Ahad, 12 Disember 2010
Seorang Mukmin Perlu Memiliki Qudwah Hasanah Seperti Peribadi Rasulullah s.a.w.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Kelahiran Rasulullah s.a.w. adalah umpama cahaya bulan yang menyinari kegelapan malam. Kebangkitan Rasulullah sebagai utusan Allah telah berjaya memimpin dan membimbing umat manusia ke jalan yang lurus iaitu Islam.
Firman Allah dalam surah al-An'am ayat 153 yang bermaksud: "Dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus maka ikutilah ia dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain) kerana jalan-jalan ini mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertakwa".
Rasulullah bukan saja menyampaikan risalah dan ajaran Islam semata-mata bahkan baginda sendiri menunjukkan qudwah hasanah iaitu contoh bagaimana yang dikehendaki oleh Islam. Segala tingkah laku, percakapan dan sikap baginda mencerminkan keperibadian Islam yang dituntut dan dikehendaki oleh Allah untuk dicontohi oleh umat manusia.
Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud: "Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu sebaik-baik teladan bagi kamu (untuk diikuti) iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kemuliaan hidup) di akhirat dan orang yang banyak mengingati Allah".
Firman Allah ini dengan jelas menerangkan kepada kita bahawa Rasulullah adalah contoh ikutan terbaik untuk kita bagi menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Dengan kata lain, Rasulullah adalah contoh utama bagi kita umat Islam. Pada diri Rasulullah itu terletak contoh pemimpin yang baik, bapa yang baik, suami yang baik, jiran yang baik, peniaga yang baik, sahabat yang baik dan banyak lagi. Pendek kata, kita selaku umat Islam tidak perlu mencari-cari peribadi atau qudwah hasanah daripada tokoh-tokoh lain untuk dicontohi dan diikuti selain daripada Rasulullah. Ini kerana umat Islam telah pun dibekalkan dengan contoh keperibadian yang terbaik yang merangkumi segenap aspek iaitu Nabi Muhammad s.a.w.
Sahabat yang dimuliakan,
Walau sehebat mana sekalipun manusia itu, mereka tetap tidak dapat menandingi Rasulullah yang sentiasa mendapat jagaan dan peliharaan Allah.
Sahabat-sahabat pernah bertanyakan kepada saidatina Aisyah mengenai akhlak Rasulullah. Dia menjawab: "Akhlak Rasulullah adalah al-Quran".
Jawapan itu dengan jelas menerangkan betapa Rasulullah telah menjadikan al-Qur'an itu sebagai sesuatu yang hidup yang dapat dilihat dan diikuti bukan saja oleh umat Islam bahkan oleh sekalian umat manusia. Oleh demikian, segala ajaran dan perintah Allah yang terdapat di dalam al-Quran dapat kita lihat secara praktikalnya sama ada menerusi hadis yang diriwayatkan oleh periwayat hadis yang muktabar ataupun melalui seerah Nabi Muhammad.
Oleh itu, segala contoh ikutan yang ingin diambil oleh umat Islam sama ada sebagai pemimpin, ketua keluarga, majikan, pendidik, pelajar, tokoh korporat dan sebagainya semuanya ada di dalam diri Rasulullah s.a.w. Dengan itu, memperbetulkan kembali model ikutan kita dengan menjadikan Rasulullah sebagai 'role model' adalah satu kewajiban dan tuntutan agama yang perlu dilakukan oleh kita umat Islam.
Beberapa pengajaran dan contoh tauladan yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. berkenaan kehidupannya untuk kita jadikan panduan serta ikutan dalam mengisi dan mempertingkatkan keimanan kita bagi memperolihi darjat taqwa yang diharap-harapkan. Maka untuk itu, dibentangkan sebahagian dari bimbingan dan teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. khasnya berkenaan perkara-perkara berikut:
Rumahtangga :Keharmonian hidup berumahtangga adalah salah satu faktor utama dalam membina sesebuah masyarakat yang baik dan terhormat. Rumahtangga yang baik dan harmoni ini sukar diperolihi tanpa adanya kerjasama serta saling hormat menghormati antara suami isteri dan lain-lain anggota keluarga.
Suami seharusnya berkelakuan baik dan berakhlak mulia dalam mengendalikan rumahtangganya, di samping itu sentiasa memperlihatkan contoh-contoh yang baik dalam pergaulan supaya ianya mudah diteladani oleh isteri dan anak-anaknya.
Di dalam rumahtangga, para suami tidak sewajarnya bertindak sebagai seorang yang keras dan bengis yang tahu mengarahkan itu dan ini dan mahukan semuanya tersedia untuknya tanpa memikirkan suasana rumahtangga yang memerlukan kasih sayang, kerjasama dan saling bantu membantu.
Dalam kehidupan berumahtangga, Rasulullah s.a.w. telah memperlihatkan suatu teladan yang baik yang boleh diikuti oleh seseorang suami dalam mengurus rumahtangganya. Sebagai seorang suami Rasulullah s.a.w. amat bertimbang rasa dan bersedia membantu keluarganya. Banyak kerja yang dilakukan dengan tangannya sendiri, seperti menjahit pakaian, memerah susu kambing dan apabila mahu makan Baginda makan apa-apa makanan yang sedia ada saja.
Rasulullah s.a.w. sangat marah kepada suami yang memukul isterinya sebagaimana memukul hamba abdi, sabdanya yang bermaksud:
" Tidakkah seseorang dari kamu merasa malu untuk memukul isterinya sebagaimana dia memukul hambanya? Di waktu pagi dipukul isterinya kemudian di waktu malam ditidurinya pula".
Di samping Rasulullah s.a.w. menunjukkan panduan dan contoh tentang hidup tolong menolong serta perasaan kasih sayang kepada isteri, Rasulullah s.a.w. juga menunjukkan suatu teladan yang baik khususnya kepada mereka yang mempunyai isteri yang lebih dari seorang. Sebagaimana yang diketahui umum bahawa Rasulullah s.a.w. mempunyai beberapa orang isteri yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Ada yang masih muda dan cantik, dan ada yang sudah berumur.
Walau bagaimanapun, Rasulullah s.a.w. tidak sekali-kali bersikap pilih kasih dalam layanan kasih sayang antara mereka. Masa dan giliran mereka dibahagikan dengan adil serta cukup rapi sekalipun dalam masa Baginda sakit. Apabila Rasulullah s.a.w. hendak musafir, Baginda menjalankan undi antara isteri-isterinya itu dan hanya yang terkena undi saja yang berhak bersamanya.
Jiran :Agama Islam sangat memandang berat tentang masalah berjiran di kalangan masyarakat umat Islam khususnya dan umat manusia umumnya. Islam memberikan perhatian yang sungguh berat ke arah menjalin hubungan yang baik dan harmoni di kalangan masyarakat sesuatu tempat.
Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. telah memberi panduan dan ajaran kepada umat Islam supaya mengelakkan diri dari segala sesuatu yang mengelakkan diri dari segala sesuatu yang boleh mencetuskan rasa kurang baik sesama jiran. Dalam salah satu sabdanya, Rasulullah s.a.w. telah menerangkan:
Maksudnya: ' Tidak akan masuk Syurga seseorang yang jirannya tidak merasai selamat dari kejahatannya"
Pemimpin tentera :Rasulullah s.a.w. bermesyuarat bersama-sama sahabat-sahabat untuk membincangkan strategi yang perlu dirancang apabila mengetahui satu pakatan jahat kaum musyrikin Mekah untuk menyerang Muslimin di Madinah. Salman Al-Farisi mencadangkan untuk membina parit. Cadangan Salman ini diterima baginda s.a.w lalu memerintahkan menggali parit di sekeliling Madinah. ‘Khandak’ yang bermaksud ‘parit’ diambil nama sempena peristiwa menggali parit sebagai strategi peperangan di dalam peperangan ini yang dipanggil 'Perang Khandak'
Dari hadis riwayat Bukhari dari Sahl bin Saad berkaata: "Kami bersama-sama Rasulullah di dalam kubu, ada yang menggali sedang kami mengangkut tanah di atas belakang kami sambil Rasulullah bermadah".
Baginda "turun padang" dan menunjukkan qudwah hasanah bersama-sama dengan sahabat-sahabat dan kaum Muslimin yang memperjuangkan Islam untuk merasakan kepayahan, kesusahan, kelaparan yang dihadapi. Disamping melaungkan kata-kata semangat untuk menanamkan keyakinan dan semangat yang kukuh, tidak goyah dan gentar. Akhirnya tentera Muslimin berjaya mengalahkan tentera kafir dengan pertolongan Allah s.w.t menghantar angit ribut menerbangkan kemah-kemah pertahanan musuh.
Sahabat yang dikasihi,
Selain daripada qudwah hasanah (contoh yang baik) darisegi peribadi baginda, baginda juga bersifat lemah lembut bila berhadapan dengan kejahilan manusia. Contoh apabila seorang Arab Desa pernah kencing di dalam masjid Nabawi, Sayyidina Umar hendak memukul Badawi tersebut tetapi dihalang oleh Rasulullah s.a.w dengan meminta sebekas air dan menjiruskan air tersebut ditempat terkena air kencing sebagai satu dakwah untuk memujuk Badawi tersebut kepada ajaran Islam.
Satu lagi sifat yang ada pada diri Rasulullah s.a.w adalah sifat ihsan. Rasulullah s.a.w.telah memberikan makna Ihsan sebagai “Hendaklah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat Allah, kiranya engkau tidak melihatNya, maka sesungguhnya Allah tetap melihat kamu.”
Dalam hubungan dengan pembinaan akhlak insan, kita kena faham bahawa akhlak Rasulullah adalah hasil didikan terus dari Allah s.w.t. Rasulullah merealisasikan akhlak yang terkandung dalam ajaran al Qur'an (khuluqul Qur'an) atau menzahirkan akhlak al Qur'an. Sekiranya ingin melihat manusia yang sedar kepada konsep ihsan dan melaksanakan dalam kehidupan sehariannya maka lihatlah apa yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam amalan kehidupannya (sunnah).
Bagaimana konsep ihsan ini dapat membentuk akhlak insan? Kesedaran ke atas konsep ihsan ini sewajarnya timbul dari dalam diri seseorang dan menjadikan seseorang itu merasakan dirinya sentiasa di perhatikan oleh Allah s.w.t.
Sahabat yang dikasihi,
Qudwah hasanah, bersikap lemah lembut dan sifat ihsan adalah satu bentuk dakwah yang paling berkesan sekali untuk kita mengajak orang lain kepada kebenaran Islam. Betapa ramai orang kafir dizaman Nabi s.a.w telah memeluk agama Islam disebabkan mereka melihat contoh dan akhlak yang baik ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.
Selain dari sifat-sifat yang dinyatakan di atas, sebagai seorang Mukmin dan menjadi para dai'e kita mestilah menjadikan dirinya contoh ikutan yang baik kepada masyarakat. Segala tingkah-lakunya adalah menjadi gambaran kepada prinsip-prinsip Islam serta adab-adabnya seperti dalam hal makan minum, cara berpakaian, pertuturan, dalam suasana aman, dalam perjalanan malah dalam seluruh tingkah laku dan diamnya.
Marilah kita membawa qudwah hasanah, bersikap lemah lembut dan bersifat ihsan dalam kerja-kerja dakwah dan tarbiyyah. Semoga dengan usaha-usaha kita ini akan mendapat keredhaan Allah s.w.t. dan ditempatkan kita dikalangan hamba-hamba-Nya yang mendapat kemuliaan di hari akhirat nanti.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan