Ahad, 3 April 2011
Kisah Luqman Al-Hakim dan Kata-kata Nasihatnya
Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Luqman al-Hakim adalah seorang hamba Allah yang soleh dan bertakwa dan ahli hikmah yang diceritakkan sendiri oleh Allah S.W.T. di dalam al-Quran surah Luqman.
Firman Allah S.W.T. maksudnya : “Dan sesungguhnya Kami (Allah) telah mengurniakan hikmah (kebijaksanaan) kepada Luqman (Kami katakan): Hendaklah engkau bersyukur kepada Allah! Siapa yang syukur, sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri, dan siapa yang kufur (ingkar) sesungguhnya Allah itu terkaya lagi terpuji.”
(Surah Luqman, Ayat 12)
Di sini Allah mengisahkan tentang Luqman al-Hakim (yakni Luqman yang bijaksana). Dalam tafsir-tafsir ‘al-Khazin’ dan ‘ Hasyiatul Jamal ‘Ala Jalalain’ ada di sebutkan ciri-cirinya,
antara lainnya seperti berikut:-
Bahawasanya Luqman itu adalah anak kepada Faghur bin Nakhur bin Tarikh (Azar), dengan demikian litu Luqman adalah anak saudara kepada Nabi Ibrahim a.s.; atau dikatakan juga
Luqman itu anak saudara kepada Nabi Ayub a.s. Diriwayatkan juga bahawa Luqman telah hidup lama sampai seribu (1,000) tahun sehingga dapat menemui zaman kebangkitan Nabi Daud a.s., bahkan ia pernah juga menolong Nabi Daud a.s. dengan memberikan kepadanya Hikmah atau kebijaksanaan. Luqman pernah menjadi Kadi, yakni hakim, untuk mengadili perbicaraan kaum Bani Israel.
Para ulama semuanya sepakat mengatakan Luqman itu seorang yang Ahli Hikmah (bijak bistari), bukan seorang nabi, kerana lafaz hikmah dalam ayat di atas dimaknakan ‘kenabian’. Dan dikatakan juga apabila Luqman disuruh pilih antara hikmah (kebijaksanaan) dengan nubuwwah (kenabian), dipilihnya hikmah.
Adalah diceritakan, bahawa Luqman telah tidur di tengahari lalu kedengaran suara memanggilnya: “Hai Luqman! Mahukah kalau Allah jadikan engkau seorang Khalifah di bumi yang memerintah manusia dengan hukuman yang benar?” Dijawabnya: “Kalau Tuhanku menyuruh pilih, akan saya pilih ‘Afiat (selamat) dan saya tidak tidak mahu bala (ujian). Tetapi kalau saya ditugaskan juga saya akan turut. Kerana saya tahu bahawa Allah Taala kalau menetapkan sesuatu kepada saya pasti Dia menolong dan memelihara saya.”
Kemudian dikatakan para malaikat pula bertanya: “Hai Luqman! Adakah engkau suka diberi hikmah?” Dijawabnya: “Sesungguhnya seorang hakim kedudukannya berat, dia akan didatangi oleh orang-orang yang teraniaya dari segenap tempat. Kalau hakim adil akan selamat, dan kalau tersalah jalan akan tersalah pula jalannya ke neraka. Siapa yang keadaannya hidup di dunia, itu lebih baik daripada dia menjadi mulia. Dan siapa yang memilih
dunia lebih daripada akhirat, akan terfitnah oleh dunia dan tidak mendapat akhirat.”
Para malaikat pun takjub mendengarkan kebagusan kata-katanya itu. Apabila Luqman tertidur semula, dia dikurniakan hikmah, lalu terjaga dan berbicara dengan kata-kata yang berhikmah selepas itu. Juga diriwayatkan bahawa Luqman itu seorang hamba bangsa
Habsyi, kerjanya sebagai tukang kayu, tukang jahit dan seorang penggembala kambing. Apabila bertemu dengan seorang lelaki dia bercakap dengan penuh hikmah, sehingga orang lelaki itu takjub lalu berkata: “Bukankah engkau seorang penggembala kambing?” Dijawabnya: “Benar!” Lalu ditanya orang lelaki itu lagi:
“Bagaimana engkau telah dapat mencapai kedudukan engkau yang begini (bijak bestari)?” Luqman menjawab: “Saya mendapatnya dengan bercakap benar, memelihara amanah dan tak ambil tahu apa yang bukan urusan saya.”
Ada juga diriwayatkan bahawa Luqman berasal dari Sudan/Mesir, berkulit hitam, bibirnya tebal dan kulit kakinya pula retak-retak. Juga dikatakan bahawa sebaik-baik orang dari benua Afrika itu adalah 3 orang, iaitu: Bilal bin Robah, Mahja’ (yakni hamba sahaya Sayidina Umar ibn Khattab) dan Luqman al-Hakim. Orang yang ke empat pula ialah an-Najasyi (Raja
Habsyah yang beriman di zaman Nabi Muhammad S.A.W..)
Luqman Al-Hakim ada memberi nasihat panjang Luqman anaknya yang diriwayatkan oleh Al-Muharbi,daripada Sufyan Ats-Thaury.Antara kata-kata hikmahnya adalah:
1. “Hai anakku!Janganlah engkau letakkan kebaikanmu itu, kecuali di sisi penjaganya.Hal ini seperti tidak ada persahabatan antara kambing biri-biri dan serigala.Begitu jugalah tidak ada persahabatan antara orang yang baik dan yang jahat.”
2. “Hai anakku!Jadilah engkau hamba kepada orang yang baik dan janganlah engkau jadi sahabat kepada orang yang jahat.”
3. “Hai anakku!Jadilah engkau orang kaya,nescaya engkau menjadi orang yang dipercayai.”
4. “Hai anakku!Janganlah enkau meminta sesuatu perkara dari belakang dan janganlah engkau menolaknya dari depan.Hal ini kerana yang demikian itu akan memperlekehkan pandangan dan mencela akal fikiranmu.”
5. “Hai anakku!Sekiranya engkau beradab walaupun sedikit,engkau akan peroleh faedah yang banyak.”
6. “Hai anakku!Lakukanlah kebaikan itu untuk ahlinya dan janganlah engkau meletakkannya pada yang bukan ahlinya,nescaya engkau akan rugi di dunia ini dan mengharamkan pahalanya di akhirat kelak.”
7. “Jadilah engkau orang yang bersederhana dan janganlah boros.Juga janganlah engkau memegang harta dengan kedekut dan janganlah memberinya dengan boros”
8. “Hai anakku!Lazimilah dirimu dengan hikmah,nescaya engkau akan memuliakan dengannya kerana tuan bagi akhlak hikmah adalah agama ALLAH”
9. Luqman berkata lagi: “Hai anakku!Ada tiga tanda bagi orang yang berhasad dengki itu.Dia akan mengumpat sahabatnya apabila kawannya tiada,akan memujuk apabila dia melihat dan akan bergembira dengan musibah yang menimpa sahabatnya.”
10. Beliau juga berpesan: “Hai anakku!Barang siapa yang memikul sesuatu yang dia tidak terdaya,dia akan menjadi lemah dan barang siapa yang berasa kagum dengan dirinya sendiri akan binasa.Dan barang siapa yang bersikap takbur serta menyombong diri terhadap manusia akan menjadi hina”
11. Seterusnya katanya: “Hai anakku!Janganlah engkau bergaul dengan orang yang bodoh.Walaupun dia memiliki rupa yang indah, namun dia seperti pedang, baik pemandangannya tetapi amat buruk kesannya.”
12. “Hai anakku!Berwaspadalah engkau dari sahabat yang jahat kerana sesungguhnya dia umpama pedang yang dihunuskan (dari sarungnya).Pandangannya mengagumkanmu sedangkan kesannya amat buruk.”
13. Dalam kitab Bahjatul Majalis, Luqman berkata kepada anaknya: “Hai anakku!Merendah dirilah engaku dengan kebenaran,nescaya engkau menjadi manusia yang paling berakal.”
14. “Hai anakku!Barang siapa yang terlalai dalam permusuhan, dia akan dimusuhi dan barang siapa yang melampau dalamnya,dia telah berdosa.Maka,berkatalah dengan yang hak walaupun ia terkena dirimu dan janganlah engkau peduli orang yang marah.”
15. “Hai anakku!Janganlah engkau bertengkar dengan orang yang bijaksana serta janganlah engkau bermujadalah dengan orang yang gagap.Juga janganlah engkau bergaul dengan orang yang zalim serta janganlah engkau bersahabat dengan orang yang tertuduh.”
Sahabat yang dimuliakan,Marilah kita sama-sama hayati setiap kata-kata nasihat Luqman Al-Hakim yang penuh hikmah dan bijaksana. Kata-kata beliau berupa mutiara berharga yang tidak pernah rosak walaupun zaman telah berlalu ribuan tahun. Kata-kata tersebut masih relevan dan boleh digunakan sehingga sekarang.
wassalam...
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan