Khamis, 5 Ogos 2010

Persiapkan Tiga Perkara Sebelum Kedatangan Ramadhan


Persiapkan Tiga Perkara Sebelum Kedatangan Ramadhan

Sahabat yang dirahmati Allah,
Ramadhan akan menjelma beberapa hari lagi,
kedatangannya membawa seribu rahmat untuk orang berpuasa.
Setiap detiknya mengandungi keampunan dan keberkatan.
Kedatangannya dinanti oleh orang yang bertakwa.

'Ya Allah, berkatilah kami dibulan Sya'ban ini dan sampaikanlah kami di bulan Ramadhan al-Mubarak.'

Sudahkah sahabat persiapkan diri dan hati untuk menyambut kedatangan Ramadhan?
Adakah sahabat merasa gembira atau resah bila kehadiran Ramadhan?

Nabi s.a.w ada menyatakan sesiapa yang merasa gembira dengan kedatangan Ramadhan ia dijauhkan dari api Neraka.!

Tanda orang Mukmin itu, hatinya terpaut pada Ramadhan, jiwa dan perasaannya seronok dan bergembira kerana di bulan inilah ia dapat mempertingkatkan iman dan takwanya kepada Allah s.w.t., dilipatkan ganda pahala dan diampunkan segala dosa-dosanya yang telah lalu.

Sahabat yang dimuliakan,
Sebagai orang Mukmin kita perlu membuat tiga persiapan penting sebelum kedatangan Ramadhan :

Pertama : Persiapan ilmu tentang Ramadhan.
Membuka kitab mengenai adab-adab puasa, perkara-perkara yang membatalkan puasa dan perkara-perkara yang mengurangkan pahala puasa. Dan amalan-amalan yang perlu dilaksanakan semasa berpuasa.

Syarat Sah Puasa ialah :
1. Islam, tidak sah puasa orang kafir
2. Berakal yang bermaksud mumayyiz, tidak sah puasa orang gila dan kanak-kanak yang belum mumayyiz kerana mereka tidak memiliki niat. Puasa kanak-kanak yang sudah mumayyiz adalah sah. Apabila usianya mencapai 7 tahun, dia hendaklah diminta supaya berpuasa jika dia mampu melaksanakanya. Apabila usianya mencapai 10 tahun, dia hendaklah dipukul kerana meninggalkanya sebagaimana sembahyang.
3. Tidak mempunyai keuzuran yang menghalangnya daripada berpuasa seperti berada dalam keadaan haid atau nifas, pengsan atau gila sepanjang hari.

Sabda Nabi s.a.w bermaksud : “Diangkat qalam (tulisan amalan) daripada tiga jenis manusia : daripada orang tidur sehingga dia bangun, daripada kanak-kanak sehingga dia bermimpi (baligh) dan daripada orang gila sehinggalah dia berakal“.
(Hadis Riwayat Abu Daud dan selainnya).

Kedua : Persiapan hati dan jiwa.
Di akhir bulan Sya'ban ini perlulah kita membuat persiapan hati dan jiwa kita untuk memohon keampunan kepada Allah di atas segala dosa-dosa yang telah kita lakukan sebelum ini. Kita merintih dan mengharap belas kasih daripada Allah s.w.t. supaya mengampunkan dosa-dosa kita hingga berlinang air mata.

Imam al-Ghazali berkata, "Orang yang bijak adalah mereka yg merintih dan memohon keampunan kepada Allah s.w.t sebelum datangnya Ramadhan"

Kita juga perlu meminta maaf kepada ibu bapa, suami, isteri, anak-anak, jiran tetangga, sahabat-sahabat, rakan-rakan dan sesiapa saja yang telah kita melakukan dosa kepada mereka.

Pesanan Jibril a.s. kepada Rasulullah s.a.w. ketika hadirnya Ramadhan:
"Jangan tinggalkan bermohon maaf dengan tiga golongan ketika hadirnya Ramadhan :
Pertama : Mohon maaf dari kedua ibu bapamu.
Kedua : Mohon maaf sesama suami dan isteri.
Ketiga : Mohon maaf daripada keluarga, sahabat handai dan mereka berada disekelilingmu"

Diharapkan masuk saja kita dibulan Ramadhan kita telah bersih dari dosa-dosa besar dan kecil, semoga keberkataan Ramadhan dapat kita miliki sepenohnya.

Ketiga : Ikhlaskan hati kita kepada Allah s.w.t.
Ikhlaskan hati kita kepada Allah s.w.t bahawa kita berazam menjadikan Ramadhan kali ini adalah Ramadhan yang terbaik yang akan kita laksanakan daripada Ramadhan sebelumnya semoga memiliki TAKWA di akhir Ramadhan dengan keazaman :

1. Membaca al-Qur'an 30juz termasuk memahami maknanya.
2..Melaksanakan solat berjemaah 5 waktu dimasjid atau surau secara berjemaah.
3. Melaksanakan solat terawih dimasjid atau surau secara berjemaah termasuk witir.
4. Mengikuti tazkirah Ramadhan.
5. Tidak meninggalkan solat duha.
6. Memperbanyakkan sedekah setiap hari .
7. Sentiasa berwudhu'
8. Melaksanakan solat tahajjud.
9. Memperbanyakkan berdo'a siang dan malam.
10. Meninggalkan semua perkara yang membatalkan puasa dan membatalkan pahala puasa.
11. Menambahkan amalan-amalan sunat disepanjang bulan Ramadhan membaca al-Qur'an samaada siang atau malam dan amalan sunat yang lain.

Sahabat yang dihormati,
Takwa adalah kekuatan dalaman anugrah Allah s.w.t kepada hamba-hamba-Nya yang ikhlas beribadah semata-mata mencari keredhan-Nya,
semakin tinggi takwa kita, maka semakin hampir dan mulia kita di sisi Allah s.w.t.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud, " Solat yang lima, Jumaat hingga Jumaat dan Ramadhan hingga Ramadhan menghapuskan dosa-dosa yang di antaranya apabila (dengan syarat) dijauhi dosa-dosa besar."

Jadikanlah madrasah Ramadhan ini untuk sahabat bersihkan hati dari dosa-dosa dan jinakkanlah nafsu yang liar supaya ia ikut arahan iman, berlapar penting untuk menjinakkan nafsu.

Apabila puasa mengikut sunnah Nabi, hati Muslim menjadi lembut dan takut kepada azab Allah. Muslim akan lebih teliti dalam tindak tanduknya.

Apabila sahabat berpuasa, puasalah segala-galanya ;
Berpuasa pada perut ialah tidak makan dan minum.
Berpuasa pada lidah ialah tidak bercakap sia-sia atau mengumpat.
Berpuasa pada telinga ialah tidak mendengar muzik rock dan perbualan lucah.
Berpuasa pada mata ialah tidak memandang yang berdosa seperti aurat dan pandangan marah.
Berpuasa pada kaki tidak menuju ketempat maksiat dan sia-sia.

Jagalah masa sahabat , tinggalkan perbuatan sia-sia dan cakap kosong.
Bila sahabat dimarahi, bersabarlah dan katakanlah 'saya sedang berpuasa'
Gunakanlah masa sahabat untuk membaca al-Qur'an, berzikir, berselawat, solat-solat sunat.
Tambahkanlah ilmu dengan membaca hadis, tafsir al-Qur'an. buku-buku ulama' muktabar dan hadirilah mana-mana majlis ilmu yang bermanfaat.

Sahabat,
Banyakkanlah beristighfar dan bertaubat kepada Allah,
kerjakanlah solat tarawih sepenohnya dua puluh rekaat termasuk tiga witir.
Janganlah saudara merasa beban dengan ibadah sunat, kerana sesungguhnya satu amalan sunat yang saudara kerjakan akan mendapat pahala satu amalan fardu, dan satu amalan fardu akan digandakan Allah s.w.t kepada 70 kaliganda.
Inilah rahmat Allah s.w.t kepada hamba-hamba-Nya, di bulan yang mulia ini.

Sahabat,
Intai-intailah malam lailatul qadar kerana dimalam ini amalan kita lebih baik dari seribu bulan bersamaan 83 tahun 4 bulan.

Oleh itu janganlah disia-siakan 10 malam terakhir, asingkanlah diri dan beriktikaf di masjid untuk menumpukan ibadahmu kepada Allah, semoga Ramadhan tahun ini sahabat bertemu lailatul qadar, ketika kedatangannya sahabat sedang berdo'a dan bermunajat.

Sahabat,
Ingatlah , orang yang berpuasa mengikut adabnya akan menjadi 'orang baru' kerana berjaya membuang segala kelemahan diri.
Ramadhan di akhiri dengan kesedihan kerana berpisah dengan limpahan rahmat dan keampunan Allah.
Nabi s.a.w pernah bersabda yang bermaksud, "Jikalau para hamba itu mengetahui apa dia Ramadhan, nescaya umatku berangan-angan setahun itu kesemuanya Ramadhan."

Akhir kata, mulai sekarang, sahabat buatlah persiapan serapi mungkin. Buatlah jadual harian sebulan penuh apakah bentuk amalan dan ibadah yang akan dilaksanakan. Anggaplah Ramadhan kali ini merupakan Ramadhan terbaik yang akan saudara laksanakan dalam rangka mencari keredhaan Allah s.w.t.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan