Ahad, 19 Disember 2010
Kenapa Hati Kita Masih Terhijab?
Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap manusia dilahirkan mempunyai hati. Samaada hati itu hidup atau mati bergantung kepada pemilih hati itu sendiri. Jika ia berusaha mengenali Allah s.w.t dan mencari kebenaran maka hatinya akan jadi baik. Sebaliknya jika ia menjauhkan diri dengan Allah s.w.t dan melanggar perintah dan larangan-Nya maka hatinya akan menjadi sakit. Inilah kelebihan manusia daripada haiwan-haiwan iaitu mempunyai hati yang dapat mengenal Allah dengan sebenarnya hingga ia menjadi hamba Allah yang benar-benar takutkan Allah.
Ini di firmankan Allah s.w.t. yang bermaksud : "Apabila disebut nama Allah,gementarlah hati-hati mereka".
(Surah Al Anfaal ayat 2)
Hati yang terang-benderang begini dimiliki oleh para orang muttaqin, muhlisin, muqarrobin dan solehin. Hati mereka nampak dan kenal betul sifat-sifat keagungan Allah. Sebab itu mereka dapat benar-benar menghambakan diri kepada Allah s.w.t. Sebaliknya ada juga manusia yang hatinya gelap (buta) tidak nampak dan tidak kenal Allah.
Ini juga ada difirmankan oleh Allah s.w.t maksudnya :
"Adakah orang yang mengetahui bahawasanya apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu itu benar sama seperti orang yang buta (mengetahui) ? Hanyalah orang-orang yang berakal sahaja yang dapat mengambil pelajaran."
(Surah Ar Ra’d ayat 19)
Firman Allah s.w.t.lagi maksudnya :
"Mereka itulah orang-orang yang hatinya, pendengarannya dan penglihatannya telah dikunci oleh Allah dan mereka itulah orang orang yang lalai"
(Surah An Nahl ayat 108)
Dari Umar bin Al Khattab, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Cap penutup hati tergantung di kaki Arasy maka bila larangan Allah dilanggar dan yang diharamkan-Nya dianggap halal, Allah mengirim cap penutup hati ini lalu hati para pelanggar dikenakan cap ini".
Bila hati sudah buta, sudah dikunci mati oleh Allah s.w.t., tidak dapat lagilah ia mengenal Allah. Begitulah hati orang-orang kafir dan munaflk yang menyebabkan mereka menolak kebenaran. Walaupun kita sebagai umat Islam, ada juga dikalangan kita hatinya masih buta. Buktinya ialah kita masih tergamak membuat dosa (kecil atau besar). Orang yang masih buat dosa ialah orang yang tidak takutkan Allah . Orang yang tidak takutkan Allah . ialah orang yang tidak kenal siapa Allah . Tidak kenal Allah ialah lantaran kerana hati telah buta.
Sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya : "Sesungguhnya seorang Mukmin apabila melakukan dosa terjadilah satu bintik hitam di hatinya, maka jika dia bertaubat dan berusaha membuangnya selamatlah hatinya, dan kalau bertambah dosanya bertambahlah terkunci hatinya."
Sabda baginda lagi yang maksudnya:
"Orang yang membuat satu dosa hilanglah sebahagian akalnya untuk tidak kembali lagi selama-lamanya."
Kalau mata kita buta, kita tidak dapat melihat, tidak mengenal malah tidak dapat berjalan lagi. Begitulah kalau hati buta, kita tidak dapat mengenal Allah dan tidak dapat menempuh jalan syariat lagi. Kita tidak takut, tidak redha, tidak tawakkal, tidak yakin, tidak berharap kepada Allah, tidak cinta, tidak yakin dengan janji-Nya iaitu Syurga, Neraka, Hari Hisab, seksa kubur, dan lain-lain lagi. Dan bila amalan itu tidak ada di hati kita maka datanglah penyakit hati.
Firman Allah s.w.t.maksudnya :
"Dalam hati mereka ada penyakit lalu ditambah Allah penyakitnya dan bagi mereka seksa yang pedih disebabkan mereka berdusta."
(Surah Al Baqarah: 10)
Mereka akan terseksa di dunia dan di akhirat. Di dunia mereka kecewa, putus asa, keluh kesah, tidak tenang. Di akhirat lagi pedih. Antara penyakit hati yang Allah s.w.t. maksudkan itu ialah hasad dengki, dendam, buruk sangka, tamak, cinta dunia, bakhil, pemarah, penakut, riak, ujub dan sombong.
Sahabat yang dimuliakan,
Bersabda Rasulullah s.a.w. maksudnya : "Dalam diri anak Adam itu ada seketul daging. Bila baik daging itu baiklah seluruhanggota dan seluruh jasad. Bila jahat dan busuk daging itu jahatlah seluruh jasad. Ketahuilah, itulah hati".
(Hadis Riwayat Bukhuri dan Muslim)
Masaalah besar penyakit manusia adalah penyakit hati.Bila hatinya rosak , kotor, sakit dan berselaput maka akan rosaklah seluruh anggota manusia yang lain.
Terdapat beberapa sebab kenapa hati boleh terhijab . Perkara-perkara tersebuat adalah seperti berikut :
Pertama : Memakan makanan yang haram atau syubahat :
Bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
"Hati itu ditempa dengan apa yang dimakan".
Memakan makanan yang haram bukan sahaja hati menjadi terhijab tetapi do'a seseorang juga tidak dimakbulkan oleh Allah s.w.t.
Daripada Abu Hurairah r.a. meriwayatkan, katanya Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Sesungguhnya Allah itu baik. Dia tidak menerima melainkan yang baik. Sesungguhnya Allah memerintahkan orang mukmin dengan apa yang diperintahkan kepada sekalian rasul dengan firman-Nya (seperti yang tersebut dalam hadis yang bermaksud) : Wahai sekalian rasul, makanlah makanan yang baik dan beramallah dengan amalan yang soleh. Firman-nya lagi : Wahai sekalian orang yang beriman! Makanlah makanan yang baik yang telah kami beri rezeki kepada kamu. Kemudian baginda menyebutkan seorang lelaki yang jauh perjalanannya, kusut masai rambutnya, dan berdebu mukanya menghulurkan kedua tangannya ke langit (berdoa) Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Padahal makanannya haram, minumannya haram, dan pakaiannya haram dan (mulutnya) disuapkan dengan yang haram. Maka bagaimanakah akan diperkenankan doanya." (Hadis Riwayat Muslim)
Antara langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengelak dari makanan yang haram ialah:
1. Jangan makan benda yang zatnya jelas haram seperti arak atau makanan yang dicampur arak atau daging yang tidak disembelih.
2.Jangan makan makanan yang bernajis sama ada sifatnya najis (kerana dibuat dari bahan yang tidak halal) atau kerana cara menyucinya tidak betul yakni tidak menurut syariat, menjadikan ia tetap najis (tetap tidak halal).
3. Jangan makan daging sembelihan yang tidak halal dan pembersihannya tidak menurut syariat.
4.Jangan makan makanan yang dibeli dengan duit yang haram (sekalipun makanan itu halal). Duit yang haram adalah seperti rasuah, duit riba, duit curi dan tipu.
5.Jangan kita makan dari usaha yang haram seperti riba, pelacuran, judi, nombor ekor dan lain-lain. Adapun makanan syubahat ialah makanan yang kita ragui halal atau haram dan duit syubahat ialah duit yang sumbernya kita ragui halal atau haram. Kedua-dua makanan dan duit yang syubahat itu wajib dielakkan supaya kita berpeluang memperolehi kejernihan ‘batin untuk mengenal Allah dengan pengenalan yang sebenarnya.
Hari ini banyak makanan di kedai-kedai makanan yang menulis perkataan “HALAL” dan “ISLAM” untuk tanda perniagaan mereka. Kita harus hati-hati juga sebab orang bukan Islam telah menyalahgunakan perkataan "HALAL” dan “ISLAM” itu untuk keuntungan perut dan poket mereka sahaja. Mereka tidak langsung takut pada Allah s.w.t. kerana mereka bukan orang beriman dan tidak ingin untuk mencari keredhaan-Nya.
Kedua :Makanan halal tetapi berlebih-lebihan di dalam pemakanan.
Rasulullah s.a.w. maksudnya :"Wadah yang paling dibenci oleh Allah ialah perut yang penuh dengan makanan yang halal".
Allah s.w.t. benci kepada perut yang penuh dengan makanan sebab perut yang ketat itu akan melemahkan kegiatan hati yakni tidak kuat untuk memandang pada alam ghaib. Bila hati lemah maka manusia jadi lalai dan malas (mahu tidur sahaja). Malas beribadah dan mudah terjebak dalam maksiat. Atas dasar inilah para solafussoleh hanya sedikit makannya.
Rasulullah s.a.w. selalu berlapar perut. Baginda pernah meletakkan batu di perut dan kemudian mengikat perut baginda dengan kain agar dengan itu tidak terasa kekosongan perut yang memang kosong. Baginda jarang kenyang. Tiga hari berlapar, satu hari kenyang. Dan selalunya satu hari baginda berpuasa, satu hari berbuka.
Nabi Sulaiman a.s yang kaya-raya itu juga begitu hidupnya. Selalu berpuasa dan kalau makan hanya roti kering dan air sejuk.
Nabi Yusuf a.s ketika menjadi menteri Mesir pun sehari puasa sehari berbuka. Bila ditanya mengapa baginda berbuat begitu, jawabnya, “Di hari aku lapar, aku dapat merasa aku adalah hamba yang memerlukan pertolongan Allah. Di hari aku kenyang aku dapat bersyukur pada Allah s.w.t. yang memberikan rezeki.”
Begitulah cara hidup Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul, orang-orang muqarrobin dan orang-orang soleh. Mereka berjuang dengan nafsu untuk membersihkan hati supaya merasa diri sebagai hamba Allah yang lemah dan hina dina. Dan cara hidup mereka itulah yang wajib kita contohi. Kita mesti sentiasa berperang dengan nafsu yang sentiasa mengajak kita lalai dari Allah.
Mari kita ubati hati kita dengan cara mengurangkan makan.
Hidangan makanan kita janganlah lebih dari dua jenis lauk. Ini adalah amalan Sayidina Umar. Beliau tidak makan lebih dari dua jenis lauk. Sebab bila lauk sudah bermacam-macam jenis, nafsu kita tambah besar untuk merasa semua jenis lauk.
(contoh sayur dan ikan, atau sayur dan ayam dll jangan campur ayam, daging, telor , udang dan sotong dalam satu hidangan)
Makanan itu biarlah sederhana, jangan terlalu sedap. Sebab kalau terlalu sedap kita tidak mampu mengawal nafsu dari makan lebih.
Ketiga : Pandangan dan Pendengaran yang Haram.
Telah sepakat orang-orang kita mengatakan: “Dari mata turun ke hati.” Ertinya hasil dari pandangan (termasuk pendengaran) bukan setakat di mata dan telinga tetapi akan bersambung dan berkesan ke hati. Kalau apa yang kita pandang dan dengar itu baik, maka hati kita akan menerima kebaikannya. Sebaliknya kalau yang kita pandang dan dengar itu maksiat dan mungkar (haram), maka hati kita akan bersalut kejahatan dan kemungkaran itu.
Allah s.w.t menyuruh lelaki beriman supaya menundukkan pandangan matanya kepada wanita yang bukan mahram, begitu juga Allah s.w.t menyuruh wanita beriman supaya menundukkan pandangan mereka kepada lelaki yang bukan mahram. Hikmah arahan ini adalah supaya mereka akan merasa kemanisan iman dan terpelihara hati mereka daripada cenderung kepada kemungkaran.
Firman Allah s.w.t maksudnya : "Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan".
(Surah an-Nur ayat 30)
Firman Allah s.w.t maksudnya : "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya..."
(Surah an-Nur ayat 31)
Hati yang sentiasa menerima pandangan dan pendengaran yang mungkar ialah hati yang gelap pekat, buta dari melihat keagungan Allah. Hati itu tidak lagi takut pada Allah s.w.t., malah hilang cinta dan rindu pada Allah s.w.t
Kalau setiap hari hati kita terisi dengan zikrullah, bacaan al Quran, puasa, sembahyang sunat, membaca kitab dan mendengar pengajian agama, hati kita akan lembut, terasa indah dalam beribadah kepada Allah, rindu kepada kebaikan, benci dan takut kepada dosa. Tetapi kalau setiap hari kita isi dengan program hiburan di TV, melihat filem-filem dalam CD, berbual kosong, mengumpat dan mencaci, membaca majalah hiburan yang penuh maksiat dan mendengar lagu-lagu rock, nanti kita akan jadi malas beribadah, memandang kecil tentang cara hidup sunnah, tidak lagi rasa takut dengan Allah, tidak membesarkan Allah apalagi untuk rindu pada-Nya dan tidak suka lagi pada ahli-ahli agama dan lupa akhirat.
Hati kita jadi cinta kepada dunia dan segala hiburannya, mahu lepas bebas tanpa sekatan hukum Islam, malas berjuang dan berangan-angan ingin hidup lebih lama lagi. Itulah bukti-bukti menunjukkan tindakan lahir, pendengaran dan penglihatan kepada yang haram, akan membuatkan hati kita buta kepada kebenaran.
Mari kita ubati hati kita dengan membataskan pandangan dan pendengaran hanya kepada apa yang boleh mengingatkan kita kepada Allah, takut pada-Nya dan untuk berbakti pada-Nya.
Antara langkah-langkah yang patut diambil ialah:
1. Banyakkan membaca Al Quran dan terjemahannya, hadis dan kitab-kitab serta buku-buku agama termasuk majalah dan risalah yang berunsur dakwah. Dalam masa yang sama, elakkan daripada membaca buku-buku khayal, majalah hiburan dan akhbar-akhbar yang kosong dari kebenaran.
2. Selalu mengunjungi masjid, tempat pengajian agama, majlis dakwah, tahlil dan zikrullah dan elakkan dari tempat-tempat maksiat, majlis-majlis sosial liar (percampuran bebas) dan keluar rumah tanpa tujuan. Sebab di luar banyak pandangan dan pendengaran yang membawa kepada maksiat serta elakkan dari bergaul dengan kawan yang mengajak kita kepada maksiat.
3. Menziarahi orang-orang soleh, sebab dengan melihat mereka, dapat memberi kekuatan.
4. Ingat mati, kerana selalu mengingati mati akan melembutkan hati.
Sahabat yang dikasihi,
Ingatlah, hati orang Mukmin ialah hati yang sihat dan ceria manakala hati orang yang fasiq (berdosa) ialah hati yang sakit dan resah. Dosa itu akan mengundang resah dalam jiwa. Hati yang terhijab tidak akan merasai kebesaran Allah s.w.t. dan tidak akan bersalah apabila melakukan dosa. Oleh itu marilah kita sama-sama perbaiki hati-hati kita supaya sentiasa sihat, ceria dan sejahtera dan tidak terhijab. Kerana hati yang sejahtera dan salim akan dijemput oleh Allah s.w.t untuk memasuki Syurga-Nya.
Firman Allah s.w.t maksudnya : “Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jama’ah hamba-hamba-Ku. Masuklah ke dalam Syurga-Ku”
(Surah Al-Fajr ayat 27-30)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan