Sabtu, 4 September 2010

Teruskan Beramal dan Berzakat Fitrah Tanda Hamba Yang Bertaqwa.


Sahabat yang dirahmati Allah,

Ramadhan telah berada dipenghujungnya. Beberapa hari lagi Syahwal akan menjalang tiba iaitu menandakan Hari Raya Aidilfitri akan menjelma lagi.

Hari Raya Aidilfitri disambut pada 1 Syawal tahun Hijrah. Perayaan tersebut juga dikenali sebagai Hari Raya Puasa, Hari Raya Fitrah, dan Hari Lebaran. Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia berbagai bangsa di seluruh dunia yang beragama Islam bagi menandakan berakhirnya bulan Ramadhan yang mana umat Islam telah menjalani ibadat puasa dengan tekun. Ia merupakan antara dua perayaan terbesar bagi umat Islam, selain Hari Raya Korban.

Sebelum menjelangnya Hari Raya Aidilfitri umat Islam diwajibkan membayar zakat fitrah.

Ibnu Umar meriwayatkan: “Rasulullah s.a.w. mewajibkan zakat fitrah di bulan Ramadhan kepada setiap orang Muslim, sama ada dia merdeka atau hamba, lelaki mahu pun perempuan. Iaitu (jumlahnya) segantang kurma atau gandum.”(Hadis Riwayat Imam Muslim)

Di dalam Islam, di samping zakat harta maka semua umat Islam yang layak diwajibkan zakat fitrah. Sungguh pun sama dari aspek nama dan amalan; namun kedua-dua amalan fardu ini mempunyai perbezaan. Ia berbeza lantaran mempunyai beberapa syarat yang mendasari hikmah di sebalik perlaksanaannya.

Zakat fitrah dikenakan kepada semua umat Islam, sama ada merdeka mahu pun hamba sahaya. Ini berbeza dengan zakat harta, kerana tidak dikenakan kepada hamba. Mana mungkin seorang hamba mampu berzakat, andai dirinya sendiri pun dimiliki oleh orang lain. Bahkan, demi mengangkat taraf seorang hamba maka Islam memberikan hak zakat untuk mereka menebus diri.

Zakat fitrah juga mempunyai nisab yang berbeza dengan zakat harta. Untuk menunaikan zakat fitrah, Islam menetapkan bahawa seseorang itu mempunyai makanan yang cukup baginya pada malam hari raya sehingga ke siang hari raya. Jika seseorang itu mempunyai makanan yang cukup bagi tempoh itu, maka wajiblah zakat fitrah ke atasnya. Manakala, nisab zakat harta pula mesti disandarkan kepada nilai emas semasa. Apabila harga emas tinggi, maka tinggilah nisabnya.

Kadar zakat fitrah pula ialah sekadar segantang Baghdad yang dikenakan berdasarkan makanan asasi. Jika di Malaysia, beraslah zakat fitrahnya. Segantang Baghdad itu pula menyamai 2.7 kg. Maka, darablah harga beras semasa dengan 2.7 kg bagi mendapatkan kadar zakat fitrah. Manakala, kadar zakat harta pula ialah 2.5 peratus dari keseluruhan harta. Manakala, jika zakat pertanian pula kadarnya sama ada 5.0 peratus atau 10.0 peratus.

Zakat harta agihannya kepada lapan asnaf. Manakala, agihan zakat fitrah selalunya difokuskan kepada fakir dan miskin. Inilah pandangan sebahagian ulama. Misalnya dinyatakan oleh Ibnu Qayyim, Ibnu Rusyd, Sayid Sabiq dan Karim Zaidan

Menjelang Aidilfitri, bermakna umat Islam menuju kegembiraan. Inilah yang dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w. iaitu orang yang berpuasa diberikan dua kegembiraan. Kegembiraan pertama sewaktu berbuka (berbuka puasa dan berhari raya) dan keduanya ketika menatap wajah Allah s.w.t. di dalam Syurga (mafhum daripada hadis riwayat Imam Muslim dan Imam Ahmad).

Di dalam memastikan umat Islam khususnya golongan fakir dan miskin turut merasai nikmat hari raya inilah, maka zakat fitrah diwajibkan. Ia bertujuan memberikan mereka makanan yang cukup. Bahkan dalam konteks hari ini, fakir miskin bukan sahaja diberikan makanan bahkan wang ringgit. Maka, dapatlah mereka membeli keperluan hari raya dengan wang ringgit tersebut.

Di samping itu, zakat fitrah juga menepati kehendak puasa yang bermaksud mengembalikan manusia kepada fitrah. Apabila zakat fitrah ditunaikan, maka akan terhakislah rasa tamak dan haloba dalam diri. Akan tersingkaplah tirai kesombongan dan diganti dengan rasa rendah diri dan saling berkongsi.

Ibnu Abbas menyatakan: “Rasulullah s.a.w. telah mewajibkan zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang berpuasa daripada ucapan yang tidak ada manfaatnya dan kata-kata yang kotor, serta untuk memberikan makanan kepada orang-orang miskin.” (Hadis Riwayat Abu Daud).

Sahabat yang dimuliakan,

Pergunakanlah beberapa hari yang tinggal dibulan Ramadhan ini dengan penuh keinsafan dan tingkatkan lagi amalan, kerana para sahabat Rasulullah menangisi kerana pemergiaan Ramadhan kerana dibulan yang penuh berkah ini terdapat hikmah dan ganjaran yang tidak diperolehi pada sebelas bulan yang akan datang. Di bulan inilah datangnya rahmat Allah, pengampunan daripada Allah s.w.t. dari segala dosa dan pembebasan daripada api Neraka. Dibulan ini juga pahala fardu digandakan hingga 70 gandaan dan pahala sunat sama dengan pahala fardu.Di bulan ini juga ada malam Lailatul Qadr yang lebih baik daripada beribadah selama 83 tahun 4 bulan. Bersedekah dibulan ini seolah-olah kita memperolehi pahala berzakat kerana betapa besarnya pahala bersedekah. Semua kebaikan-kebaikan yang kita laksanakan, dari yang kecil hingga yang besar akan menghapuskan dosa-dosa kita yang telah lalu.

Bulan Ramadhan dipilih sebagai bulan re-charge untuk kita semua menghadapi 11 bulan keseterusnya. Re-charge dari segi ibadat, akhlak, muamalat. Sebab itu, banyak sekali pantang larang yang perlu kita ikuti dan patuhi sepanjang tempoh sebulan tersebut. Ia adalah latihan Allah s.w.t.. kepada kita supaya dapat diamalkan pada bulan-bulan seterusnya. Solat berjama’ah, berterawih, berzikir, membaca al-Qur'an, menjaga tutur kata dan bersedekah ialah antara amalan yang menjadi kelaziman pada bulan yang mulia ini .Namun, sebaik sahaja azan Maghrib berkumandang menandakan masuknya 1 Syawal, adakah ia juga menandakan panggilan berakhirnya amalan-amalan tersebut? Jika ya, marilah kita sama-sama merenung firman-Nya yang berbunyi ;

وَلَكِنْ كُونُوا رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنْتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنْتُمْ تَدْرُسُونَ

“…namun jadilah kalian hamba Rabbani, terhadap apa yang telah kalian pelajari daripada Al-Quran dan daripada apa yang telah dikaji”.(Surah Ali Imran:79)

Sahabat,

Kekalkanlah amalan-amalan mulia yang kalian lakukan ini walaupun Ramadhan yang penuh berkah pergi meninggalkan kita. Penerusan amalan dan beristiqamah adalah tanda taqwa itu telah kita miliki. Jika kita kembali hidup cara lama iaitu kurang darisegi ibadah dan amal soleh dikhuatiri ibadah puasa kita setakat mendapat lapar dan dahaga saja. Oleh itu marilah sama-sama kita bermuhasabah dan meneruskan jihad dan pengorbanan kita melaksanakan amanah daripada Allah s.w.t dan mencari keredhaan Allah di dunia ini.

Wallahua'lam...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan