Ahad, 27 Jun 2010
HATI YANG BERSIH
HATI YANG BERSIH
"HARI (Akhirat adalah hari) yang tidak bermanfaat lagi harta mahu pun anak pinak. Kecuali seseorang yang datang kepada Allah dengan membawa hati yang sejahtera." [26:88-89]
Pada hakikatnya, untuk memiliki hati yang bersih ini adalah perkara yang paling susah sekali. Ramai orang dengan mudah dapat mengerjakan fardhu, solat, puasa dan lain-lain tetapi untuk memiliki hati yang bersih belum tentu.
Hati yang bersih ini terpancar daripada perilaku, riak wajah seseorang. Orang yang hatinya tulus dan suci dan sering mengingati Allah, wajahnya mendatangkan kedamaian pada yang melihatnya dan membuatkan orang mengingati Allah apabila mendengar tutur katanya yang sopan, berhikmah dan apabila melihat akhlaknya yang mulia sejajar dengan ajaran Rasulullah SAW.
Dan bukan mudah untuk mendapatkan hati yang bersih. Penglihatan, pendengaran, tangan, kaki, makanan yang dimakan semuanya perlu dijaga untuk memperoleh hati yang tulus dan suci.
Ada sesetengah orang daripada percakapannya sahaja kita sudah dapat melihat busuk dan kotornya hati. Percakapan yang berbaur menyindir, menyakitkan hati, kata-kata yang tidak bertapis, yang menghina orang lain, yang berbaur iri hati dan dengki.
Ada juga kita terdengar luahan kawan-kawan yang berbaur buruk sangka, rasa suka hati apabila orang lain ditimpa musibah dan tidak mahu sesuatu nikmat itu yang tidak dia peroleh diperoleh oleh orang lain. Ini semua adalah manifestasi hati yang kotor, mungkin sudah bernanah dan busuk.
Terkejut juga mendengar sesetengah orang sanggup meluahkannya, bagaimana dia membenci seseorang dan berfikir yang bukan-bukan tentang teman yang lain (yang lebih kepada buruk sangka). Perkara-perkara yang kita sendiri apabila terlintas pada fikiran cepat-cepat beristighfar kerana berasa 'thoughts' itu sangat 'awful' tetapi orang begini masih sanggup meluahkan kata-kata tersebut dengan yakin seolah-olah ianya adalah benar.
"Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu" [91:9] dan "Sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya."[91:10]
Sucikanlah hati dengan selalu mengingati Allah, membaca al-Quran dan memohon perlindungan pada Allah daripada syaitan dan supaya dikurniakan hati yang bersih. Dan apabila muncul dalam hati perasaan riak, dengki, cepat-cepatlah beristighfar, mohon dijauhkan. Jangan biarkan ianya merajai hati, supaya kita sentiasa tenang.
Bukanlah orang yang didengki dan dibenci itu yang terseksa, tetapi sebenarnya orang yang selalu iri hati dan membenci orang lain itulah yang paling terseksa hidupnya, kerana sering bergelumang dalam perasaan tersebut sehingga hidupnya menjadi tidak tenang dan sering dalam sakit hati.
"Ketahuilah sesungguhnya di dalam tubuh manusia ada segumpal darah, apabila dia baik maka baiklah seluruh tubuhnya, dan apabila dia rosak, maka rosaklah seluruh tubuhnya. Ketahuilah bahawa segumpal darah itu ialah hati." (Riwayat Muttafaqun 'Alaihi dari Nu'man bin Basyir)
"Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kepada bentuk tubuh dan rupamu, tetapi Dia melihat kepada hatimu sambil Beliau mengarahkan jari-jari-Nya ke dadanya." (Hadis riwayat Muslim dari Abu Hurairah r.a)
Banyak perkara yang perlu dijauhi dalam menjamiin hati yang bersih. Paling penting ialah menjauhi maksiat, perkara-perkara yang melalaikan kita daripada mengingati Allah. Mata harus dijaga daripada melihat yang bukan muhrim, aurat dan lain-lain. Mulut perlu dijaga daripada mengumpat, kata-kata yang tidak baik dan makanan yang syubhah.
Telinga perlu dijaga daripada mendengar muzik-muzik yang melalaikan, dengar orang mengumpat. Kaki perlu dijaga daripada melangkah ke tempat maksiat. Hati perlu dijaga daripada hasad dengki, riak, takbur, buruk sangka, maksiat hati dan mengingati perkara-perkara yang melalaikan kita daripada mengingati Allah.
Dan aurat wanita itu seluruh seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Ramai orang yang tahu dan arif, tetapi jarang sekali dapat melihat wanita menutup aurat dengan sempurna. Bahagian yang lain jika didedahkan, walaupun sekecil mana pun (dan mungkin dianggap 'insignificant') dan dilihat oleh yang bukan mahram, tetapi mendatangkan dosa, setiap dosa itu merupakan titik hitam pada hati, hijab yang menghilangkan hidayah Allah.
Di sini, timbul konsep wara'. Orang yang ingin menjaga thiqah akan menjauhi bukan sahaja perkara yang haram, tetapi juga perkara syubhah.
Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas. Dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhah yang kesamaran, yang kebanyakannya orang tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menjaga perkara syubhah, maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan sesiapa yang terjatuh dalam perkara yang syubhah, maka dia telah jatuh dalam perkara yang haram.
Dan ada yang mengatakan perkara syubhah itu apa yang kamu ragui sama ada ia halal atau haram. Contohnya hari ini sangat banyak perkara syubhah, daripada kehalalan ayam sampailah kepada kehalalan ubat gigi dan pencuci muka. Jika mampu, cubalah sedaya upaya menjauhi yang syubhah kerana ianya memberi kesan pada hati untuk merasai kelazatan beribadah kepada Allah.
Dan ada orang yang beranggapan saya suka makan ikan, kerana setiap hari masa makan tengahari saya akan ambil ikan, bukanlah saya tidak suka makan ayam, tapi kerana ragu-ragu di hati akan adakah ayam itu benar-benar halal. Tetapi apda majlis yang tidak dapat dielakkan, saya akan makan, tetapi selagi boleh, akan cuba elak perkara-perkara yang syubhah.
Bukan makanan sahaja. Dalam pergaulan dengan yang bukan mahram pun perlu dijaga demi menjamin hati yang bersih. Janganlah atas alasan berbincang pelajaran sehingga menghalalkan gurau senda yang keterlaluan bersama bukan mahram. Atau pun sengaja 'practice examination' pada kaum yang bukan sejenis, padahal ada pilihan yang lain.
"Kebajikan ialah sesuatu yang dirasakan mententeramkan jiwa dan hati. Dan dosa ialah sesuatu yang tetap dalam jiwa tersimpan rapat dan bimbang dalam hati, sekalipun diberikan kepadamu penjelasan leh seseorang dan mereka yang menjelaskannya kepadamu dengan fatwa." (Hadis Hasan, riwayat Ahmad dan ad-Darimi)
"Tiada seorang Muslim yang melihat wanita lalu dia memejamkan matanya, melainkan Allah SWT akan memberi pada rasa lazat beribadah di hatinya." (Riwayat Ahmad dan at-Tabrani)
Dan antara akhlak mereka yang hatinya kotor ialah mereka yang selalu mementingkan diri (apa-apa pun biar aku dulu, dan jarang sekali mendahulukan orang lain), mereka-mereka yang tidak bersyukur pada Allah (sering membandingkan diri dengan orang lain, merasa orang lain lebih dan diri serba kekurangan), orang-orang yang tidak bertawakkal pada Allah (merasa putus asa dengan rahmat Allah, putus asa dengan hidup), memandang hina orang lain (merasa diri lebih baik daripada orang lain), kedekut (sering berkira dalam apa yang dibelanjakan) dan lain-lain.
"Saya hairan dengan manusia yang sangat mengutamakan kebersihan dan keindahan tubuh, sedangkan hatinya tidak mereka bersihkan daripada kotoran batin dan maksiat, padahal Allah hanya memandangkan hati mereka seperti firman-Nya dalam surah asy-Syams, ayat 9-10." (Riwayat Imam Ghazali)
Sumber : Daripada akhbar I Luv Islam
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan