Arkib Blog
-
▼
2010
(55)
-
▼
Julai
(11)
- DEMI MASA...
- Adab-adab Berdo'a Kepada Allah.
- Persiapan Diri Untuk Menyambut Kedatangan Ramadan ...
- Dunia Penjara Bagi Orang Mukmin dan Syurga Bagi Or...
- Hiasilah akhlak kita dengan sifat warak...
- ~~~ Banyak Ketawa Mematikan Hati ~~~
- Detik terakhir Rasulullah sblm wafat part2
- Detik terakhir Rasulullah sblm wafat
- Akhlak Yang Mulia...
- HANTARAN AL-QURAN...
- KEHEBATAN BERZIKIR (SATU KAJIAN)
-
▼
Julai
(11)
Ahad, 25 Julai 2010
Dunia Penjara Bagi Orang Mukmin dan Syurga Bagi Orang Kafir.
Dunia Penjara Bagi Orang Mukmin dan Syurga Bagi Orang Kafir.
Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Walau pun hidup di dunia singkat berbanding kehidupan akhirat, tetapi ianya sangat penting kerana ia adalah penentu samaada kita bahagia atau celaka di hari akhirat nanti.
Untuk bahagia di hari akhirat, kita mesti melakukan sebanyak-banyaknya kebaikan ketika hidup di dunia. Samalah seperti jika kita ingin memetik buah yang lebat, manis dan segar, maka pokok yang kita tanam perlu subur dan sihat. Mana mungkin, pokok yang layu, kering dan tidak sihat menghasilkan buah yang baik.
Begitulah hubungan kehidupan dunia dengan akhirat. Orang yang memikirkan kehidupan di hari akhirat ialah orang yang paling kuat berusaha, beribadah dan membuat kebajikan ketika hidup di dunia.
Hidup di dunia kita terikat dengan peraturan dan undang-undang yang telah di tetapkan oleh Allah s.w.t. Tidak boleh bebas sepenuhnya seperti orang-orang kafir kerana bagi mereka dunia ini adalah syurga dan tidak ada lagi syurga di hari akhirat kerana kekufuran mereka kepada Allah s.w.t. Sesuailah apa yang di sabdakan oleh Nabi s.a.w. bahawa di dunia ini adalah penjara untuk orang Mukmin dan Syurga bagi orang kafir.
Dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya :”Dunia penjara bagi orang Mukmin dan Syurga bagi orang kafir.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Sahabat yang dimuliakan,
Dunia ini harus kita nikmati dengan mengikuti segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Dikatakan bahawa dunia adalah penjara bagi mukmin kerana di dunia manusia terdedah dengan pelbagai macam godaan dan ancaman yang mencabar keimanan.
Bahkan apa yang dilarang oleh agama itu selalunya menjadi kesukaan nafsu manusia. Namun hakikatnya laranga-larangan itu adalah demi kebaikan dan kesejahteraan manusia itu sendiri agar tidak terjebak ke lembah kebinasaan.
Berbeza pula bagi golongan kafir mereka bebas melakukan apa sahaja sehingga akhirnya mereka merosakkan jiwa dan diri mereka sendiri. Inilah hakikat dunia yang akan menjadikan manusia yang alpa tenggelam di dalamnya.
Sebab itu kita selaku orang Mukmin diseru agar memanfaatkan dunia dengan bijaksana iaitu apabila kita berusaha memanfaatkan kehidupan dunia sebagai jambatan menuju kebahagiaan akhirat, maka Allah akan memberikan kedua-duanya (kebahagiaan dunia dan akhirat).
Namun sekiranya kita hanya mengutamakan kehidupan dunia dan melupakan akhirat, maka Allah hanya akan memberikan satu kenikmatan sahaja iaitu dunia semata. Sedangkan di akhirat kelak kita mendapat kerugian yang banyak.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Orang beriman tidak mengenal letih, putus asa dan kecewa dalam melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Dunia tempat bekerja bukan tempat rehat. Oleh itu kita mesti gigih melaksanakan amal soleh, memperbanyakkan amal ibadah, meningkatkan ilmu fardu ain dan menyampaikannya, berdakwah dan berjihad di jalan Allah s.w.t.
Ingatlah! Dunia tempat menanam, akhirat tempat menuai. Waktu menanam memanglah susah, tidak semudah waktu menuai. Tetapi tanpa melalui kesusahan, kita tidak akan dapat menikmati kesenangan. Jangan sekali-kali mengikut ajakan syaitan dan godaan nafsu menyuruh berbuat jahat dan kemungkaran.
Fikirkanlah! Waktu tidur dan berehat-rehat telah berlalu, kerana bertambahnya umur kita bermakna kita telah terlalu hampir untuk bertemu Allah s.w.t. Sanggupkah kita berhadapan dengan Allah s.w.t. nanti dengan membawa amal yang terlalu sedikit sedangkan dosa pula melebihi daripada pahala yang kita miliki?
Walaupun di dunia ini kita mengalami kesusahan dalam kehidupan kerana kemiskinan, menderita kerana penyakit yang dihadapi, di uji dengan pergolakan dalam keluarga karenah anak-anak dan isteri, tekanan di tempat kerja dengan sikap ketua yang tidak berhemah, tekanan sebagai guru dengan sikap pelajar yang tidak beradap sopan dan berbagai-bagai masaalah yang datang silih berganti anggaplah itu semuanya sebagai 'penjara' atau pun dugaan yang ditakdirkan oleh Allah s.w.t. kepada kita semua. Bila kita redha dan sabar menghadapinya maka ingatlah ganjaran yang besar menanti kita di hari akhirat nanti.
Biarkanlah orang-orang kafir berseronok melakukan maksiat dan kemungkaran. Mereka buru harta dunia siang dan malam, Mereka berhibur dengan muzik, menonton filem, meminum arak, bermain judi, memiliki wanita-wanuta cantik, dan makan-minum apa saja yg mereka suka dan memuaskan hawa nafsu mereka sepenuhnya maka itu adalah Syurga untuk mereka. Sekiranya umat Islam terikut-ikut dengan cara hidup mereka dan menjadikan dunia ini seperti Syurga maka di hari akhirat nanti mereka akan dijauhi dari Syurga oleh Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
"Dan orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan mencegah dirinya dari hawa nafsu, maka Syurgalah tempat kediamannya."
(Surah An-Nazi'at ayat 40-41)
Akhirkata anggaplah kehidupan ini dan semua yang ada padanya sebagai ujian kepada manusia, dan dapat menilai siapakah manusia yang paling baik amalannya. Di akhirat nanti kedudukan manusia ditentukan beradasarkan apa yang mereka lakukan ketika di dunia dan akhir kesudahan kehidupan mereka.
Kehidupan didunia hanyalah sementara sahaja.Oleh itu marilah sama-sama kita menginsafi diri, beristighfar setiap masa dan berdo'a memohon keampunan di atas kesalahan dan dosa yang telah kita lakukan. Persiapkanlah dua bekalan iaitu satu bekalan yang akan kita bawa bersama-sama ke alam Barzakh dan satu bekalan yang kita tinggalkan di dunia yang mana sahamnya masih kita perolehi iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak-anak yang soleh dan solehah.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan