Khamis, 7 Julai 2011
Pemimpin Islam Harus Menghormati Hak Bersuara Rakyat Jelata
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Di dalam Islam seorang yang telah dipilih menjadi pemimpin perlulah melaksanakan amanah dan tanggungjawab. Pemimpin perlu mendengar rintihan, kesusahan dan permohonan daripada suara dan kehendak rakyat. Pemimpin tidak boleh bersikap berat sebelah atau tidak adil di dalam menyelesaikan masaalah yang dihadapi oleh rakyat. Pemimpin tidak boleh mengutamakan kroni atau ahli keluarganya sahaja di dalam mengagihkan projek atau kekayaan negara kerana sesiapa dikalangan rakyat yang berkemampuan dan berkelayakkan perlu diberikan hak-haknya.
Beberapa ciri-ciri penting kepimpinan Islam adalah seperti berikut:
1. Setia Pemimpin dan orang yang dipimpin (rakyat) terikat kesetiaan kepada Allah.
2. Tujuan Pemimpin melihat tujuan negara bukan saja berdasarkan kepentingan kelompok/parti tetapi juga dalam ruang lingkup tujuan Islam yang lebih luas.
3. Berpegang pada syariat dan akhlak Islam. Pemimpin terikat dengan peraturan Islam, boleh menjadi pemimpin selama ia berpegang pada perintah syariat. Ketika mengendalikan urusannya ia harus patuh kepada adab-adab Islam, khususnya ketika berurusan dengan rakyat dan dengan negara lain.
4. Pembawa Amanah. Pemimpin menerima kekuasaan sebagai amanah dari Allah SWT yang disertai dengan tanggungjawab yang besar. Al-Quran memerintahkan pemimpin melaksanakan tugasnya untuk Allah SWT dan menunjukkan sikap baik kepada rakyatnya sebagaimana Firman Allah SWT:
“Iaitu orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka, nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah perbuatan yang mungkar, dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.” (Surah Al-Hajj, ayat 41).
Pemimpin seharusnya memperlakukan manusia secara adil dan tidak berat sebelah tanpa mengira suku bangsa, warna kulit, keturunan dan lain-lain. Al-Quran memerintahkan agar kaum muslimin berlaku adil bahkan ketika berurusan dengan para penentang mereka.
Firman Allah SWT maksudnya : “Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu berlaku adil.” (Surah An-Nisa’, ayat 58).
Firman-Nya lagi yang bermaksud : “Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil lebih dekat kepada takwa.” (Surah Al-Ma’idah, ayat 8.)
“Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah walaupun terhadap dirimu sendiri, ibu-bapa, dan kaum kerabatmu, sama ada ia kaya atau miskin, kerana Allah akan melindungi.” (Surah An-Nisa’, ayat 135).
Selain memenuhi prinsip keadilan yang menjadi asas tertegaknya masyarakat Islam. Pemimpin Islam juga mesti menyelesaikan pelbagai perbezaan pendapat atau pengaduan orang ramai. Hak rakyat untuk bersuara dan menyatakan pandangan atau menegur pemimpin perlulah di ambil perhatian. Pemimpin tidak boleh bersilap kasar dan keras (tidak kena tempat) dengan memaksa rakyat dengan kekerasan (memaksa rakyat dengan keputusannya). Pemimpin Islam tidak boleh hanya melaukan selogan-selogan kosong untuk mengutamakan rakyat tetapi apabila berlaku perbezaan pendapat dengan rakyat mengambil sikap tidak mahu bertolak ansur.
Daripada Auf bin Malik daripada Rasulullah SAW sabda baginda: “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah yang kamu suka dan mereka menyukai kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu, seburuk-buruk pemimpin kamu adalah yang kamu benci dan mereka benci kepada kamu, kamu melaknapt mereka dan mereka melaknat kamu”. Kata para sahabat: ‘wahai Rasulullah, apakah tidak boleh kami memerangi mereka?’ Jawab baginda: “Tidak boleh selagi dia mendirikan solat dalam kalangan kamu dan jika kamu melihat pemimpin kamu melakukan sesuatu yang dia benci maka bencilah amalannya tetapi jangan cabut tangan dari mentaatinya (dalam makruf)”.(Hadis Riwayat Muslim dan Ahmad)
Dalam hadis yang lain daripada Ummu Salamah r.ha Isteri Rasulullah SAW bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Akan ada nanti para pemerintah yang mana ada tindakan mereka kamu setujui dan ada yang kamu ingkari, maka barangsiapa yang dapat mengenal pasti (antara yang baik dan buruk perbuatan mereka) maka dia akan terlepas (dari maksiat), barangsiapa yang mengingkarinya akan selamat, tetapi mereka yang reda dan mengikut (maka dia binasa)”. Kata Sahabat: Apakah tidak wajar kami memerangi mereka? Jawab baginda s.a.w: “Tidak boleh, selama mereka mendirikan solat”.
(Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud dan Tarmizi).
Rakyat tidak harus dihukum dan ditangkap oleh penguasa undang-undang hanya kerana mereka menyatakan cadangan dan pandangan yang bernas untuk memulihkan keadilan atau membetulkan penyelewengan pemimpin, kerana apabila hati rakyat telah terluka maka akibatnya pemimpin tidak akan dihormati dan rakyat akan memilik pemimpin lain yang lebih berwibawa, adil dan bertolak ansur.
Sahabat yang dimuliakan,
Tujuan memilih pemimpin adalah supaya ada yang mengatur setiap urusan, dan ada yang bertangungjawab dan membela sesuatu keperluan sebagaimana dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud : "Pemimpin itu adalah perisai memerangi musuh rakyatnya dan melindungi mereka. Jika pemimpin itu mengajak rakyatnya kepada ketakwaan kepada Allah dan bersikap adil maka pemimpin itu bermanfaat bagi rakyat, tetapi jika dia memerintahkan selain itu maka pemimpin itu merupakan musibah bagi rakyatnya"
( Hadis Riawyat Muslim ).
Tidak semua orang berhak memimpin sebab kepemimpinan itu meupakan amanah dan tanggungjawab. Auf bin Malik menceritakan bahwa Rasulullah bersabda : “ Aku khabarkan kepadamu tentang pemimpin “. Auf berkata : Apa itu ya Rsulullah? Nabi menjawab : “ Kedudukan itu nanti merupakan sesuatu yang dapat membuat engkau hina. Kedua, kedudukan itu nanti akan memberikan penyesalan. Ketiga, kedudukan itu akan menjadi penyebab seksaan di hari akhirat, kecuali jika orang yang mendapat kedudukan itu dapat bersikap adil, tetapi bagaimana mungkin seseorang itu dapat berlaku adil dengan kaum kerabatnya ( Hadis Riwayat Bazar, dan Thabrani )
Perlu difahami dan dingatkan bahawa pemimpin Islam yang bertanggungjawab bukan hanya kepada para pengikutnya atau partinya sahaja, malah apa yang lebih penting ialah dia bertanggungjawab kepada Allah SWT di akhirat nanti!
Sebagai kesimpulannya, di dalam pencarian model pemimpin dan kepimpinan Islam, empat elemen yang perlu ada iaitu intelek, rohani, jasmani dan emosi hendaklah diperkukuhkan dan dimantapkan.
Keempat-empat elemen ini perlu saling lengkap-melengkapi di dalam pembentukan karakter dan jati diri pemimpin yang unggul. Pastinya ilmu, iman, berhemah tinggi dan hikmah merupakan transformer penganjak yang mesti diaktifkan dan dipastikan terus mengaliri urat nadi kepimpinan umat masa kini dan generasi harapan pimpinan masa depan secara keseluruhannya.
Sahabat yang dikasihi,
Ingatlah bahawa sesungguhnya generasi hari ini penentu kejayaan generasi mendatang. Pemimpin yang diredai Allah SWT ada pemimpin yang berusaha bersungguh-sungguh supaya syariat Allah SWT berjalan dalam pemerentahannya ataupun dia berusaha kearah perlaksanaannya secara beransur-ansur. Pemimpin yang dibenci Allah SWT adalah pemimpin yang memusuhi para alim ulama, tidak ada usaha bersungguh-sungguh menegakkan kalimah Allah dan menzalimi rakyat yang tidak berdosa dan menafikan hak-hak kebajikan dan keperluan asasi yang perlu dimiliki oleh mereka.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan