Isnin, 29 November 2010

Siapakah Pendusta Agama?



Sahabat yang dirahmati Allah,

Menyayangi dan memelihara anak yatim adalah sebagai satu kewajipan yang diperintahkan oleh Allah s.w.t kepada setiap orang Islam. Dan ia adalah salah satu usaha murni untuk memperjuangkan Islam yang jarang dilakukan orang. Oleh itu untuk megatasi masalah sosial yang timbul disebabkan empat perkara iaitu iaitu :


1. Tidak memuliakan anak yatim.

2. Tidak memberi makan orang miskin.

3. Memakan harta pusaka dengan cara yang tidak benar dan

4. Mencintai harta benda secara berlebihan.


Firman Allah s.w.t maksudnya : "Adapun manusia apabila Rabb-nya mengujinya lalu dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia berkata : “Rabb-ku telah memuliakanku”. (15) Adapun bila Rabb-nya mengujinya lalu membatasi rezekinya, maka dia berkata : “Rabb-ku menghinakanku.” (16) Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya kamu tidak memuliakan anak yatim, (17) dan kamu tidak saling mengajak memberi makan orang miskin, (18) dan kamu memakan harta pusaka dengan cara mencampurbaurkan (yang halal dan yang bathil), (19) dan kamu mencintai harta benda dengan kecintaan yang berlebihan. (20)"

( Surah al-Fajr ayat 15-20)

Allah s.w.t. berfirman di dalam ayat diatas bahawa Allah s.w.t menempelak orang yang mengatakan ia dimuliakan sebab memiliki harta dan di luaskan rezekinya dan meyakini bahawa hal itu dari Allah s.w.t. sebagai penghormatan baginya. Padahal tidak demikian, tetapi itu adalah sebagai cobaan baginya.Begitu juga apabila Allah s.w.t membataskan rezeki untuknya ia mengatakan Allah menghinanya sedangkan ini semua adalah ujian daripada-Nya.

Syeikh Muhammad Abduh berkata, “Allah berkali-kali menegaskan wasiat tentang anak yatim dalam al-Quran dan as-Sunnah. Cukuplah bagimu untuk diketahui bahawa al-Quran melarang mengherdik anak yatim dan mengancam dengan ancaman yang berat kepada orang yang memakan harta anak yatim. Anak yatim itu memerlukan kasih sayang fitriah untuk membantu, mendidik dam memelihara hak-haknya.”

Pada ketika ini, kita sering melihat pemimpin Islam hidup dalam kemewahan sedangkan orang fakir miskin sedang menderita megharapkan pembelaan, mereka menangis kesedihan kerana tidak cukup perbelanjaan harian, tidak memiliki tempat tinggal dan tidak mempunyai pendapatan yang tetap dan tidak mampu untuk menampung keperluan hidup yang sentiasa meningkat. Pemimpin Islam sepatutnya pemimpin yang memihak rakyat bawahan, bukan mengutamakan kroni dan ahli keluarga sahaja atau penyokong-penyokong mereka yang hidup di persekitaran kalangan mereka sahaja.

Pemimpin umat Islam seharusnya memilih hidup yang sederhana, kerana sebahagian umat Islam yang lain masih hidup dibawah aras kemiskinan. Demikian juga dengan Jemaah Islam seharusnya memberi sumbangan dan bantuan untuk menggembirakan mereka yang miskin, teraniaya, dianiayai atau yang tertindas oleh beban hutang.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apabila masyarakat sudah membenci orang miskin dan menonjol-nonjolkan kehidupan dunia serta rakus dalam mengumpulkan harta, maka mereka akan ditimpa empat bencana, iaitu zaman yang berat, pemimpin yang zalim, penegak hukum yang khianat dan musuh yang mengancam.”

Daripada sabda Rasulullah s.a.w ini, kita dapat mengambil pelajaran bahawa munculnya masalah atau kesulitan ekonomi, kemunculan ramai pemimpin yang zalim, berlakunya pengkhianatan oleh penegak hukum adalah disebabkan oleh terabainya nasib orang-orang miskin dan keasyikan mengumpul kekayaan.

Ibnu Hazm mengatakan bahawa : "Kemiskinan hanya dapat diatasi dengan kesediaan orang kaya memberikan hak orang miskin yang diamanahkan Allah s.w.t. kepadanya"

Firman Allah s.w.t maksudnya : “Dan nafkahkanlah sebahagian daripada hartamu yang Allah telah menjadikan kamu menguasainya.” (Surah al-Hadid ayat 7)

Sahabat yang dimuliakan,

Bahawa kemiskinan yang berlaku dalam masyarakat kita adalah tanggungjawab kita bersama. Menolong dan membela yang lemah, miskin dan kurang upaya adalah ciri-ciri orang yang bertaqwa .

Firman Allah s.w.t. maksudnya : "Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaipan meminta sedekah) dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya)."

(Surah al-Baqarah ayat 197).

Inilah yang dikatakan golongan pendusta agama yang mengabaikan nasib golongan yang lemah dan miskin dan tidak bersungguh-sungguh membantu mereka, enggan memberikan pertolongan. Manusia yang tidak pernah sensitif dan peka dengan masalah anak yatim dan fakir miskin atau melalaikan solat serta berbuat riak, disebut oleh Allah s.w.t sebagai pendusta agama.

Hal ini dijelaskan di dalam al-Quran, iaitu pada surah al-Maa’uun. Surah ini merupakan surah ke-110 di dalam al-Quran dan termasuk golongan surah Makkiyyah (surah yang diturunkan di Mekah).

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama? Itulah orang yang menghardik anak yatim, dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin. Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat, (ia itu) orang-orang yang lalai dari solatnya. orang-orang yang berbuat riya . dan enggan (menolong dengan) barang berguna."

(Surah al- Maa'uun ayat 1-7)

Nama al-Maa’uun diambil daripada kata al-Maa’uun yang terdapat pada ayat terakhir surah ini yang bererti `barang-barang yang berguna’. Surah ini juga disebut surah at-Takzib yang bererti pendustaan kerana di dalamnya dipaparkan perilaku orang yang mendustakan agama.

Bagi manusia yang mempunyai sifat-sifat seperti yang digambarkan dalam surah al-Maa’uun, Allah s.w.t menjanjikan pembalasan dan siksaan Neraka. Orang yang memiliki sikap seperti yang digambarkan dalam surah al-Maa’uun telah kehilangan kepekaan kepada masyarakat . Mereka tidak mahu untuk mengeluarkan hartanya sedikit pun untuk sesama manusia.

Dalam hati mereka tidak ada rasa belas kasihan untuk membantu memenuhi keperluan masyarakat. Inilah yang dimaksudkan dengan orang-orang yang `menolak memberi bantuan’ pada akhir surah ini.

Surah al-Maa’uun memaparkan perilaku manusia dalam kehidupan sosial yang dikategorikan sebagai pendusta agama. Mereka memiliki kebiasaan mengherdik anak yatim dan tidak memberi makanan kepada fakir miskin. Perilaku seperti ini merupakan cerminan sikap takbur dalam diri sendiri. Mereka menganggap anak yatim serta fakir miskin sebagai anggota masyarakat yang rendah dan hina.

Surah al-Maa’uun juga memperlihatkan perilaku manusia dalam beribadah yang dikategorikan pendusta agama. Mereka melalaikan solat, dalam erti melaksanakan solat tanpa keikhlasan dan kekhusyukan, atau tidak menunaikan solat dengan benar.Solat mereka tidak lebih daripada ucapan lisan serta gerakan badan yang telah terbentuk sedemikian rupa tanpa penghayatan makna serta hikmah setiap ucapan dan gerakan yang mereka lakukan.

Dalam surah al-Maa’uun juga disebutkan bahawa orang yang berbuat riak akan dibalas oleh Allah s.w.t. Riak ialah melakukan suatu amal perbuatan untuk mencari pujian yang ia anggap ibadah itu. Allah s.w.t sendiri mengancam mereka yang berbuat riak dengan siksaan yang berat di Neraka.

Rasulullah s.a.w. dalam sabda bermaksud: "Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak."

(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Manusia yang digambarkan dalam surah al-Maa’uun tidak menempatkan solat sebagai sarana untuk berkomunikasi dengan Tuhan, melainkan hanya untuk sebagai ibadah ritual dalam kehidupan mereka.

Ingatlah antara misi terpenting Islam saperti yang dinyatakan di dalam al-Qur'an ialah membela, menyelamatkan, membebaskan, melindungi dan memuliakan golongan yang miskin, lemah dan tertindas.

Dalam sebuah hadis Qudsi diriwayatkan, Allah s.w.t hanya menerima solat daripada orang yang `menyayangi orang miskin, ibnu sabil, wanita yang ditinggalkan suaminya dan yang menyayangi orang yang mendapat musibah’.

Ketika Nabi Musa a.s bertanya kepada Allah s.w.t, “Tuhanku, di mana aku harus mencarimu?” Allah s.w.t menjawab: “Carilah Aku di tengah-tengah mereka yang hancur hatinya.”


Sahabat yang dikasihi,

Marilah sama-sama kita kasih dan sayang kepada anak-anak yatim, orang-orang miskin dan dhaif dan kurang upaya dan menjaga solat supaya khusyuk dan dijauhi dari sifat riak. Kerana dengan mengasihi mereka hati kita akan hilang rasa tinggi diri atau ego. Sedekah yang kita berikan kepada golongan yang susah dan memerlukan bantuan lebih bermakna dan bernilai disisi Allah s.w.t. Do'a daripada mereka yang susah dan miskin lebih makbul disisi Allah s.w.t daripada do'a orang-orang kaya yang tidak merasai keperitan dalam kehidupan ini.

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersada yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya." (Hadis Riwayat Muslim).

1 ulasan: