabila melakukan dosa terjadilah satu bintik hitam di hatinya, maka jika dia bertaubat dan berusaha membuangnya selamatlah hatinya, dan kalau bertambah dosanya bertambahlah terkunci hatinya."


Sabda baginda lagi yang maksudnya:

"Orang yang membuat satu dosa hilanglah sebahagian akalnya untuk tidak kembali lagi selama-lamanya."

Kalau mata kita buta, kita tidak dapat melihat, tidak mengenal malah tidak dapat berjalan lagi. Begitulah kalau hati buta, kita tidak dapat mengenal Allah dan tidak dapat menempuh jalan syariat lagi. Kita tidak takut, tidak redha, tidak tawakkal, tidak yakin, tidak berharap kepada Allah, tidak cinta, tidak yakin dengan janji-Nya iaitu Syurga, Neraka, Hari Hisab, seksa kubur, dan lain-lain lagi. Dan bila amalan itu tidak ada di hati kita maka datanglah penyakit hati.

Firman Allah s.w.t.maksudnya :

"Dalam hati mereka ada penyakit lalu ditambah Allah penyakitnya dan bagi mereka seksa yang pedih disebabkan mereka berdusta."

(Surah Al Baqarah: 10)

Mereka akan terseksa di dunia dan di akhirat. Di dunia mereka kecewa, putus asa, keluh kesah, tidak tenang. Di akhirat lagi pedih. Antara penyakit hati yang Allah s.w.t. maksudkan itu ialah hasad dengki, dendam, buruk sangka, tamak, cinta dunia, bakhil, pemarah, penakut, riak, ujub dan sombong.


Sahabat yang dimuliakan,

Bersabda Rasulullah s.a.w. maksudnya : "Dalam diri anak Adam itu ada seketul daging. Bila baik daging itu baiklah seluruhanggota dan seluruh jasad. Bila jahat dan busuk daging itu jahatlah seluruh jasad. Ketahuilah, itulah hati".

(Hadis Riwayat Bukhuri dan Muslim)

Masaalah besar penyakit manusia adalah penyakit hati.Bila hatinya rosak , kotor, sakit dan berselaput maka akan rosaklah seluruh anggota manusia yang lain.

Terdapat beberapa sebab kenapa hati boleh terhijab . Perkara-perkara tersebuat adalah seperti berikut :

Pertama : Memakan makanan yang haram atau syubahat :

Bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:

"Hati itu ditempa dengan apa yang dimakan".

Memakan makanan yang haram bukan sahaja hati menjadi terhijab tetapi do'a seseorang juga tidak dimakbulkan oleh Allah s.w.t.

Daripada Abu Hurairah r.a. meriwayatkan, katanya Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Sesungguhnya Allah itu baik. Dia tidak menerima melainkan yang baik. Sesungguhnya Allah memerintahkan orang mukmin dengan apa yang diperintahkan kepada sekalian rasul dengan firman-Nya (seperti yang tersebut dalam hadis yang bermaksud) : Wahai sekalian rasul, makanlah makanan yang baik dan beramallah dengan amalan yang soleh. Firman-nya lagi : Wahai sekalian orang yang beriman! Makanlah makanan yang baik yang telah kami beri rezeki kepada kamu. Kemudian baginda menyebutkan seorang lelaki yang jauh perjalanannya, kusut masai rambutnya, dan berdebu mukanya menghulurkan kedua tangannya ke langit (berdoa) Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Padahal makanannya haram, minumannya haram, dan pakaiannya haram dan (mulutnya) disuapkan dengan yang haram. Maka bagaimanakah akan diperkenankan doanya." (Hadis Riwayat Muslim)

Antara langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengelak dari makanan yang haram ialah:

1. Jangan makan benda yang zatnya jelas haram seperti arak atau makanan yang dicampur arak atau daging yang tidak disembelih.

2.Jangan makan makanan yang bernajis sama ada sifatnya najis (kerana dibuat dari bahan yang tidak halal) atau kerana cara menyucinya tidak betul yakni tidak menurut syariat, menjadikan ia tetap najis (tetap tidak halal).

3. Jangan makan daging sembelihan yang tidak halal dan pembersihannya tidak menurut syariat.

4.Jangan makan makanan yang dibeli dengan duit yang haram (sekalipun makanan itu halal). Duit yang haram adalah seperti rasuah, duit riba, duit curi dan tipu.

5.Jangan kita makan dari usaha yang haram seperti riba, pelacuran, judi, nombor ekor dan lain-lain. Adapun makanan syubahat ialah makanan yang kita ragui halal atau haram dan duit syubahat ialah duit yang sumbernya kita ragui halal atau haram. Kedua-dua makanan dan duit yang syubahat itu wajib dielakkan supaya kita berpeluang memperolehi kejernihan ‘batin untuk mengenal Allah dengan pengenalan yang sebenarnya.

Hari ini banyak makanan di kedai-kedai makanan yang menulis perkataan “HALAL” dan “ISLAM” untuk tanda perniagaan mereka. Kita harus hati-hati juga sebab orang bukan Islam telah menyalahgunakan perkataan "HALAL” dan “ISLAM” itu untuk keuntungan perut dan poket mereka sahaja. Mereka tidak langsung takut pada Allah s.w.t. kerana mereka bukan orang beriman dan tidak ingin untuk mencari keredhaan-Nya.

Kedua :Makanan halal tetapi berlebih-lebihan di dalam pemakanan.

Rasulullah s.a.w. maksudnya :"Wadah yang paling dibenci oleh Allah ialah perut yang penuh dengan makanan yang halal".

Allah s.w.t. benci kepada perut yang penuh dengan makanan sebab perut yang ketat itu akan melemahkan kegiatan hati yakni tidak kuat untuk memandang pada alam ghaib. Bila hati lemah maka manusia jadi lalai dan malas (mahu tidur sahaja). Malas beribadah dan mudah terjebak dalam maksiat. Atas dasar inilah para solafussoleh hanya sedikit makannya.

Rasulullah s.a.w. selalu berlapar perut. Baginda pernah meletakkan batu di perut dan kemudian mengikat perut baginda dengan kain agar dengan itu tidak terasa kekosongan perut yang memang kosong. Baginda jarang kenyang. Tiga hari berlapar, satu hari kenyang. Dan selalunya satu hari baginda berpuasa, satu hari berbuka.

Nabi Sulaiman a.s yang kaya-raya itu juga begitu hidupnya. Selalu berpuasa dan kalau makan hanya roti kering dan air sejuk.

Nabi Yusuf a.s ketika menjadi menteri Mesir pun sehari puasa sehari berbuka. Bila ditanya mengapa baginda berbuat begitu, jawabnya, “Di hari aku lapar, aku dapat merasa aku adalah hamba yang memerlukan pertolongan Allah. Di hari aku kenyang aku dapat bersyukur pada Allah s.w.t. yang memberikan rezeki.”

Begitulah cara hidup Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul, orang-orang muqarrobin dan orang-orang soleh. Mereka berjuang dengan nafsu untuk membersihkan hati supaya merasa diri sebagai hamba Allah yang lemah dan hina dina. Dan cara hidup mereka itulah yang wajib kita contohi. Kita mesti sentiasa berperang dengan nafsu yang sentiasa mengajak kita lalai dari Allah.

Mari kita ubati hati kita dengan cara mengurangkan makan.

Hidangan makanan kita janganlah lebih dari dua jenis lauk. Ini adalah amalan Sayidina Umar. Beliau tidak makan lebih dari dua jenis lauk. Sebab bila lauk sudah bermacam-macam jenis, nafsu kita tambah besar untuk merasa semua jenis lauk.

(contoh sayur dan ikan, atau sayur dan ayam dll jangan campur ayam, daging, telor , udang dan sotong dalam satu hidangan)

Makanan itu biarlah sederhana, jangan terlalu sedap. Sebab kalau terlalu sedap kita tidak mampu mengawal nafsu dari makan lebih.


Ketiga : Pandangan dan Pendengaran yang Haram.

Telah sepakat orang-orang kita mengatakan: “Dari mata turun ke hati.” Ertinya hasil dari pandangan (termasuk pendengaran) bukan setakat di mata dan telinga tetapi akan bersambung dan berkesan ke hati. Kalau apa yang kita pandang dan dengar itu baik, maka hati kita akan menerima kebaikannya. Sebaliknya kalau yang kita pandang dan dengar itu maksiat dan mungkar (haram), maka hati kita akan bersalut kejahatan dan kemungkaran itu.

Allah s.w.t menyuruh lelaki beriman supaya menundukkan pandangan matanya kepada wanita yang bukan mahram, begitu juga Allah s.w.t menyuruh wanita beriman supaya menundukkan pandangan mereka kepada lelaki yang bukan mahram. Hikmah arahan ini adalah supaya mereka akan merasa kemanisan iman dan terpelihara hati mereka daripada cenderung kepada kemungkaran.

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan".

(Surah an-Nur ayat 30)

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya..."

(Surah an-Nur ayat 31)

Hati yang sentiasa menerima pandangan dan pendengaran yang mungkar ialah hati yang gelap pekat, buta dari melihat keagungan Allah. Hati itu tidak lagi takut pada Allah s.w.t., malah hilang cinta dan rindu pada Allah s.w.t

Kalau setiap hari hati kita terisi dengan zikrullah, bacaan al Quran, puasa, sembahyang sunat, membaca kitab dan mendengar pengajian agama, hati kita akan lembut, terasa indah dalam beribadah kepada Allah, rindu kepada kebaikan, benci dan takut kepada dosa. Tetapi kalau setiap hari kita isi dengan program hiburan di TV, melihat filem-filem dalam CD, berbual kosong, mengumpat dan mencaci, membaca majalah hiburan yang penuh maksiat dan mendengar lagu-lagu rock, nanti kita akan jadi malas beribadah, memandang kecil tentang cara hidup sunnah, tidak lagi rasa takut dengan Allah, tidak membesarkan Allah apalagi untuk rindu pada-Nya dan tidak suka lagi pada ahli-ahli agama dan lupa akhirat.

Hati kita jadi cinta kepada dunia dan segala hiburannya, mahu lepas bebas tanpa sekatan hukum Islam, malas berjuang dan berangan-angan ingin hidup lebih lama lagi. Itulah bukti-bukti menunjukkan tindakan lahir, pendengaran dan penglihatan kepada yang haram, akan membuatkan hati kita buta kepada kebenaran.

Mari kita ubati hati kita dengan membataskan pandangan dan pendengaran hanya kepada apa yang boleh mengingatkan kita kepada Allah, takut pada-Nya dan untuk berbakti pada-Nya.


Antara langkah-langkah yang patut diambil ialah:

1. Banyakkan membaca Al Quran dan terjemahannya, hadis dan kitab-kitab serta buku-buku agama termasuk majalah dan risalah yang berunsur dakwah. Dalam masa yang sama, elakkan daripada membaca buku-buku khayal, majalah hiburan dan akhbar-akhbar yang kosong dari kebenaran.

2. Selalu mengunjungi masjid, tempat pengajian agama, majlis dakwah, tahlil dan zikrullah dan elakkan dari tempat-tempat maksiat, majlis-majlis sosial liar (percampuran bebas) dan keluar rumah tanpa tujuan. Sebab di luar banyak pandangan dan pendengaran yang membawa kepada maksiat serta elakkan dari bergaul dengan kawan yang mengajak kita kepada maksiat.

3. Menziarahi orang-orang soleh, sebab dengan melihat mereka, dapat memberi kekuatan.

4. Ingat mati, kerana selalu mengingati mati akan melembutkan hati.


Sahabat yang dikasihi,

Ingatlah, hati orang Mukmin ialah hati yang sihat dan ceria manakala hati orang yang fasiq (berdosa) ialah hati yang sakit dan resah. Dosa itu akan mengundang resah dalam jiwa. Hati yang terhijab tidak akan merasai kebesaran Allah s.w.t. dan tidak akan bersalah apabila melakukan dosa. Oleh itu marilah kita sama-sama perbaiki hati-hati kita supaya sentiasa sihat, ceria dan sejahtera dan tidak terhijab. Kerana hati yang sejahtera dan salim akan dijemput oleh Allah s.w.t untuk memasuki Syurga-Nya.

Firman Allah s.w.t maksudnya : “Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jama’ah hamba-hamba-Ku. Masuklah ke dalam Syurga-Ku”

(Surah Al-Fajr ayat 27-30)

10 Sifat Peribadi Yang Mesti Dipupuk



Sifat peribadi yang luhur merupakan aset penting dan berharga dalam kehidupan seseorang. Ia menjamin kehidupan yang indah dan bahagia tidak kira lelaki mahupun wanita.
Tidak semua di kalangan kita memiliki sifat mulia yang luhur ini sejak azali.
Sebab itu ia harus dipupuk supaya sebati di dalam diri kita dalam menjalani kehidupan seharian.
Hayati 10 sifat peribadi luhur di bawah, tanamkan ke dalam hati sanubari, lalui kehidupan yang lebih bahagia…
1. Tulus
2. Rendah diri
3. Setia
4. Berfikiran positif
5. Perwatakan ceria
6. Bertanggungjawab
7. Percaya kepada diri sendiri
8. Pemaaf
9. Mudah berkira
10. Empati
Tulus
Tulus atau ‘transparent‘ merupakan sifat yang paling disukai oleh semua orang. Ketulusan akan membuatkan orang lain berasa aman dan dihargai dengan kehadiran kita.
Orang yang tulus tidak akan memperbodoh atau berbohong apabila berkata-kata. Sebaliknya sentiasa menyatakan kebenaran, tidak suka mengada-ngada, berpura-pura, mencari-cari alasan atau memutar belitkan fakta.
Prinsip tulus ialah “berkata benar walaupun pahit”. Namun begitu, adalah lebih sempurna jika sifat tulus ini digabungkan dengan kebijaksanaan. Supaya ketulusan tidak menjadi penyebab yang boleh merugikan diri sendiri.

Rendah diri

Bukan rendah diri di atas kelemahan, tetapi merendah diri kerana kehebatan dan kekuatan. Inilah yang sukar manusia lakukan. Hanya orang-orang yang berjiwa kental mampu bersikap rendah diri. Ibarat padi yang semakin berisi semakin menunduk.
Orang yang bersikap rendah diri mampu mengakui dan menghargai keunggulan orang lain. Sikap sebegini mampu memberi impak terhadap dua situasi.
Pertama, membuatkan orang yang lebih tinggi pangkatnya daripada kita untuk berasa segan dengan kita.
Kedua, membuatkan orang yang lebih rendah pangkatnya daripada kita untuk tidak merasa kekok apabila berinteraksi dengan kita. Hebat bukan?

Setia

Kesetiaan merupakan satu sifat yang tinggi nilainya. Orang yang setia sentiasa dipercayai dan boleh diharap, selalu menepati janji, mempunyai komitmen yang tinggi, rela berkorban dan tidak berkhianat.

Berfikiran positif

Orang yang bersikap positif sentiasa berusaha melihat segala sesuatu dengan pandangan positif, meskipun dalam situasi yang buruk.
Orang sebegini lebih suka membicarakan kebaikan daripada keburukan orang lain, lebih suka membicarakan tentang harapan daripada kekecewaan, lebih suka mencari penyelesaian daripada berputus asa, lebih suka memuji daripada mengecam, dan sebagainya.

Berperwatakan ceria

Bukan semua orang dianugerahi wajah yang ceria. Oleh itu keceriaan tidak harus dinilai dari ekspresi wajah dan tubuh tetapi sikap dalaman (hati).
Orang yang ceria adalah orang yang dapat menikmati hidup, tidak suka mengeluh dan selalu berusaha meraih kegembiraan. Dia juga mampu mentertawakan situasi, orang lain, juga dirinya sendiri. Dia mempunyai potensi untuk menghibur dan mendorong semangat orang lain.

Bertanggungjawab

Orang yang bertanggungjawab akan melaksanakan kewajipannya dengan bersungguh-sungguh.
Andai melakukan kesalahan, dia berani mengakuinya. Ketika mengalami kegagalan, dia tidak akan mencari kambing hitam untuk disalahkan.
Bahkan kalau dia merasa kecewa dan sakit hati, dia tidak akan menyalahkan siapapun. Dia menyadari bahwa dirinya sendirilah yang bertanggungjawab atas apa pun yang dialami dan dirasakannya.

Percaya kepada diri sendiri

Rasa percaya kepada diri sendiri memungkinkan seseorang itu menerima dirinya sebagaimana yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t, menghargai dirinya dan menghargai orang lain.
Orang yang percaya kepada diri sendiri mudah menyesuaikan diri dengan lingkungan dan situasi yang baru. Dia tahu apa yang harus dilakukannya dan melakukannya dengan baik.

Pemaaf

Kebesaran jiwa dapat dilihat dari kemampuan seseorang memaafkan orang lain. Orang yang berjiwa besar tidak membiarkan dirinya dikuasai oleh rasa benci dan permusuhan.
Ketika menghadapi masa-masa sukar dia tetap tegar, tidak membiarkan dirinya hanyut dalam kesedihan dan kekecewaan.

Mudah berkira

Orang yang mudah berkira menganggap hidup ini ringan. Dia tidak suka membesar-besarkan masalah kecil. Bahkan berusaha mengecilkan masalah-masalah besar.
Dia tidak suka mengungkit masa lalu dan tidak mahu khuatir dengan masa depan. Dia tidak mahu memeningkan kepada dan memberi tekanan kepada diri sendiri dengan masalah-masalah yang berada di luar kawalannya.

Empati

Empati adalah sifat yang sangat mengagumkan. Orang yang mempunyai sifat empati bukan sahaja merupakan seorang pendengar yang baik tetapi juga dapat menempatkan diri di tempat orang lain.
Ketika berlaku konflik dia akan selalu mencari jalan keluar terbaik bagi kedua belah pihak. Dia juga tidak suka memaksa pendapat dan kehendaknya sendiri. Dia selalu berusaha memahami dan mengerti perasaan orang lain.

Kesimpulan

10 sifat peribadi luhur di atas sangat berharga jika dapat diatasi dalam hati masing-masing. Bukan mudah, tetapi berbaloi jika dapat sentiasa ditanam, dipupuk dan dirasai oleh semua orang. Cubalah!

Wallahu a’lam.

Ahad, 12 Disember 2010

Seorang Mukmin Perlu Memiliki Qudwah Hasanah Seperti Peribadi Rasulullah s.a.w.



Sahabat yang dirahmati Allah,

Kelahiran Rasulullah s.a.w. adalah umpama cahaya bulan yang menyinari kegelapan malam. Kebangkitan Rasulullah sebagai utusan Allah telah berjaya memimpin dan membimbing umat manusia ke jalan yang lurus iaitu Islam.

Firman Allah dalam surah al-An'am ayat 153 yang bermaksud: "Dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus maka ikutilah ia dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain) kerana jalan-jalan ini mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertakwa".

Rasulullah bukan saja menyampaikan risalah dan ajaran Islam semata-mata bahkan baginda sendiri menunjukkan qudwah hasanah iaitu contoh bagaimana yang dikehendaki oleh Islam. Segala tingkah laku, percakapan dan sikap baginda mencerminkan keperibadian Islam yang dituntut dan dikehendaki oleh Allah untuk dicontohi oleh umat manusia.

Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud: "Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu sebaik-baik teladan bagi kamu (untuk diikuti) iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kemuliaan hidup) di akhirat dan orang yang banyak mengingati Allah".

Firman Allah ini dengan jelas menerangkan kepada kita bahawa Rasulullah adalah contoh ikutan terbaik untuk kita bagi menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Dengan kata lain, Rasulullah adalah contoh utama bagi kita umat Islam. Pada diri Rasulullah itu terletak contoh pemimpin yang baik, bapa yang baik, suami yang baik, jiran yang baik, peniaga yang baik, sahabat yang baik dan banyak lagi. Pendek kata, kita selaku umat Islam tidak perlu mencari-cari peribadi atau qudwah hasanah daripada tokoh-tokoh lain untuk dicontohi dan diikuti selain daripada Rasulullah. Ini kerana umat Islam telah pun dibekalkan dengan contoh keperibadian yang terbaik yang merangkumi segenap aspek iaitu Nabi Muhammad s.a.w.


Sahabat yang dimuliakan,

Walau sehebat mana sekalipun manusia itu, mereka tetap tidak dapat menandingi Rasulullah yang sentiasa mendapat jagaan dan peliharaan Allah.

Sahabat-sahabat pernah bertanyakan kepada saidatina Aisyah mengenai akhlak Rasulullah. Dia menjawab: "Akhlak Rasulullah adalah al-Quran".

Jawapan itu dengan jelas menerangkan betapa Rasulullah telah menjadikan al-Qur'an itu sebagai sesuatu yang hidup yang dapat dilihat dan diikuti bukan saja oleh umat Islam bahkan oleh sekalian umat manusia. Oleh demikian, segala ajaran dan perintah Allah yang terdapat di dalam al-Quran dapat kita lihat secara praktikalnya sama ada menerusi hadis yang diriwayatkan oleh periwayat hadis yang muktabar ataupun melalui seerah Nabi Muhammad.

Oleh itu, segala contoh ikutan yang ingin diambil oleh umat Islam sama ada sebagai pemimpin, ketua keluarga, majikan, pendidik, pelajar, tokoh korporat dan sebagainya semuanya ada di dalam diri Rasulullah s.a.w. Dengan itu, memperbetulkan kembali model ikutan kita dengan menjadikan Rasulullah sebagai 'role model' adalah satu kewajiban dan tuntutan agama yang perlu dilakukan oleh kita umat Islam.

Beberapa pengajaran dan contoh tauladan yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. berkenaan kehidupannya untuk kita jadikan panduan serta ikutan dalam mengisi dan mempertingkatkan keimanan kita bagi memperolihi darjat taqwa yang diharap-harapkan. Maka untuk itu, dibentangkan sebahagian dari bimbingan dan teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. khasnya berkenaan perkara-perkara berikut:

Rumahtangga :Keharmonian hidup berumahtangga adalah salah satu faktor utama dalam membina sesebuah masyarakat yang baik dan terhormat. Rumahtangga yang baik dan harmoni ini sukar diperolihi tanpa adanya kerjasama serta saling hormat menghormati antara suami isteri dan lain-lain anggota keluarga.

Suami seharusnya berkelakuan baik dan berakhlak mulia dalam mengendalikan rumahtangganya, di samping itu sentiasa memperlihatkan contoh-contoh yang baik dalam pergaulan supaya ianya mudah diteladani oleh isteri dan anak-anaknya.

Di dalam rumahtangga, para suami tidak sewajarnya bertindak sebagai seorang yang keras dan bengis yang tahu mengarahkan itu dan ini dan mahukan semuanya tersedia untuknya tanpa memikirkan suasana rumahtangga yang memerlukan kasih sayang, kerjasama dan saling bantu membantu.

Dalam kehidupan berumahtangga, Rasulullah s.a.w. telah memperlihatkan suatu teladan yang baik yang boleh diikuti oleh seseorang suami dalam mengurus rumahtangganya. Sebagai seorang suami Rasulullah s.a.w. amat bertimbang rasa dan bersedia membantu keluarganya. Banyak kerja yang dilakukan dengan tangannya sendiri, seperti menjahit pakaian, memerah susu kambing dan apabila mahu makan Baginda makan apa-apa makanan yang sedia ada saja.

Rasulullah s.a.w. sangat marah kepada suami yang memukul isterinya sebagaimana memukul hamba abdi, sabdanya yang bermaksud:

" Tidakkah seseorang dari kamu merasa malu untuk memukul isterinya sebagaimana dia memukul hambanya? Di waktu pagi dipukul isterinya kemudian di waktu malam ditidurinya pula".

Di samping Rasulullah s.a.w. menunjukkan panduan dan contoh tentang hidup tolong menolong serta perasaan kasih sayang kepada isteri, Rasulullah s.a.w. juga menunjukkan suatu teladan yang baik khususnya kepada mereka yang mempunyai isteri yang lebih dari seorang. Sebagaimana yang diketahui umum bahawa Rasulullah s.a.w. mempunyai beberapa orang isteri yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Ada yang masih muda dan cantik, dan ada yang sudah berumur.

Walau bagaimanapun, Rasulullah s.a.w. tidak sekali-kali bersikap pilih kasih dalam layanan kasih sayang antara mereka. Masa dan giliran mereka dibahagikan dengan adil serta cukup rapi sekalipun dalam masa Baginda sakit. Apabila Rasulullah s.a.w. hendak musafir, Baginda menjalankan undi antara isteri-isterinya itu dan hanya yang terkena undi saja yang berhak bersamanya.

Jiran :Agama Islam sangat memandang berat tentang masalah berjiran di kalangan masyarakat umat Islam khususnya dan umat manusia umumnya. Islam memberikan perhatian yang sungguh berat ke arah menjalin hubungan yang baik dan harmoni di kalangan masyarakat sesuatu tempat.

Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. telah memberi panduan dan ajaran kepada umat Islam supaya mengelakkan diri dari segala sesuatu yang mengelakkan diri dari segala sesuatu yang boleh mencetuskan rasa kurang baik sesama jiran. Dalam salah satu sabdanya, Rasulullah s.a.w. telah menerangkan:

Maksudnya: ' Tidak akan masuk Syurga seseorang yang jirannya tidak merasai selamat dari kejahatannya"

Pemimpin tentera :Rasulullah s.a.w. bermesyuarat bersama-sama sahabat-sahabat untuk membincangkan strategi yang perlu dirancang apabila mengetahui satu pakatan jahat kaum musyrikin Mekah untuk menyerang Muslimin di Madinah. Salman Al-Farisi mencadangkan untuk membina parit. Cadangan Salman ini diterima baginda s.a.w lalu memerintahkan menggali parit di sekeliling Madinah. ‘Khandak’ yang bermaksud ‘parit’ diambil nama sempena peristiwa menggali parit sebagai strategi peperangan di dalam peperangan ini yang dipanggil 'Perang Khandak'

Dari hadis riwayat Bukhari dari Sahl bin Saad berkaata: "Kami bersama-sama Rasulullah di dalam kubu, ada yang menggali sedang kami mengangkut tanah di atas belakang kami sambil Rasulullah bermadah".

Baginda "turun padang" dan menunjukkan qudwah hasanah bersama-sama dengan sahabat-sahabat dan kaum Muslimin yang memperjuangkan Islam untuk merasakan kepayahan, kesusahan, kelaparan yang dihadapi. Disamping melaungkan kata-kata semangat untuk menanamkan keyakinan dan semangat yang kukuh, tidak goyah dan gentar. Akhirnya tentera Muslimin berjaya mengalahkan tentera kafir dengan pertolongan Allah s.w.t menghantar angit ribut menerbangkan kemah-kemah pertahanan musuh.


Sahabat yang dikasihi,

Selain daripada qudwah hasanah (contoh yang baik) darisegi peribadi baginda, baginda juga bersifat lemah lembut bila berhadapan dengan kejahilan manusia. Contoh apabila seorang Arab Desa pernah kencing di dalam masjid Nabawi, Sayyidina Umar hendak memukul Badawi tersebut tetapi dihalang oleh Rasulullah s.a.w dengan meminta sebekas air dan menjiruskan air tersebut ditempat terkena air kencing sebagai satu dakwah untuk memujuk Badawi tersebut kepada ajaran Islam.

Satu lagi sifat yang ada pada diri Rasulullah s.a.w adalah sifat ihsan. Rasulullah s.a.w.telah memberikan makna Ihsan sebagai “Hendaklah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat Allah, kiranya engkau tidak melihatNya, maka sesungguhnya Allah tetap melihat kamu.”

Dalam hubungan dengan pembinaan akhlak insan, kita kena faham bahawa akhlak Rasulullah adalah hasil didikan terus dari Allah s.w.t. Rasulullah merealisasikan akhlak yang terkandung dalam ajaran al Qur'an (khuluqul Qur'an) atau menzahirkan akhlak al Qur'an. Sekiranya ingin melihat manusia yang sedar kepada konsep ihsan dan melaksanakan dalam kehidupan sehariannya maka lihatlah apa yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam amalan kehidupannya (sunnah).

Bagaimana konsep ihsan ini dapat membentuk akhlak insan? Kesedaran ke atas konsep ihsan ini sewajarnya timbul dari dalam diri seseorang dan menjadikan seseorang itu merasakan dirinya sentiasa di perhatikan oleh Allah s.w.t.


Sahabat yang dikasihi,

Qudwah hasanah, bersikap lemah lembut dan sifat ihsan adalah satu bentuk dakwah yang paling berkesan sekali untuk kita mengajak orang lain kepada kebenaran Islam. Betapa ramai orang kafir dizaman Nabi s.a.w telah memeluk agama Islam disebabkan mereka melihat contoh dan akhlak yang baik ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.

Selain dari sifat-sifat yang dinyatakan di atas, sebagai seorang Mukmin dan menjadi para dai'e kita mestilah menjadikan dirinya contoh ikutan yang baik kepada masyarakat. Segala tingkah-lakunya adalah menjadi gambaran kepada prinsip-prinsip Islam serta adab-adabnya seperti dalam hal makan minum, cara berpakaian, pertuturan, dalam suasana aman, dalam perjalanan malah dalam seluruh tingkah laku dan diamnya.

Marilah kita membawa qudwah hasanah, bersikap lemah lembut dan bersifat ihsan dalam kerja-kerja dakwah dan tarbiyyah. Semoga dengan usaha-usaha kita ini akan mendapat keredhaan Allah s.w.t. dan ditempatkan kita dikalangan hamba-hamba-Nya yang mendapat kemuliaan di hari akhirat nanti.

BIARKAN AKU MENANGIS...


Di tengah malam, para hamba yang membelah kegelapan, mengharap ampunan Allah dengan menumpahkan semua air matanya. Tersungkur dalam sujudnya. 'Biarkan aku menangis Ya Allah, sebelum datang hari yang penuh tangisan. Sebelum terbakar semua tulang dan sebelum datang malaikat maut yang tidak pernah mengingkari perintahMu.'

'Aku tangisi diriku sebelum datang hari yang penuh tangisan dan sebelum datang hari yang tidak bermanfaatnya tangisan. Dua mataku seperti awan yang menangis menumpahkan air mata bagaikan hujan, menyembuhkanku dari rasa takut kepadaMu, sebelum air mata berubah menjadi darah dan sebelum titik hujan berubah menjadi batu.


Biarkan aku menangis Ya Allah, mengharap ampunanMu!'

Ketahuilah, tangisan dan air mata yang mengalir bertanda hati dan perasaan yang lembut. Mata yang tidak menangis menunjukkan kerasnya hati dan perasaan. Itulah sebabnya Rasulullah Shalallahu Alaihi wa Salam menganjurkan kita agar menangis. 'Diharamkan neraka atas mata yang menangis kerana takut kepada Allah.' (HR. Ahmad).


Wassalam,

Isnin, 6 Disember 2010

SALAM MAAL HIJRAH 1432 HIJRAH...



Selamat menyambut Tahun Baru hijrah...bersamalah kita menghayati hijrah Rasulullah SAW...Semoga tahun ini lebih baik dari semalam...dan membawa sinar baru buat kita semua sebagai Hamba Allah di muka bumi ini...Allahuakbar3x Walillahilhamd...

Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya:

“Barangsiapa yang hari ini
lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan yang beruntung.
Barangsiapa yang hari ininya sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang kerugian. Barangsiapa yang hari ininya lebih teruk dari
semalam, maka dia dari kalangan yang celaka”

Sabtu, 4 Disember 2010

CARILAH HATIMU


Bismillahirohmanirohim...

Kau mesti mulakan langkah mujahadah ini sekali lagi. Berbekalkan kata pujangga, kebaikan itu kerapkali perlu dimulakan berkali-kali. Tidak ada istilah putus asa dalam mengharap keampunan dan keredhaan Allah. Walaupun berkali-kali mundur dan terbentur, tetapi itu bukan alasan untuk berhenti. Berhenti ertinya mati – mati hati dalam mengharapkan cahaya Ilahi. Hakikatnya itu lebih bahaya daripada matinya jasad yang lahir ini.

Ya, kau perlu mulakan sekali lagi. Begitu bisikan ilmu menolak rasa ragu. Selalu. Walaupun terasa diri diselubungi selimut dosa dan kemelut alpa, jangan sekali-kali putus asa. Begitu kata jiwa yang menjerit tanpa suara. Allah tidak akan menutup pintu keampunannya… kunci pintu itu adalah harapan. Selagi ada harapan, selagi itulah ada perjuangan. Tewas dalam satu pertempuran tidak bererti tewas dalam satu peperangan. Begitulah jua dalam peperangan melawan syaitan dan hawa nafsu ini.

Tidak ada jalan lain wahai diri, kecuali bangun dan terus bermujahadah. Hati itu boleh berkarat, pencucinya adalah Al Quran dan ingatkan mati. Begitu panduan yang diberikan oleh Rasul junjungan. Jua teringat pesan Imam Ghazali:
“Carilah hatimu di tiga tempat… Temui hatimu sewaktu bangun membaca Al Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, kau carilah hatimu ketika duduk tafakkur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati!”

Semak-semak dalam kehidupan harianmu. Bagaimana awal pagimu… Telahkah kau buka setiap hari barumu dengan hati yang bersyukur? Telahkah kau ucapkan, segala puji bagi Allah yang menghidupkan aku daripada kematian yang sebentar dan kepada-Nyalah kami akan dikembalikan? Kemudian mintalah berlindung daripada sifat malas, takut, bakhil dan penguasaan orang lain terhadapmu. Senyum. Dan teruskan bersuci dengan mandi dan wuduk. Basuh wajahmu, fikiranmu, pendenganmu dan penglihatanmu daripada cela dosa dan prasangka. Kemudian dirikan solat Subuh. Pinta hidayah, kesihatan, kekuatan dan kesabaran dalam kalimah-kalimah doa dan munajat itu.

Tidak mengapa sekiranya hati terganggu oleh karenah-karenah manusia atau mainan rasa. Tetapi capai segera Al Quran dan bacalah. Bacalah, itu hakikatnya menjana kekuatan jiwa untuk menghadapi badai kehidupan. Jiwa yang tidak membaca al Quran umpama talipon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, tidak berguna… Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran, tanpa al Quran segalanya tidak berguna.

Jangan mendaki puncak hanya untuk meninggikan tempat jatuh. Jangan memburu fatamorgana kemewahan dunia hanya untuk ditipu olehnya. Ingat wahai diri, janji kesibokan yang tanpa henti, kelesuan yang tiada penghujung, kejemuan yang senentiasa mencengkam, kebimbangan tanpa kesudahan, buat pemburu-pemburu dunia yang bagaikan anjing rakus memburu bangkai. Sebaik-baik bekalan adalah taqwa. Sebaik-baik perlindungan adalah Al Quran. Mereka yang begini sahaja mampu ‘menukar’ bangkai dunia menjadi baja dalam kehidupan.
Burulah kehidupan dengan semangat orang yang bersedia untuk mati. Jadilah insan bijaksana yang menghayati pesanan Rasulullah agar sentiasa mengingati mati dan bersedia untuk menghadapinya. Jadilah umpama para sahabat Rasulullah s.a.w yang hidup bahagia, tenang dan aman walaupun dunia ditadbir dan diurus dengan cekap dan berkesan. Jangan jadi Namrud, Firaun dan Haman yang mengurus dunia penuh dengan ketamakan dan kezaliman. Nanti kau diburu oleh resah, gelisah, kesibokan, kejemuan, kemarahan yang tiada berkesudahan.

Ingatlah wahai orang yang bermujahadah… tidak mengapa sekiranya engkau tidak sampai di hujung jalan, cukup sekadar kau telah menempuh jalan. Justeru ketenangan dan kebahagiaan itu bukan hanya ada di hujung jalan, tetapi ada di sepanjang jalan…Genggam al Quran, ingat mati dan berangkatlah. Jalan mujahadah itu susah tapi indah!

Isnin, 29 November 2010

Siapakah Pendusta Agama?



Sahabat yang dirahmati Allah,

Menyayangi dan memelihara anak yatim adalah sebagai satu kewajipan yang diperintahkan oleh Allah s.w.t kepada setiap orang Islam. Dan ia adalah salah satu usaha murni untuk memperjuangkan Islam yang jarang dilakukan orang. Oleh itu untuk megatasi masalah sosial yang timbul disebabkan empat perkara iaitu iaitu :


1. Tidak memuliakan anak yatim.

2. Tidak memberi makan orang miskin.

3. Memakan harta pusaka dengan cara yang tidak benar dan

4. Mencintai harta benda secara berlebihan.


Firman Allah s.w.t maksudnya : "Adapun manusia apabila Rabb-nya mengujinya lalu dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia berkata : “Rabb-ku telah memuliakanku”. (15) Adapun bila Rabb-nya mengujinya lalu membatasi rezekinya, maka dia berkata : “Rabb-ku menghinakanku.” (16) Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya kamu tidak memuliakan anak yatim, (17) dan kamu tidak saling mengajak memberi makan orang miskin, (18) dan kamu memakan harta pusaka dengan cara mencampurbaurkan (yang halal dan yang bathil), (19) dan kamu mencintai harta benda dengan kecintaan yang berlebihan. (20)"

( Surah al-Fajr ayat 15-20)

Allah s.w.t. berfirman di dalam ayat diatas bahawa Allah s.w.t menempelak orang yang mengatakan ia dimuliakan sebab memiliki harta dan di luaskan rezekinya dan meyakini bahawa hal itu dari Allah s.w.t. sebagai penghormatan baginya. Padahal tidak demikian, tetapi itu adalah sebagai cobaan baginya.Begitu juga apabila Allah s.w.t membataskan rezeki untuknya ia mengatakan Allah menghinanya sedangkan ini semua adalah ujian daripada-Nya.

Syeikh Muhammad Abduh berkata, “Allah berkali-kali menegaskan wasiat tentang anak yatim dalam al-Quran dan as-Sunnah. Cukuplah bagimu untuk diketahui bahawa al-Quran melarang mengherdik anak yatim dan mengancam dengan ancaman yang berat kepada orang yang memakan harta anak yatim. Anak yatim itu memerlukan kasih sayang fitriah untuk membantu, mendidik dam memelihara hak-haknya.”

Pada ketika ini, kita sering melihat pemimpin Islam hidup dalam kemewahan sedangkan orang fakir miskin sedang menderita megharapkan pembelaan, mereka menangis kesedihan kerana tidak cukup perbelanjaan harian, tidak memiliki tempat tinggal dan tidak mempunyai pendapatan yang tetap dan tidak mampu untuk menampung keperluan hidup yang sentiasa meningkat. Pemimpin Islam sepatutnya pemimpin yang memihak rakyat bawahan, bukan mengutamakan kroni dan ahli keluarga sahaja atau penyokong-penyokong mereka yang hidup di persekitaran kalangan mereka sahaja.

Pemimpin umat Islam seharusnya memilih hidup yang sederhana, kerana sebahagian umat Islam yang lain masih hidup dibawah aras kemiskinan. Demikian juga dengan Jemaah Islam seharusnya memberi sumbangan dan bantuan untuk menggembirakan mereka yang miskin, teraniaya, dianiayai atau yang tertindas oleh beban hutang.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apabila masyarakat sudah membenci orang miskin dan menonjol-nonjolkan kehidupan dunia serta rakus dalam mengumpulkan harta, maka mereka akan ditimpa empat bencana, iaitu zaman yang berat, pemimpin yang zalim, penegak hukum yang khianat dan musuh yang mengancam.”

Daripada sabda Rasulullah s.a.w ini, kita dapat mengambil pelajaran bahawa munculnya masalah atau kesulitan ekonomi, kemunculan ramai pemimpin yang zalim, berlakunya pengkhianatan oleh penegak hukum adalah disebabkan oleh terabainya nasib orang-orang miskin dan keasyikan mengumpul kekayaan.

Ibnu Hazm mengatakan bahawa : "Kemiskinan hanya dapat diatasi dengan kesediaan orang kaya memberikan hak orang miskin yang diamanahkan Allah s.w.t. kepadanya"

Firman Allah s.w.t maksudnya : “Dan nafkahkanlah sebahagian daripada hartamu yang Allah telah menjadikan kamu menguasainya.” (Surah al-Hadid ayat 7)

Sahabat yang dimuliakan,

Bahawa kemiskinan yang berlaku dalam masyarakat kita adalah tanggungjawab kita bersama. Menolong dan membela yang lemah, miskin dan kurang upaya adalah ciri-ciri orang yang bertaqwa .

Firman Allah s.w.t. maksudnya : "Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaipan meminta sedekah) dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya)."

(Surah al-Baqarah ayat 197).

Inilah yang dikatakan golongan pendusta agama yang mengabaikan nasib golongan yang lemah dan miskin dan tidak bersungguh-sungguh membantu mereka, enggan memberikan pertolongan. Manusia yang tidak pernah sensitif dan peka dengan masalah anak yatim dan fakir miskin atau melalaikan solat serta berbuat riak, disebut oleh Allah s.w.t sebagai pendusta agama.

Hal ini dijelaskan di dalam al-Quran, iaitu pada surah al-Maa’uun. Surah ini merupakan surah ke-110 di dalam al-Quran dan termasuk golongan surah Makkiyyah (surah yang diturunkan di Mekah).

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama? Itulah orang yang menghardik anak yatim, dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin. Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat, (ia itu) orang-orang yang lalai dari solatnya. orang-orang yang berbuat riya . dan enggan (menolong dengan) barang berguna."

(Surah al- Maa'uun ayat 1-7)

Nama al-Maa’uun diambil daripada kata al-Maa’uun yang terdapat pada ayat terakhir surah ini yang bererti `barang-barang yang berguna’. Surah ini juga disebut surah at-Takzib yang bererti pendustaan kerana di dalamnya dipaparkan perilaku orang yang mendustakan agama.

Bagi manusia yang mempunyai sifat-sifat seperti yang digambarkan dalam surah al-Maa’uun, Allah s.w.t menjanjikan pembalasan dan siksaan Neraka. Orang yang memiliki sikap seperti yang digambarkan dalam surah al-Maa’uun telah kehilangan kepekaan kepada masyarakat . Mereka tidak mahu untuk mengeluarkan hartanya sedikit pun untuk sesama manusia.

Dalam hati mereka tidak ada rasa belas kasihan untuk membantu memenuhi keperluan masyarakat. Inilah yang dimaksudkan dengan orang-orang yang `menolak memberi bantuan’ pada akhir surah ini.

Surah al-Maa’uun memaparkan perilaku manusia dalam kehidupan sosial yang dikategorikan sebagai pendusta agama. Mereka memiliki kebiasaan mengherdik anak yatim dan tidak memberi makanan kepada fakir miskin. Perilaku seperti ini merupakan cerminan sikap takbur dalam diri sendiri. Mereka menganggap anak yatim serta fakir miskin sebagai anggota masyarakat yang rendah dan hina.

Surah al-Maa’uun juga memperlihatkan perilaku manusia dalam beribadah yang dikategorikan pendusta agama. Mereka melalaikan solat, dalam erti melaksanakan solat tanpa keikhlasan dan kekhusyukan, atau tidak menunaikan solat dengan benar.Solat mereka tidak lebih daripada ucapan lisan serta gerakan badan yang telah terbentuk sedemikian rupa tanpa penghayatan makna serta hikmah setiap ucapan dan gerakan yang mereka lakukan.

Dalam surah al-Maa’uun juga disebutkan bahawa orang yang berbuat riak akan dibalas oleh Allah s.w.t. Riak ialah melakukan suatu amal perbuatan untuk mencari pujian yang ia anggap ibadah itu. Allah s.w.t sendiri mengancam mereka yang berbuat riak dengan siksaan yang berat di Neraka.

Rasulullah s.a.w. dalam sabda bermaksud: "Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak."

(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Manusia yang digambarkan dalam surah al-Maa’uun tidak menempatkan solat sebagai sarana untuk berkomunikasi dengan Tuhan, melainkan hanya untuk sebagai ibadah ritual dalam kehidupan mereka.

Ingatlah antara misi terpenting Islam saperti yang dinyatakan di dalam al-Qur'an ialah membela, menyelamatkan, membebaskan, melindungi dan memuliakan golongan yang miskin, lemah dan tertindas.

Dalam sebuah hadis Qudsi diriwayatkan, Allah s.w.t hanya menerima solat daripada orang yang `menyayangi orang miskin, ibnu sabil, wanita yang ditinggalkan suaminya dan yang menyayangi orang yang mendapat musibah’.

Ketika Nabi Musa a.s bertanya kepada Allah s.w.t, “Tuhanku, di mana aku harus mencarimu?” Allah s.w.t menjawab: “Carilah Aku di tengah-tengah mereka yang hancur hatinya.”


Sahabat yang dikasihi,

Marilah sama-sama kita kasih dan sayang kepada anak-anak yatim, orang-orang miskin dan dhaif dan kurang upaya dan menjaga solat supaya khusyuk dan dijauhi dari sifat riak. Kerana dengan mengasihi mereka hati kita akan hilang rasa tinggi diri atau ego. Sedekah yang kita berikan kepada golongan yang susah dan memerlukan bantuan lebih bermakna dan bernilai disisi Allah s.w.t. Do'a daripada mereka yang susah dan miskin lebih makbul disisi Allah s.w.t daripada do'a orang-orang kaya yang tidak merasai keperitan dalam kehidupan ini.

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersada yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya." (Hadis Riwayat Muslim).

DOA DAN HARAPAN SEORANG ISTERI...


BISMILLAHIROHMANIROHIM...

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim...
Kau ampunilah dosa ku yg telah ku perbuat
Kau limpahkanlah aku dengan kesabaran yg tiada terbatas
Kau berikanlah aku kekuatan mental dan fisikal
Kau kurniakanlah aku dengan sifat keredhaan
Kau peliharalah lidahku dari kata-kata nista
Kau kuatkanlah semangatku menempuhi segala cabaranMu
Kau berikanlah aku sifat kasih sesama insan

Ya Allah
Sekiranya suami ku ini adalah pilihan Mu diArash
Berilah aku kekuatan dan keyakinan untuk terus bersamanya
Sekiranya suami ku ini adalah suami yg akan membimbing tanganku
dititianMu
Kurniakanlah aku sifat kasih dan redha atas segala perbuatannya
Sekiranya suami ku ini adalah bidadara untuk ku di Jannah Mu
Limpahkanlah aku dengan sifat tunduk dan tawaduk akan segala
perintahnya
Sekiranya suami ku ini adalah yang terbaik untukku di DuniaMu
Peliharalah tingkah laku serta kata-kataku dari menyakiti perasaannya
Sekiranya suami ku ini jodoh yang dirahmati olehMu
Berilah aku kesabaran untuk menghadapi segala kerenah dan ragamnya

Tetapi Ya Allah
Sekiranya suami ku ini ditakdirkan bukan untuk diriku
Kau tunjukkanlan aku jalan yg terbaik untuk aku harungi segala
dugaanMu
Sekiranya suami ku tergoda dengan keindahan dunia Mu
Limpahkanlah aku kesabaran untuk terus membimbingnya
Sekiranya suami ku tunduk terhadap nafsu yang melalaikan
Kurniakanlah aku kekuatanMu untuk aku memperbetulkan keadaanya
Sekiranya suami ku menyintai kesesatan
Kau pandulah aku untuk menarik dirinya keluar dari terus terlena

Ya Allah
Kau yang Maha Megetahui apa yang terbaik untukku
Kau juga yang Maha Mengampuni segala kesilapan dan ketelanjuranku
Sekiranya aku tersilap berbuat keputusan
Bimbinglah aku ke jalan yang Engkau redhai
Sekiranya aku lalai dalam tanggungjawabku sebagai isteri
Kau hukumlah aku didunia tetapi bukan diakhiratMu
Sekiranya aku engkar dan derhaka
Berikanlah aku petunjuk kearah rahmatMu

Ya Allah sesungguhnya
Aku lemah tanpa petunjukMu
Aku buta tanpa bimbinganMu
Aku cacat tanpa hidayahMu
Aku hina tanpa RahmatMu

Ya Allah
Kuatkan hati dan semangatku
Tabahkan aku menghadapi segala cubaanMu
Jadikanlah aku isteri yang disenangi suami
Bukakanlah hatiku untuk menghayati agamaMu
Bimbinglah aku menjadi isteri Solehah
Hanya padaMu Ya Allah ku pohon segala harapan
Kerana aku pasrah dengan dugaanMu
Kerana aku sedar hinanya aku
Kerana aku insan lemah yg kerap keliru
Kerana aku leka dengan keindahan duniamu
Kerana kurang kesabaran ku menghadapi cabaranMu
Kerana pendek akal ku mengharungi ujianMu

Ya Allah Ya Tuhanku
Aku hanya ingin menjadi isteri yang dirahmati
Isteri yang dikasihi
Isteri yang solehah
Isteri yang sentiasa dihati

Amin, amin Ya Rabbal Allamin...

Sabtu, 20 November 2010

Permata Jiwa Yang Telah Hilang


Salam wahai sahabat2ku sekelian...semoga di Rahmati Allah selalu...

Salah satu permata jiwa yang telah hilang adalah kasih sayang..Kerana rata-rata jiwa manusia telah gersang,Pokok kasih sayang sudah tidak tumbuh di jiwa Kerana air iman sudah tidak turun menyiramTuhan sudah tidak dicintai oleh manusia.Otomatik cinta sesama manusia tidak ada,Kerana itulah cintailah Tuhan .Cinta-mencintai sesama manusia akan terjalin sama,Cintakan Tuhan adalah rahsia mencintai sesama manusia.Cintakan Tuhan adalah anak kunci mencintai makhluk-Nya.Kalau Tuhan sudah tidak dicintai,Sudah pasti sesama manusia tidak akan terjadi cinta-mencintai.Patutnya kita berjuang,Untuk mencari kasih sayang yang hilang.Kita berkorban kerana hendak menanamkan kasih sayang.Mengapa kita berjuang perbalahan yang datang?Mengapa kita berjuang, hingga hilang kasih sayang?Yang kita cari bukankah kasih sayang.Mengapa kita berjuang hingga sampai hilang kasih sayang.Kasih sayang bukankah keperluan insan?Mengapa keperluan itu dihilangkan?Bukankah manusia itu menderita kalau tidak dapat kasih sayang?Bukankah manusia itu akan terganggu kehidupannya kalau tidak ada kasih sayang?Jagalah kasih sayang, jangan sampai hilang

ANTARA WIBAWA SUAMI DAN KETAATAN ISTERI



Kewibawaan Suami"Suami yang berwibawa itu dia memiliki ilmu pengetahuan yang luas, ibadah yang kemas, akhlak yang mulia dan kepimpinan yang berkesan"

Suami idaman! Para wanita Tuhan jadikan bersamanya sifat pemalu. Sifat pemalu semulajadi itu serba sedikit dapat menyelamatkan maruah para wanita. Apabila hilang sifat malu maka runtuhlah benteng maruah yang utama dari wanita. Di akhir zaman ini memang sifat malu semulajadi itu sudah hampir lenyap. Maka lahirlah wanita yang kurang malu atau tak malu.

Salah satu kesan ketara kekurangan sifat malu itu apabila para wanita sanggup berterus-terang mengenai ciri-ciri suami idaman. Tanpa berselindung mereka rata-rata idamkan suami macho, tampan, segak, bertubuh sasa, kaya, popular, berpangkat, berkelulusan dan sebagainya.
Ramaikah lelaki seumpama itu? Tentulah sedikit saja. Memang Tuhan jadikan jumlahnya sedikit. Bahagiakah wanita yang berjaya mendapat suami idaman tersebut? Mudah saja jawapan kepada persoalan ini, iaitu kebahagiaan terletak di hati, bukan di mata, telinga, mulut, tangan, kaki dan lain-lain anggota lahir.

Sepatutnya wanita merasa malu untuk berterus-terang tentang ciri-ciri suami yang diidamkan. Tetapi tidak pula salah andainya sekadar mengharap, malah dibolehkan harapan itu dirintihkan kepada Tuhan, tanpa dilafazkan. Dan elok disertakan pula dengan sangka baik kepada Tuhan bahawa siapa saja yang datang ke dalam hidupnya seorang lelaki bergelar suami maka itulah yang terbaik untuk dirinya. Kerana Tuhan Maha Mengetahui, Maha Adil dan sangat luas rahmat-Nya. Setiap anugerah Tuhan itu tetap ada kebaikan atau hikmah di sebaliknya. Oleh itu, lebih baik mengekalkan sifat malu melalui tanpa mendedahkan apa yang tersirat di hati mengenai bakal suami dan mengharap serta berserah kepada Tuhan.

Sebuah perkahwinan atau rumahtangga tidak lebih dari salah satu alat untuk mendapatkan Tuhan. Melalui suami dan melalui isteri, tidak lebih dari alat untuk sama membesarkan Tuhan. Apabila mendapat Tuhan ertinya memperolehi segala-galanya, memperolehi sumber iman dan taqwa, kekuatan, kekayaan, ketenangan, keselamatan dan kebahagiaan. Kehilangan Tuhan, apa saja yang dimiliki dalam hidup tidak mempunyai apa-apa erti kerana semuanya hancur musnah. Kalau begitu kedudukannya, alangkah elok andainya setiap wanita mengharapkan kehadiran seorang suami yang berwibawa kerana dengannya ada sedikit jaminan mendapat Tuhan dan sekaligus mendapat segala-galanya. Suami berwibawa adalah suami yang berupaya membawa hati kepada rasa kehambaan dan rasa bertuhan. Kedua-dua rasa ini bakal menjamin kesejahteraan dunia dan lebih-lebih lagi di Akhirat.


Wibawa ada dua jenis.

Pertama, yang bersifat semulajadi yang dicipta oleh Tuhan.

Ada manusia yang Tuhan anugerahkan pada dirinya mempunyai tarikan semula jadi seperti cantik, handsome, tampan, petah bercakap. Atau secara semulajadi Tuhan jadikan orang lain mudah jatuh hati, atau memandang hebat kepada seseorang. Atau boleh juga disebut sebagai peribadi yang menarik perhatian. Kurnia Tuhan ini tidak boleh diusahakan.

Kedua, ialah wibawa aradhi atau mendatang.

Wibawa jenis yang kedua ini boleh diusahakan. Ertinya boleh dicapai melalui usaha yang bersungguh-sungguh. Apabila berjaya memilikinya maka peribadinya akan dilihat menarik, disegani, dihormati, disayangi. Malah sangat mendatangkan manfaat kepada dirinya dan orang lain. Bertuah dan beruntung seorang isteri apabila Tuhan kurniakan suami yang berwibawa, iaitu apabila seorang suami memiliki ilmu pengetahuan yang luas, ibadah yang kemas, akhlak yang mulia dan kepimpinan yang berkesan. Lebih-lebih lagi bertuah sekiranya seseorang itu ada kedua-duanya iaitu wibawa semulajadi dan aradhi, tetapi ini amat jarang berlaku kepada orang awam kecuali para rasul.Di dalam sebuah keluarga, andainya suami belum memiliki wibawa mendatang ini, sentiasa belum terlewat untuk diusahakan. Contohnya, ilmu dan pengetahuan, amat berguna yang akan memberi kesejahteraan di dunia dan merupakan panduan untuk keselamatan Akhirat. Menguasai ilmu semata-mata tidak memadai dalam erti kata kalau sekadar terhenti kepada menjadi cerdik dan pandai. Kerana kerosakan yang amat besar berlaku di muka bumi ini adalah angkara orang cerdik dan berilmu pengetahuan. Ramai para ulama turut melanggar perintah Tuhan. Bukan mereka tidak tahu hukum-hakam, tetapi kerana tidak boleh melawan nafsu. Di sinilah letaknya betapa penting mempunyai iman dan taqwa. 

Jumaat, 12 November 2010

Bacaan al-Qur'an Akan Memberi Syafaat di Hari Akhirat.




Sahabat yang dirahmati Allah,

Kitab suci al-Qur'an yang diwahyukan oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Muhammad s.a.w adalah merupakan kitab suci yang sempurna dan lengkap, dan menjadi peduman hidup manusia di dunia. Al-Qur'anul karim perlu dibaca, difahami, diyakini dan dilaksanakan dalam kehidupan.

Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna pernah berkata, "Pesanku kepadamu wahai saudara-saudara...hendaklah sentiasa menghubungkan diri dengan al-Qur'an pada setiap detik dan masa. Andaikata saudara melakukan sedemikian, nescaya saudara akan merasa betapa agungnya Pencipta yang Maha Tinggi itu. Sebenarnya siapa yang berbuat demikian tidak dapat tidak akan bertambah keimanan terhadap keagungan Pencipta lalu bertambah lagi ketundukannya kepada kekuasaan-Nya...." Al-Qur'an adalah mukjizat aqaliah iaitu mukjizat yang berfungsi dan mempunyai kelebihan luar biasa hingga ke hari kiamat. Membaca al-Qur'an akan diberi pahala oleh Allah s.w.t. digandakan hingga 10 kali ganda.


Sahabat yang dimuliakan,

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:“Bacalah al- Qur'an kerana ia akan datang pada hari akhirat kelak sebagai pemberi syafaat kepada tuannya.”(Hadis Riwayat Muslim)

Di dalam sebuah hadis lain Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:“Pada hari kiamat nanti, di hadapan Allah swt tidak akan ada syafaat yang mempunyai taraf yang lebih tinggi daripada Al-Qur'an, bukan Nabi, bukan malaikat dan sebagainya”.

Melalui hadis di atas kita dapat mengetahui bahawa Al-Qur'an adalah pemberi syafaat yang mana syafaatnya akan diterima oleh Allah s.w.t. Terdapat satu riwayat menyatakan bahawa Apabila seseorang itu meninggal dunia dan keluarganya sibuk melakukan upacara pengkebumian, seorang yang kacak akan berdiri di bahagian kepalanya. Apabila mayat itu dikafankan, orang itu akan datang mendiami antara dadanya dan kain kafan itu.

Bila selesai dikebumikan, orang ramai termasuklah ahli-ahli keluarga dan kekasih kita akan pulang ke rumah dan datanglah dua malaikat Munkar dan Nakir cuba untuk memisahkan orang yang kacak itu supaya mereka dapat membuat pertanyaan mengenai iman orang yang meninggal dunia itu tanpa sebarang gangguan.

Tetapi orang yang kacak itu akan berkata:“Dia adalah kawanku. Aku tidak akan meninggalkannya berseorangan walau dalam keadaan apa sekalipun. Jalankanlah tugas kamu tetapi aku tidak akan meninggalkannya sehingga aku membawanya masuk ke Syurga!”

Selepas itu dia berpaling ke arah mayat sahabatnya dan berkata:

“Akulah Al-Quran yang mana engkau telah membacanya kadang kala dengan suara perlahan dan kadang kala dengan suara yang kuat.”

“Janganlah engkau bimbang. Selepas pertanyaan Munkar dan Nakir ini, engkau tidak akan berasa dukacita lagi”

Bila pertanyaan selesai, orang yang kacak itu akan mengadakan untuknya satu hamparan sutera yang penuh dengan kasturi dari malaikat-malaikat dari Syurga.

Alangkah indahnya dan bahagianya sekiranya orang itu adalah kita.Kita tahu tentang tingginya syafaat Al-Quran tetapi dengan mengetahuinya sahaja tanpa berusaha untuk mendekati dan merebut syafaat itu kita adalah orang-orang yang rugi.

Cuba kita renungkan sejenak diri kita sendiri. Ajal dan maut adalah ketentuan Allah s.w.t. Bila ia telah datang kita tidak akan mampu memperlambatkan atau mempercepatkannya walaupun untuk tempoh sesaat.Dan apabila berada di alam kubur siapakah lagi yang akan menemani kita jauh sekali memberi bantuan kecuali amalan-amalan kita sewaktu di dunia. Allah telah menjanjikan Al-Qur'an sebagai pemberi syafaat terulung dan janji Allah itu adalah benar.

Terdapat beberapa kebaikan-kebaikan al-Qur'an iaitu :

Pertama : Al-Qur'an merupakan kalam Allah dan perlembagaan syariatnya yang kekal abadi. Allah telah menurunkannya kepada manusia sebagai panduan dalam mengharungi kehidupan agar dapat mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Kedua : Membaca al-Qur'an merupakan satu ibadah yang boleh menghampirkan diri seseorang itu kepada Allah s.w.t.. Pahalanya amat besar iaitu sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Qur'an, ganjarannya satu kebaikan dan sepuluh ganjaran yang sama dengannya. Selain itu ia juga boleh meberikan syafaat di hari akhirat kelak.

Ketiga : Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim ada menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya :” Perumpamaan Mukmin yang membaca al-Qur'an adalah seperti limau yang mempunyai bau yang harum dan rasanya sedap. Manakala perumpamaan Mukmin yang tidak membaca al-Qur'an pula adalah seperti tamar yang tidak ada bau tetapi rasanya manis dan sedap.”

Keempat : Membaca al-Qur'an hendaklah dilakukan dengan beradab sebagai menghormati kalimah Allah di antaranya ialah seseorang itu hendaklah berada dalam keadaan suci (berwudhu’) dan membacanya di tempat yang bersih, memulakan dengan membaca Ta’auwuz dan Basmallah, membaca dengan teliti dan perlahan, menjaga makhraj (bertajwid) serta memperelokkan suara sekadar termampu.

Kelima : Pembacaan al-Qur'an yang paling baik ialah apabila difahami apa yang dibaca. Dengan ini barulah seseorang itu akan dapat merasai nikmatnya yang sebenar.


Sahabat yang dikasihi,

Surah Al Mulk adalah surah keamanan dan keselamatan, kerana ia menyelamatkan pembaca-pembacanya dari siksa kubur. Sejarah telah membuktikan seperti yang berlaku di zaman Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam. Ibnu Abbas menceritakan:

“Pernah suatu ketika setengah para sahabat berkhemah di atas kubur. Mereka sebenarnya tidak menyangka tempat itu adalah kubur. Setelah beberapa ketika berada di dalam khemah, mereka tiba-tiba terdengar suara orang membaca Surah Al Mulk dari mula hinggalah akhirnya. Suara itu datangnya dari dalam tanah. Tahulah mereka, sebenarnya mereka sedang berkhemah di atas kubur. Kemudian hal itu diadukan kepada Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam lalu baginda bersabda yang bermaksud: “Surah Al Mulk adalah surah pelepasan kerana ia menghindar pembacanya dari azab neraka.”

Abu Hurairah meriwayatkan hadis, katanya yang bermaksud: “Sesungguhnya di dalam Al-Quran itu, ada satu surah yang mengandungi 30 ayat, ia mensyafaat bagi lelaki yang membacanya. Maka selagi mana lelaki itu membacanya, selagi itu pula ia meminta ampun unutuknya. Surah itu ialah surah Al Mulk.”

Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Surah Al Mulk itu memelihara dan menghindarkan pembacanya dari azab kubur.”

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Aku sungguh gembira, sekiranya orang mukmin sentiasa membaca surah Al Mulk sehingga seolah-olah surah itu tertulis di dalam hatinya.”


Sahabat,

Marilah sama-sama kita hayati al-Qur'an dan teruskan menjadi teman setia kita, jangan lupa membacanya bersungguh-sungguh dan fahami maknanya. Semoga ia akan membantu kita di alam barzakh dan hari akhirat.

Selasa, 9 November 2010

30 Rahsia hati wanita...




Wahai kaum Adam...hargailah setiap keikhlasan hati utk kaum Hawa...
Hatinya terlalu sensitif...


1. Bila sorang wanita mengatakan dia sedang bersedih,tetapi dia tidak menitiskan airmata,itu bermakna dia sedang menangis di dalam hatinya.

2. Bila dia tidak menghiraukan kamu selepas kamu menyakiti hatinya, lebih baik kamu beri dia masa untuk menenangkan hatinya semula sebelum kamu menegur dengan ucapan maaf.

3. Wanita sukar nak cari benda yang di benci tentang orang yang paling dia sayang (sebab itu ramai wanita yang patah hati bila hubungan itu putus di tengah jalan).

4. Sekiranya sorang wanita jatuh cinta dengan sorang lelaki, lelaki itu akan sentiasa ada di fikirannya walaupun ketika dia sedang keluar dengan lelaki lain.

5. Bila lelaki yang dia suka dan cinta merenung tajam ke dalam matanya, dia akan cair seperti coklat!!

6. Wanita memang sukakan pujian tetapi selalu tidak tau macam mana nak menerima pujian.

7. Jika kamu tidak suka dengan gadis yang sukakan kamu separuh mati,tolak cintanya dengan lembut,jangan berkasar sebab ada satu semangat dalam diri wanita yang kamu tak akan tahu bila dia dah buat keputusan,dia akan lakukan apa saja.

8. Sekiranya sorang gadis mula menjauhkan diri darimu selepas kamu tolak cintanya,biarkan dia untuk seketika.Sekiranya kamu masih ingin menganggap dia sorang kawan,cubalah tegur dia perlahan-lahan.

9. Wanita suka meluahkan apa yang mereka rasa.Muzik,puisi,lukisan dan tulisan adalah cara termudah mereka meluahkan isi hati mereka.

10. Jangan sesekali beritahu perempuan yang mereka ni lansung tak berguna.

11. Bersikap terlalu serius boleh mematikan mood wanita.

12. Bila pertama kali lelaki yang dicintainya dalam diam memberikan respon positif,misalnya menghubunginya melalui telefon,si gadis akan bersikap acuh tak acuh seolah-olah tidak berminat,tetapi sebaik saja ganggang diletakkan,dia akan menjerit kesukaan dan tak sampai sepuluh minit,semua rakan-rakannya akan tahu berita tersebut.

13. Sekuntum senyuman memberi seribu erti bagi wanita.Jadi jangan senyum sebarangan.

14. Jika kamu menyukai sorang wanita,cubalah mulakan dengan persahabatan.Kemudian biarkan dia mengenalimu dengan lebih mendalam.

15. Jika sorang wanita memberi seribu satu alasan setiap kali kamu ajak keluar,tinggalkan dia sebab dia memang tak berminat denganmu.

16. Tetapi jika dalam masa yang sama dia menghubungimu atau menunggu panggilan darimu,teruskan usahamu untuk memikatnya.

17. Jangan sesekali mengagak apa yang dirasakannya.Tanya dia sendiri!!

18. Selepas sorang gadis jatuh cinta,dia akan sering tertanya-tanya kenapalah aku tak jumpa lelaki ini lebih awal.

19. Kalau kamu masih tercari-cari cara yang paling romantik untuk memikat hati sorang gadis,cubalah rajin-rajinkan tangan menyelak buku-buku cinta.

20. Bila setiap kali gambar kelas keluar,benda pertama yang dicari oleh wanita ialah siapa yang berdiri di sebelah buah hatinya, kemudian barulah dirinya sendiri.

21. Bekas teman lelaki akan sentiasa ada di fikirannya tetapi lelaki yang dicintainya sekarang akan berada di tempat teristimewa iaitu di hatinya!!

22. Satu ucapan 'Hi/Assalamualaikum' sahaja sudah cukup menceriakan harinya.

23. Teman baiknya saja yang tahu apa yang sedang dia rasa dan lalui.

24. Wanita paling benci lelaki yang berbaik-baik dengan mereka semata-mata nak tackle kawan mereka yang paling cantik.

25. Cinta bermaksud kesetiaan, ambil berat, jujur dan kebahagiaan tanpa sebarang kompromi.

26. Semua wanita mahukan sorang lelaki yang cintakan mereka sepenuh hati..

27. Senjata wanita adalah airmata!!

28. Wanita suka jika sesekali orang yang disayanginya mengadakan surprise buatnya (hadiah,bunga atau sekadar kad ucapan romantis). Mereka akan rasa terharu dan merasakan bahawa dirinya dicintai setulus hati. Dengan ini dia tak akan ragu-ragu terhadapmu.

29. Wanita mudah jatuh hati pada lelaki yang ambil berat tentang mereka dan baik terhadapnya. So,kalau nak memikat wanita pandai-pandailah...

30. Sebenarnya mudah mengambil hati wanita kerana apa yang dia mahu hanyalah perasaan dicintai dan disayangi sepenuh jiwa.


Note: tidak semestinya 30 perkara diatas semuanya wujud dalam diri setiap wanita...
Sekadar renungan bersama...yg baik jadikan tauladan..yg buruk jadikan sempadan...renung2kanlah...

Ahad, 31 Oktober 2010

Siapakah Tiga Golongan Penghuni Syurga?





Sahabat yang dirahmati Allah,

Tujuan tertinggi dari setiap Muslim dalam meniti hidup dan kehidupannya adalah meraih kemenangan besar di akhirat kelak dengan mendapatkan Syurga Allah s.w.t. yang penuh dengan kenikmatan tiada tara dan terselamatkan dari siksa Neraka yang sangat pedih.

Kemenangan besar yang diperolehi adalah kerana ketaatan seorang hamba kepada Allah s.w.t. dan Rasul-Nya. Firman Allah s.w.t maksudnya :‘’Dan barangsiapa menta’ati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar.'’

(Surah al-Ahzab ayat 71)

‘’Barangsiapa dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga maka sungguh ia telah beruntung.'’

(Surah Ali Imran ayat 185)

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : "Penghuni Syurga itu terdiri dari tiga golongan, iaitu Penguasa yang adil dan disenangi, orang yang mempunyai sifat kasih sayang dan lunak hati kepada setiap sanak keluarga dan setiap muslim, serta orang miskin yang menjaga kehormatan dirinya sedangkan ia mempunyai keluarga.

( Hadis Riwayat Muslim )


Sahabat yang dimuliakan,

Sesungguhnya berbahagialah sesiapa yang termasuk salah satu daripada tiga golongan yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w bahawa mereka akan menjadi penghuni Syurga yang kekal abadi.

Tiga golongan tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Penguasa yang adil dan di senangi.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:”Sesungguhnya orang-orang yang berlaku adil di sisi Allah akan menduduki beberapa mimbar yang diperbuat daripada cahaya. Mereka ialah orang-orang yang berlaku adil di dalam pemerintahan, ke atas keluarga dan apa-apa yang ditadbir oleh mereka”.

Penguasa yang adil adalah penguasa yang melaksanakan ajaran Islam yang syumul dan sentiasa berhukum dengan hukum Allah s.w.t. Adil maksudnya "meletakkan sesuatu pada tempatnya". Jika seseorang penguasa mengambil peraturan lain di dalam menentukan sesuatu perkara bermakna dia tidak adil kerana adil disisi Allah s.w.t adalah apa-apa yang diperintahkan oleh-Nya untuk dilaksanakan oleh manusia.

Allah akan memberikan tempat yang paling mulia bagi sesiapa yang berlaku adil semasa menjalankan pemerentahannya. Pemimpin yang adil juga akan berlaku adil terhadap semua golongan manusia tanpa mengira umur, pangkat dan darjat bahkan melarang keras sebarang perbuatan zalim, penindasan dan pilih kasih.

Kepimpinan adalah satu tugas yang amat berat kerana seseorang itu bertanggungjawab kepada Allah dan manusia. Oleh itu sewajarnyalah ia tidak menjadi rebutan kecuali bagi orang yang benar-benar sanggup memikulnya.Jika keadilan ini mampu dilaksanakan oleh penguasa dan disenangi oleh rakyat maka ia akan termasuk golongan pertama akan di masukkan kedalam Syurga.


Kedua : Orang yang mempunyai sifat kasih sayang dan lunak hati kepada setiap sanak keluarga dan setiap muslim.

Islam menganjurkan untuk menghidupkan hati nurani agar senantiasa diliputi nur kasih sayang adalah dengan melakukan banyak silaturahmi kepada ahli keluarga dan orang-orang yang dilanda kesulitan, datang ke daerah terpencil, tengok saudara-saudara kita di rumah sakit, atau pula dengan selalu mengingat umat Islam yang sedang teraniaya di merata tempat.

Di dalam hadis yang lain Nabi s.a.w bersabda maksudnya :“Ketahuilah, maukah kukabarkan pada kalian tentang (sebagian sifat) penduduk Syurga?, semua yang lemah (tidak berdaya), dan rendah hati (berbuat seakan tak berdaya kerana rendah hati), jika mereka berdoa dengan bersumpah atas nama Allah, maka akan langsung dikabulkan, maukah kukabarkan kalian tentang (sebagian sifat) penduduk Neraka?, semua yang suka dengan pertengkaran, suka mengumpulkan harta namun susah mengeluarkannya (tamak akan harta dan kikir), dan menyombongkan diri”(Hadis Riwayat Bukhari)

Daripada Abdullah bin Umar r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah ditanya, siapakah yang paling mulia diantara manusia?. Nabi s.a.w. menjawab yang bermaksud : "Setiap orang yang hatinya 'makhmum' dan lidahnya jujur."

Sahabat r.a bertanya, "Kami tahu seorang yang lidahnya jujur, tetapi apa yang di maksudkan dengan hati 'makhmum'? Baginda menjawab, "Makhmum' ialah orang Muttaqin (menjauhkan diri dari keburukan kerana takut kepada Allah) dan bersih hatinya, bebas dari segala dosa dan kesalahan, tidak mempunyai sedikitpun perasaan dengki atau irihati padanya."

Dari Muaz bin Jabal meriwayatkan, aku mendengar Rasulullah s.a.w. meriwayatkan hadis qudsi : Allah Azzawa Jalla berfirman yang bermaksud : " Orang-orang yang mencintai satu sama lain kerana kebesaran dan kemuliaan-Ku akan duduk diatas mimbar-mimbar nur pada hari Qiyamat, (bahkan) nabi-nabi dan para syuhada akan beriri hati kepada mereka."(Hadis Riwayat Tirmizi)

Orang-orang yang saling mencintai dan berkasih sayang, akan melihat rumah-rumahnya di Syurga begitu indahnya laksana bintang yang cemerlang di sebelah timur atau barat. Para sahabat bertanya: "Siapakah mereka?" Jawab Nabi s.a.w : "Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai kerana Allah."


Ketiga : Orang miskin yang menjaga kehormatan dirinya sedangkan ia mempunyai keluarga.

Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wassalam bersabda :“Aku melihat ke dalam Syurga maka aku melihat kebanyakan penduduknya adalah fuqara (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam Neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penduduknya adalah wanita.”

(Hadis. Bukhari dan Muslim dari Ibnu Abbas dan Imran serta selain keduanya).

Di antara misi terpenting Islam, salah satunya membela, menyelamatkan, membebaskan, melindungi, dan memuliakan kelompok yang lemah dan menderita (dhuafa). Dalam sebuah hadits qudsi diriwayatkan bahwa Allah hanya menerima solat dari orang-orang yang menyayangi orang miskin, ibnu sabil, wanita yang ditinggalkan suaminya, dan yang menyayangi orang yang ditimpa musibah.

Ketika Nabi Musa a.s bertanya kepada Allah s.w.t, “Tuhanku, di mana aku harus mencari-Mu”. Lalu Allah menjawab, “Carilah Aku di tengah-tengah mereka yang hancur hatinya”.

Ibnu Majah meriwayatkan dari hadis Abu Sa'idah al-Khudri r.a., bahwa Nabi s.a.w., pernah mengucapkan do'a, "Ya Allah hidupkanlah aku dalam keadaan miskin, matikanlah aku dalam keadaan miskin, dan bangkitkanlah aku bersama orang-orang miskin."

Nabi s.a.w., sangat memerhatikan dan menyayangi orang miskin. Hal ini tercermin dari do'a yang disampaikannya bahwa ia ingin hidup dan mati dalam keadaan miskin, perhatikanlah orang miskin karena do'a orang miskin dikabulkan oleh Allah s.w.t.. Bahkan dalam Al-Qur'an surah al-Ma'un ayat 1 dan 2 maksudnya : "Tahukah kamu siapa orang yang mendustakan agama? Orang yang mendustakan agama adalah orang yang menghardik anak yatim dan tidak memberi makan orang miskin”.

Al-Qur'an sangat memerhatikan nasib orang miskin, sehingga Al-Qur'an mengisyaratkan bahwa orang yang tidak memerhatikan orang miskin adalah orang yang mendustakan agama. Ertinya, jika orang Muslim tidak menyayangi, memerhatikan, dan peduli terhadap nasib orang miskin, ia di hadapan Allah akan dikelompokkan kepada orang yang berdusta dan berbohong dalam beragama.

Rasulullah dalam membela kelompok masyarakat yang tertindas, selalu membangkitkan harga diri rakyat kecil dan dhuafa. Ia senantiasa bersama orang-orang lemah. Pada suatu hari para sahabat melihat Nabi sedang memperbaiki sandal anak yatim, lain kali menjahit baju janda tua yang miskin. Bila masuk masjid Rasul memilih kelompok orang miskin, dan di sanalah ia duduk. Digembirakannya mereka, dipeluknya, hingga kadang-kadang Rasulullah tertawa bersama mereka.

Sesungguhnya orang miskin yang sabar di atas kemiskinannya, redha dengan takdir Allah s.w.t dan sentiasa menjaga kehormatan diri tidak mencuri dan mengambil hak orang lain dan mendidik ahli keluarganya supaya sentiasa taat kepada Allah s.w.t maka golongan ini akan menjadi golongan ketiga yang akan menjadi penghuni Syurga


Sahabat yang dikasihi,

Marilah kita muhasabah diri kita sekarang ini adakah kita termasuk salah satu di antara tiga golongan penghuni Syurga yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w? Atau kita tidak memiliki ketiga-tiga ciri yang dinyatakan di atas?

Oleh itu marilah kita perbaiki diri kita dengan meninggalkan semua larangan Allah s.w.t dan melaksanakan suruhan-Nya dan berusaha agar termasuk salah satu dari golongan yg diatas. Berdo'alah dan mohonlah kepada Allah s.w.t semoga kita akan mendapat kebahagiaan yang kekal abdi iaitu memasuki Syurga-Nya seluas langit dan bumi.

Jumaat, 22 Oktober 2010

Sabarlah Wahai Hati... Sabarlah...Allah ada bersamaku...


Sabarlah Wahai Hati... Sabarlah...Allah ada bersamaku... ku pujuk hati...agar tidak terus tenggelam dalam kegusaran...


Subhanallah.. Maha suci Allah yang menciptakan ketentuan... walau pada awalnya, itulah jalan yang terbaik..namun, rahsia Allah tetap rahsia.. disembunyikan dari pengetahuan manusia...


janjiNya... " dan pasti Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, dan kekurangan jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar" ~ Al-Baqarah: 155.


Dia memberi ujian hanya dalam sekelip mata... lantas dibiarkan manusia itu mencari jalan keluarnya sendiri... dibentangnya jalan dengan cara yang cukup terseni...diilhamkan penyelesaian yang hanya mampu dilihat oleh hati nurani...


nah...!!!..sekarang...selesaikanlah sendiri.... kamu mampu...


"dan Kami tidak membebani seseorang melainkan menurut kesanggupannya, dan pada Kami ada satu catatan yang menuturkan dengan sebenarnya, dan mereka tidak dizalimi(dirugikan)"~ Al-Mu'minun:62


ya!!... kamu mampu.. mana mungkin Allah menguji sesuatu buat hambaNya dengan sesuatu yang tidak mampu kau tanggung..


tapi...


"saya dah buat yang terbaik... saya dah istikharah sebelum buat pilihan itu... saya cuba pilih jalan yang paling Allah redhai... tapi sekarang....kenapa saya merasakan pilihan saya dulu adalah kesilapan besar yang pernah saya pilih...kenapa? saya sedih..:-( "


wahai hati... renunglah sedalam-dalamnya... ya..mungkin pilihan yang kau pilih adalah yang terbaik untukmu.. Allah tahu...betapa kau telah berusaha sebaiknya...tapi pernah kah kau fikir, kenapa Allah masih memberi kesukaran buatmu?


renunglah dengan mata hatimu... diamlah sejenak...


pertama..wahai hati.. berbaik sangka lah pada Allah..Tuhan yang menganugerahkan ujian ini kepadamu... jangan Kau fikir yang bukan-bukan pada ketentuan Allah...Allah tahu setiap sangkaanmu padaNya...baca ini..


Firman Allah swt (Hadist Qudsi): " Aku mengikuti persangkaan hambaKu terhadap diriKu menurut apa yang disukainya".~ al-Hadist.


mana mungkin Allah tidak mengerti hati hambaNya..bukankah kita dulu asalnya dari sesuatu yang kotor? daripada sekecil-kecil diri..kini sehingga dewasa hanya dibesarkan dengan rezeki dariNya... Allah mengangkat darjat kita menjadi mulia malah lebih mulia dari ciptaan Allah yang lain. namun, bila Allah datangkan sedikit cubaan semata-mata untuk menguji keimanan, pantaskah kita untuk terus menghukum ketentuanNya?


belailah jiwa... apa yang Allah cuba lakukan ini adalah suatu ketentuan yang tersirat dalam rahsianya... pasti Allah sebagai Pencipta segalanya punyai jawapan atas setiap ciptaanNya....


wahai hati... kedua..fikirlah ini... dulu, kau pernah berkata ; "Ujian tanda kasih sayangNya.. dan ujian adalah anugerah Allah untuk mengangkat darjat hambaNya.." lupakah engkau pada ucapan yang keluar dari bibirmu sendiri.. di saat engkau diberi peluang memberi tazkirah pada satu halaqah..disaksikan sahabat-sahabatmu..? hmm..lupa ya...


inilah peluangnya untuk kau buktikan kata-katamu itu... kerana..sampai satu saat..Allah pasti akan menguji kita atas sesuatu yang pernah kita ucapkan... untuk membuktikan sejauh mana kita mengimani ucapan itu..


ingat..!! "iman itu adalah cabaran..!!" engkau boleh mengaku engkau mencapai tahap iman andai kau lepasi ujian ini... lupakah engkau pada kata-kata hikmah Allah...


" sesungguhnya kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, untuk kami menguji mereka, siapakah diantara mereka yang terbaik perbuatannya"~ Al-kahfi:7


hatiku... kamu inginkan syurga Allah..kan?


"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad diantara kamu, dan belum nyata orang-orang yang sabar"~ Ali-Imran:142


hmm..inilah yang perlu engkau taruhkan... mana mungkin kamu akan mendapat hadiah syurga dari Allah andai ujian sebegini kamu tidak mampu hadapi...mana mungkin... sedangkan dihadapanmu yang Allah hijabkan pandangan, terbentang 1001 lagi cabaran.. yang lebih hebat lagi... xkan ujian sebegini sudah membuatkan kamu lemah..lantas menghilangkan nilai kebergantungan pada Allah... kalau begini sikapmu wahai hati... macam mana kau nak hadapi ujian yang mendatang?


renunglah....


ketiga...wahai hatiku sayang... lihatlah.... Allah itu sangat Penyanyang... bermula dari celiknya matamu awal pagi...telah sedia terbentang nikmat Allah buatmu tanpa sempat kamu pinta... dan kini...ujian mendatangimu... Laa Tahzan...jangan bersedih...


kalau engkau masih bersedih wahai hati... ke sini..dekat denganku.. ingin aku khabarkan berita baik untukmu... bukan dariku... tapi berita ini dari Allah... buatmu andai engkau menghayati setiap apa yang Allah kiaskan dalam Qalam SuciNya ini...


" Sesungguhnya orang-orang yang berkata,'Tuhan kami adalah Allah', kemudian mereka tetap istiqamah, tidak ada rasa khuatir pada mereka dan mereka tidak(pula) bersedih hati. Mereka itulah para penghuni syurga, kekal di dalamnya; sebagai balasan atas apa yang telah mereka kerjakan."~ Al-Ahqaf:13-14.


lihat.. betapa Allah Maha Memahami... dipujuk hatimu sedemiakian rupa... lantas dijanjikan lagi dengan 'hadiah' yang paling istimewa.. cuma..satu perkara yang perlu kamu pertahankan.. adalah..'sabar'... sabar dengan ujian dan sabar menanti anugerah dari Allah...


sekarang.. wahai hatiku... pandanglah semua ini dengan mata hatimu sekali lagi... bangkitlah...bangun... cari rahsia yang Allah sembunyikan dalam Qalam Suci, Al-Quran... susunlah langkahmu... pasti ada jalan keluar...


Allah Maha Mengetahui... berusahalah... walaupun usahamu tidak membuahkan hasil... tapi Dia tahu engkau telah sedaya upaya berusaha mencari jalan keluar dengan cara yang paling diredhaiNya... yakinlah... sabarlah...


malah apapun yang kau cuba jauhkan..diamkan..atau sembunyikan...pantas Allah lebih mengetahui..

"katakanlah: jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam hatimu atau kamu nyatakan, Allah pasti mengetahuinya: Dia mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu" ~Ali-Imran:29


wahai hati...

apapun jua ujian yang bakal mendatang setelah ini...kuatlah kebergantungan mu padaNya...Ilham yang terbentang..gunakanlah sebaik-baiknya..carilah rahsia disebalik rahsia yang disembunyikanNya...

engkau pasti akan menemuinya...

janji Allah itu PASTI..!!! InsyAllah..

Sabarlah wahai hatiku...dan hatimu jua... 


Terima kasih ini ku ucapkan kepada seorang teman...Uhibbukafillah...

Rabu, 20 Oktober 2010

Muraqabah Terhadap Allah



Sahabat yang dirahmati Allah,

Untuk menjadi Mukmin sejati, perlu kepada pengorbanan dan usaha-usaha yang berterusan, iaitu berkorban dan berusha untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Muraqabah terhadap Allah s.w.t adalah sifat jiwa seorang Mukmin.

Ketika malaikat Jibril a.s. pada suatu kesempatan mengunjungi baginda Rasulullah s.a.w. , baginda menanyakan hal mengenai Islam, Iman dan Ihsan .Muraqabah adalah suatu jalan yang sangat berkaitan dengan Ihsan—ketika kita beribadah kepada Allah , seakan-akan kita melihat Dia. Walaupun kita tidak mampu melihat Dia; Dia pasti melihat kita. Ini adalah bentuk tarbiyah untuk menjadi Ihsan.

Seorang Mukmin yang bermuraqabah terhadap Allah akan sentiasa merasai dan yakin sepenuh hati bahawa Allah s.w.t mengawasi segala perjalanan hidupnya, perasaannya, bisikan hatinya samaada dia berseorangan atau bersama orang lain. Mukmin sejati yakin peristiwa di Padang Mahsyar tempat di hisap dengan seadil-adilnya segala amalan dan perbuatannya ketika di dunia ini. Perasaan takut, malu dan gementar untuk berhadapan di Mahkamah Allah s.w.t nanti membuatkan hati dan jiwanya sentiasa muraqabah terhadap Allah s.w.t.

Ingatlah ketika di sana nanti lidah menjadi kelu, giliran anggota lain yang akan berkata-kata mengeluarkan pengakuan dan saksi bagi semua perbuatan si tuan badan. Mata, telinga, tangan dan kaki , bumi yang dipijak, hari dan masa yang bejalan serta lainnya akan mengaku perbuatan itu dan ini. Ketika itu manusia akan terperangkap dengan perbuatan dosa kerana anggota badan sendiri tidak menyebelahinya. Terbongkarlah rahsianya!

Di tambah pula akan di tayangkan 'video clip' atau cctv Allah s.w.t. yang merakamkan 24 jam tidak berhenti-henti semua perbuatannya semasa di dunia.Ia tidak boleh berbohong dan berdalih. Semua ini akan menyingkap kekejiannya. Memalukan dan membawa segunung penyesalan kepadanya.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w membaca ayat ini: "Yang bermaksud: 'Pada hari itu bumi menceritakan beritanya'. Kemudian baginda bertanya:" Adakah kamu tahu apakah yang akan diberitahu oleh bumi itu nanti?"

Para sahabat menjawab:" Allah s.w.t. dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui."

Baginda s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya berita yang akan disampaikan oleh bumi ialah bumi menjadi saksi terhadap semua perbuatan manusia, sama ada lelaki ataupun perempuan terhadap apa yang mereka lakukan di atasnya." Bumi akan berkata: 'Dia telah melakukan itu dan ini pada hari itu dan ini'. Itulah berita yang akan diberitahu oleh bumi."

(Hadis riwayat Imam Tirmizi)


Sahabat yang dimuliakan,

Orang yang muraqabah berperibadi tenang walau pun mendapat nikmat, pujian, atau menghadapi kesusahan, tohmahan dan seumpamanya. Dia merasa bimbang sekiranya kehilangan redha dan pertolongan dari Allah s.w.t.

Nabi s.a.w pernah berpesan yang bermaksud : "Seorang Mukmin itu tidak akan mencuri, ketika mana melakukan perbuatan itu dia adalam Mukmin." Maknanya , ketika dalam hati sesaorang itu ada iman atau hatinya hadir, maka dia tidak akan melakukan kesalahan. Orang beriman tidak akan mencuri jika dia merasai pengawasan Allah s.w.t. Ini kerana, hati yang di miliki itu adalah hati yang sedar dan mampu merasai Allah s.w.t melihat serta mengawasi segala amalannya. Itulah hakikat muraqabah.

Hati orang Mukmin dan hati yang dapat muraqabah bersedia menerima tarbiyyah dan peringatan, kerana segala peringatan akan memandu seluruh anggata kita melakukan ketaatan.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Oleh sebab itu berikanlah peringatan kerana peringatan itu bermenfaat." (Surah al-A'laa, ayat 9).

Dengan saling memberi peringatan ini juga akan melahirkan perasaan takut untuk melakukan kesalahan terhadap Allah s.w.t seperti firmanNya yang bermaksud : "Orang yang takut kepada Allah akan mendapat pelajaran." (Surah al- A'laa, ayat 10).

Latihan paling utama ke arah mendidik hati yang hadir ialah menerusi ibadat solat. Apabila di dalam solat sesaorang itu merasai Allah s.w.t mengawasinya, maka ketika di luar solat atau di mana jua berada hatinya akan tetap muraqabah.Nabi s.a.w di waktu malam banyak menghabiskan masa untuk bersolat tahajud, bermunajat, berdoa dan memohon ampun kehadrat Allah a.w.t. Contoh peribadi mulia ini semestinya menjadi pedoman dan amalan setiap para da'i untuk merapatkan hubungan dengan Allah s.w.t, mencari tenaga baru untuk meneruskan kerja-kerja dakwah dan tarbiyyah.

Sayyidina Umar al- Khattab r.a berkata, "Hisablah dirimu sebelum di hisab pada hari kiamat"

Setiap Mukmin perlu sentiasa muhasabah diri demi kebahagiaan masa hadapan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Hai orang-orang yang beriman, takutlah kepada Allah dan hendaklah (tiap-tiap) orang memperhatikan apa yang di usahakannya untuk hari esok (hari kiamat), dan takutlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan" (Surah ai- Hasyr ayat 18).

Kecemerlangan hidup manusia sebagai hamba Allah s.w.t adalah terletak kepada ketaatan pada perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya, mematuhi tanpa soal Kitab Allah s.w.t dan sunnah NabiNya.

Nabi s.a.w bersabda maksudnya : "Orang yang pandai adalah yang menghisab dirinya serta beramal untuk kehidupan sesudah kematiannya, sedangkan orang yang lemah adalah yang dirinya mengikut hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah s.w.t" (Hadis Riwayat Imam at- Turmudzi)

Imam Mubarakfuri berkata : "Orang yang lemah adalah bersambong dengan lemahnya ketaatan kepada Allah s.w.t dan selalu ikut hawa nafsunya tidak pernah minta ampun kepada Allah s.w.t bahkan selalu berangan-angan bahawa Allah s.w.t mengampunkan doas-dosanya"

Panjang angan-angan atau berangan-angan adalah satu sifat peribadi yang tidak di sukai oleh Nabi s.a.w, mereka-mereka yang memiliki sifat ini sebenarnya malas berusha, mengikut hawa nafsu dan terpengaruh dengan pujukan syaitan laknatullah.Setiap barang yang berharga perlu di bayar dengan harga yang mahal, kejayaan untuk mendapat sekeping ijazah perlu di sertakan dengan usaha yang gigih dan berterusan, begitu juga SYURGA ALLAH S.W.T, untuk memilikinya perlu pengorbanan, jihad yang berterusan, mujahadah,muraqabah dan muhasabah.Di dalam Syurga yang penoh nikmat dan rahmat hanya layak di duduki oleh mereka-mereka yang memiliki hati yang salim, hati yang bersih, hati yang ikhlas dan hati yang bebas daripada syrik kepada Allah s.w.t.


Sahabat yang dikasihi,

Marilah sama-sama kita menjauhkan diri kita daripada amalan dan perbuatan yang mendatangkan murka Allah s.w.t dan kita berusaha untuk beramal ibadah, amal soleh dan sentiasa memperbaruhi iman kita dan sentiasa bermuraqabah terhadp Allah s.w.t. Ingtlah! Sifat Allah s.w.t. Maha Melihat dan Maha Mendengar dan Dia sentiasa melihat dan memerhatikan diri kita dari tutur kata, perbuatan hinggakan niat-niat dihati yang tersembunyi semuanya dapat dilihat dan di dengar oleh Allah s.w.t.

Adakah kita tidak takut dan malu kepada Allah s.w.t sedangkan terlalu banyak nikmat dan rezeki yang telah Allah s.w.t kurnikan kepada kita? Adakah kita masih tidak mahu menjadi hamba-Nya yang bersyukur?

Rasulullah s.a.w mengajar kita untuk sentiasa berdo'a kepada Allah s.w.t maksudnya : " Ya Allah, sesungguhnya kami memohon perlindungan-Mu daripada kelemahan, kemalasan, sifat pengecut, kedekut, nyanyuk dan azab kubur. Ya Allah berikanlah ketaqwaan kepadaku dan sucikanlah ia, kerana Engkaulah sebaik-baik Tuhan yang menyucikan, Engkau pelindung dan memeliharanya. Ya Allah, aku memohon perlindungan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak khusyuk, nafsu yang tidak puas dan do'a yang tidak di kabulkan"

(Hadis Riwayat Muslim)