Ahad, 31 Julai 2011

Kebaikan Ibadah Puasa dan Adab-adabnya Mengikut Sunah


BISMILLAHIROHMANIROHIM...

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Ibadah puasa dibulan Ramadan adalah salah satu daripada Rukun Islam yang wajib dilaksanakan.

Pengertian puasa
Takrif puasa dari segi istilah bermaksud menahan diri daripada makan dan minum dan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari beserta niat.

Dalil Wajib puasa :
Umat Islam yang mempunyai cukup syarat diwajibkan berpuasa di bulan Ramadan bersandarkan dalil seperti berikut:

Dalili daripada al-Quran:

Firman Allah SWT maksudnya : " Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa keatas kamu sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa".
(Surah al-Baqarah ayat 183)

Dalil daripada Hadis Nabi :

Sabda Nabi SAW maksudnya : Daripada Ibnu Umar dari Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya ; "Islam itu dibina atas lima perkara, bersaksi tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan sembahyang, membayar zakat, menunaikan haji dan puasa pada bulan Ramadhan."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sehubungan dengan adanya dalil daripada al-Quran dan hadis yang jelas tentang wajibnya puasa, maka orang yang mengingkari kewajipan berpusa adalah dihukum sebagai murtad (keluar daripada Islam)

Lafaz Niat :
Lafaz niat puasa bulan Ramadhan:
Maksudnya: "Sahaja aku puasa esok hari pada bulan Ramadan tahun ini kerana Allah Taala."
(Di niatkan dalam hati bahawa esok hari kita akan berpuasa pada bulan Ramadan tahun ini
- waktunya pada malam hari )

Lafaz niat puasa Ramadan sepenuhnya (sebulan):
Maksudnya: "Sahaja aku puasa untuk sebulan pada bulan Ramadhan kerana Allah Taala."
(D i niatkan dalam hati bahawa kita akan berpuasa sebulan penuh pada bulan Ramadan tahun ini kerana Allah Taala - dibuat pada malam pertama Ramadan)

Syarat –syarat wajib berpuasa empat perkara iaitu:
1. Islam . ( tidak diwajibkan kepada orang kafir)

2. Baligh. ( tidak diwajibkan berpuasa ke atas kanak-kanak yang belum sampai umur baligh. Walau bagaimanapun kanak-kanak digalakkan berpuasa)

3. Berakal . ( tidak diwajibkan puasa bagi orang gila).

4. Berkemampuan. (tidak wajib berpuasa ke atas orang yang tidak berdaya berpuasa seperti orang sakit, musafir, orang tua dan sebagainya.)

Syarat-syarat sah puasa itu enam perkara:

1. Islam. (Orang Islam yang sedang berpuasa kemudian ia murtad walaupun sekejap, maka puasanya batal.)

2. Berakal. (Orang Gila tidak sah puasanya)

3. Suci daripada nifas dan haid.

4. Masuk waktu puasa

5. Berniat pada setiap malam. (Menurut mazhab Imam Malik-memadai dengan sekali niat sahaja iaitu pada malam pertama bulan Ramadan.)

6. Menahan diri daripada sesuatu yang membatalkan puasa.

Rukun Puasa ada tiga :

1. Orang yang berpuasa

2. Niat

3. Menahan diri daripada sesuatu yang membatalkan puasa.

Hikmah Puasa
Puasa mempunyai pelbagai hikmah antaranya:

1. Menandakan kesyukuran kepada Allah

2. Melatih diri dengan sifat-sifat mahmudah (terpuji seperti sabar, tabah, amanah dan sebagainya).

3. Melatih sikap tolong-menolong di antara satu sama lain

4. Meningkatkan kesihatan diri.

5. Mendapat dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan hari raya dan ketika berjumpa dengan Tuhannya pada hari kiamat.

6. Menjauhkan dari sifat-sifat mazmumah (keji) sepert tamak, sombong hasad dengki dan sebagainya.

Kelebihan Ramadhan :
Bulan Ramadhan mempunyai banyak kelebihan antaranya;

1. Bulan diturunkan Al-Quran :
Firman Allah SWT maksudnya : "Bulan Ramadhan padanya diturunkan al-Quran yang mempunyai keterangan-keterangan yang nyata sebagai petunjuk kepada manusia"
(Surah al-Baqarah ayat 185)


2. Bulan penuh berkat :
Bulan Ramadan merupakan satu bulan yang disebut sebagai bulan mulanya rahmat, ditengahnya pengampunanNya dan akhirnya merdeka daripada api neraka.
Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Apabila bulan Ramadan telah datang maka dibukalah pintu-pintu syurga, dihapuslah pintu-pintu neraka dan di ikatlah semua syaitan."(Hadis Riwayat Muslim)

3. Bulan Penghapusan dosa :
Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Sesiapa berpuasa Ramadan dan berjaga malamnya dengan penuh kepercayaan dan ketelusan ikhlasnya nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu."

4. Bulan diturunkan Lailatul Qadar :
Firman Allah SAW. maksudnya : "Sesungguhnya kami telah menurunkan (Al-Quran ) ini pada malam Lailatul Qadar. Dan tahukah kamu apa dia Lailatul Qadar itu. Lailatul Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu diturunkan malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka untuk mengutus segala urusan.Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar" (Surah al-Qadr ayat 1-5)

Sahabat yang dimuliakan,
Dalam ruang ini, marilah kita memerhatikan beberapa adab-adab berpuasa , semoga kita menjalani ibadah puasa dengan betul sebagaimana generasi awal dahulu berpuasa. Semuga kita melihat dan memahami ibadah puasa ini sebagai satu institusi pendidikan dan latihan.

1.Makan sahur.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Makan sahurlah kalian kerana sesungguhnya makan sahur itu berkah"
(Hadis Riwayat Bukhari)

Diriwayatkan dari Zaid bin Tsabit bahawa kami bersahur bersama Rasulullah kemudian kami bangkit untuk menunaikan solat subuh lalu beliau bertanya, "Berapa saat jarak antara kedua (waktu sahur dan waktu subuh)?" Nabi SAW bersabda maksudnya, "Selama orang membaca 50 ayat." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan dari Amru bin Maimun bahawa para sahabat Muhammad SAW adalah orang yang menyegerakan berbuka dan melambatkan sahur."
(Hadis Riwayat al-Baihaqi)

2.Menyegerakan berbuka :
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Selalulah manusia dalam kebaikan, selama mereka menyegerakan berbuka." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan dari Salman bin Amir, bahawa Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud, "Apabila salah seorang di antara kamu berpuasa hendaklah berbuka dengan kurma, bila tidak ada kurma hendaklah dengan air, sesungguhnya air itu bersih."
(Hadis Riwayat Ahmad dan Tirmidzi)

Diriwayatkan dari Ibnu Umar, bahawa Nabi SAW apabila selesai berbuka baginda berdoa. "Telah pergi rasa haus dan menjadi basah semua urat-urat dan pahala tetap ada insya Allah."
(Hadis Riwayat ad-Daaruqthni dan Abu Daud)

3.Berdoa ketika berpuasa dan waktu berbuka :
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa, pada waktu berbuka, tersedia doa yang makbul."

Dalam hadis yang lain Nabi SAW. bersabda yang bermaksud, "Ada tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka : Orang yang berpuasa hingga dia berbuka, Imam (ketua) yang adil dan orang yang teraniaya."

4.Menjauhi perkara yang bertentangan dengan puasa :
Puasa adalah ibadah yang utama untuk kita mendekatkan diri kepada Allah SWT, untuk mendidik jiwa dan melatihnya berbuat kebaikan.

Sesungguhnya puasa bukan setakat menahan diri dari makan dan minum sahaja, tetapi juga menahan diri dari apa jua yang dilarang oleh Allah SWT., disamping mengikhlaskan niat kerana Allah SWT semata-mata.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Tidaklah puasa itu dari makan dan minum, tetapi puasa itu adalah dari perbuatan yang sia-sia dan dari perbuatan keji."

Sabda baginda SAW lagi yang bermaksud, "Berapa ramai yang berpuasa tetapi yang diterimanya hanyalah rasa lapar dan dahaga sahaja; dan berapa banyak orang yang bangun bersolat, tetapi yang diterimanya tiada lebih dari letih dan penat sahaja."

5.Menggosok gigi (bersugi)
Disunatkan menurut riwayat bahawa Rasulullah SAW biasa bersugi ketika berpuasa.(Jika boleh jangan menggunakan ubat gigi, gunakan berus kosong saja atau gunakan kayu sugi)

6.Lebih bersifat dermawan. (Banyak bersedekah dan menolong orang lain) dan membaca al-Quran.
Kedua perkara ini adalah disunatkan pada setiap ketika, dan lebih utama dalam bulan Ramadan, dimana ganjaran pahalanya digandakan oleh Allah SWT.

Diriwayatkan Ibnu Abbas bahawa Rasulullah SAW orang yang paling dermawan dan baginda lebih dermawan lagi dalam bulan Ramadan. Jibril menemui Nabi SAW setiap malam pada bulan Ramadan untuk mentadaruskan al-Quran kepada baginda dan benar-benar Rasulullah lebih dermawan dan cepat melakukan kebajikan (lebih cepat daripada angin yang dikirim)
(Hadis Riwayat Bukhari)

7.Menghidupkan malam dengan solat tarawih secara berjemaah.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud, "Barangsiapa yang solat malam di bulan Ramadan kerana beriman dan mengharapkan pahala dari Allah maka diampuni dosanya yang telah lalu."
(Hadis Riwayat Jama'ah)

8.Giat beribadat pada 10 hari terakhir dalam bulan Ramadan.
Syaidatina Aisyah r.h meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bila telah masuk puluhan terakhir dari bulan Ramadan, diramaikan waktu malam, dibangunkan keluarganya dan diikat eratkan kain sarungnya.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

"Baginda amat giat (beribadat) pada puluhan terakhir, melebihi kegiatannya pada saat-saat lainnya." (Hadis Riwayat Muslim)

Diriwayatkan dari Aisyah r.h bahawa saya berkata kepada Rasulullah SAW, " Ya Rasulullah, bagaimana pendapat tuan bila saya mengetahui Lailatul qadar, apa yang harus saya baca pada malam itu?' Baginda bersabda, "Bacalah, 'Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi Ampun, Engkau suka kepada keampunan maka ampunilah daku"
(Hadis Riwayat at-Tirmidzi dan Ahmad)

9.Menjauhi perkara keji dan pertengkaran.
Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW . bersabda yang bermaksud :
"Setiap amal anak Adam adalah untuknya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku yang akan memberikan pahala dengannya. Dan sesungguhnya puasa itu adalah benteng pertahanan, pada hari ketika kamu berpuasa janganlah berbuat keji, jangan berteriak-teriak (pertengkaran), apabila seorang memakinya sedang ia berpuasa maka hendaklah ia katakan : 'Sesungguhnya saya sedang berpuasa.'Demi jiwa Muhammad yang ada di tangan-Nya sungguh bau busuk mulut orang yang sedang berpuasa itu lebih wangi di sisi Allah pada hari kiamat daripada kasturi. Dan bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan, apabila ia berbuka ia bergembira dengan bukanya dan apabila ia berjumpa dengan Rabbnya ia gembira kerana puasanya." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sahabat yang dikasihi
Marilah kita tingkatkan kefahaman kita mengenai kebaikan ibadah puasa dan adab-adabnya supaya kita berpuasa dengan berilmu dan penuh keinsafan. Berpuasa bukan setakat menahan lapar dan dahaga sahaja tetapi kita berpuasa zahir (semua anggota kita berpuasa) dan berpuasa batin ( hati, jiwa, emosi kita berpuasa) barulah puasa kita mempunyai markah yang tinggi disisi Allah SWT.

Jumaat, 22 Julai 2011

~Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan~


Doa Malaikat jibril Menjelang Ramadhan

"Ya Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut:
* Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada);
* Tidak bermaafan terlebih dahulu antara suami istri;
* Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya."

Maka Rasulullah pun mengatakan Amiin sebanyak 3 kali. Dapat kita bayangkan, yang berdoa adalah Malaikat dan yang meng-amiinkan adalah Rasullullah dan para sahabat, dan dilakukan pada hari Jumaat.

~~~Sempena kedatangan bulan ramadhan yg semulia2 bulan...ku mohon ampun dan maaf pada semua sahabat...sepanjang kita berukhwah....semoga sentiasa dalam keberkatan Allah selalu...Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan Karem....AllahuAkbar....~~~

Rabu, 13 Julai 2011

~HAYATI 9 CIRI-CIRI WANITA SOLEHAH~


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Kecantikan dan kemanisan wanita solehah itu, tidak terletak pada kecantikan wajahnya atau pada kemanjaannya, tetapi ianya terletak pada akhlak dan budi pekertinya. Daya penarik wanita solehah itu, bukan pada kemanisan bicaranya yang mengoncang iman para muslimin,

dan bukan pula terletak pada kebijaksanaannya bermain lidah, memujuk rayu, bukan dan tidak sama sekali tetapi daya tarikannya terletak pada iman dan takwanya kepada Allah S.W.T.

Wanita solehah tidak berbangga dengan kecantikan luaran, kerana satu hari nanti ianya akan lapuk di telan zaman, tetapi yang di jaga dan pelihara adalah kecantikan dalaman , agar diri nya bersih dan sentiasa mendapat rahmat Ilahi. Wanita solehah tidak berbangga dengan ilmu duniawi yang dikuasainya, kerana ada lagi manusia yang lebih berpengetahuan darinya. Wanita solehah tidak pula berdukacita atas kekurangan dirinya kerana ada lagi insan yang lebih malang darinya.

Wanita solehah sentiasa menjaga iman dan takwanya dan membuangkan segala sifat-sifat keji yang ada di dalam hatinya. Wanita solehah merasakan bahawa hidup di dunia ini hanya sementara dan di akhiratlah kehidupan yang kekal abadi. Wanita solehah sentiasa menghiasi dirinya dengan akhlak Islam, menutup aurat, berhati-hati di dalam percakapan dan pergaulannya supaya terhindar daripada kemurkaan Allah. Wanita solehah sentiasa menjaga lidahnya daripada mengumpat, memfitnah dan berkata dusta. Wanita solehah melakukan ketaatan kepada Allah dan bersedia menjadi isteri dan ibu solehah

Di manakah kecantika wanita solehah sebenarnya? Terdapat sembilan keistimewaan wanita solehah yang tidak dimiliki oleh wanita-wanita yang lain. Dengan menghayati sembilan perkara wanita solehah akan memiliki kecantikan yang sebenar.

Pertama : Menundukkan pandangan (ghadhdul bashar) kepada yang bukan mahramnya, nescaya hati dan jiwa akan semakin bening dan jernih.

Allah S.W.T. berfirman maksudnya : “Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya" (Surah an-Nur ayat 30-31)

Kedua : Sentiasa bersikap jujur, nescaya akan menjadi semakin manis.

Daripada Abdullah bin Masud r.a. katanya sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Sesungguhnya kejujuran mengantarkan kepada kebaikan, dan kebaikan mengantarkan kepada syurga. Sesungguhnya seseorang biasa berlaku jujur hingga ia disebut siddiq (orang yang senantiasa jujur). Sedang dusta mengantarkan kepada perilaku menyimpang (zalim) dari perilaku menyimpang mengantarkan kepada neraka. Sesungguhnya seseorang biasa berlaku dusta hingga ia disebut pendusta besar." (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmizi).

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman, yang maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah, dan bersamalah kamu dengan orang-orang yang benar (jujur)" (Surah At-Taubah ayat 119).

Dalam ayat lain, Allah S.W.T. berfirman, yang maksudnya: “Jikalau mereka jujur kepada Allah, nescaya yang demikian itu lebih baik bagi mereka” (Surah Muhammad ayat 21)

Ketiga : Rasa malu yang lahir daripada Iman.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Iman mempunyai lebih daripada enam puluh cabang. Adapun malu adalah salah satu cabang dari cabang iman."
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sifat malu itu akan menghasilkan kebaikan.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sifat malu adalah sifat yang terpuji. Dengan memiliki sifat ini seseorang wanita solehah akan terlepas daripada segala kejahatan kerana adanya sifat ini akan terhindarlah segala keburukan. Dengan sifat malu juga akan meningkatkan darjat keimanannya.

Sayyidina Ali bin Abi Thalib berkata : “Orang yang menjadikan sifat malu sebagai pakaiannya, nescaya orang-orang tidak akan melihat aib dan cela pada dirinya.”

Keempat : Sentiasa beristighfar yang menghilangkan semua dosa dan kesalahan yang di lakukan.

Istighfar merupakan syiar para nabi dan rasul, tidak ada seorang Nabipun yang tidak beristighfar dan selalu mengajak umatnya untuk beristighfar. Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa beristighfar atas dosa yang telah mereka perbuat sepertimana firman Allah S.W.T. dalam surah al-Araf ayat 23 maksudnya :" Keduanya berkata "Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi".

Sabda Nabi SAW maksudnya : "Barangsiapa mengucapkan 'Astaghfirullahal Adzim aladzi laa ilaha illa huwal hayyul qayyum wa atubu ilaihi' akan diampuni dosa-dosanya, meskipun pernah lari dari medan peperangan" (Hadis Riwayat Al Hakim)

Kelima : Sentiasa menjaga kehormatan diri dan menutup aurat.

Wanita solehah dalam perjalanan harian kehidupannya penuh dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah S.W.T. Sentiasa menjaga kehormatan diri, menutup aurat, cukup berhati-hati di dalam percakapan, pergaulan dan tidak menimbulkan fitnah dan syak wasangka.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud " Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan itu adalah wanita solehah. " (Hadis Riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud : "Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya)."

(Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani)

Firman Allah SWT maksudnya :"...Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putra-putra suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung". (Surah An.Nur ayat 31)

Keenam : Sentiasa bersifat tawaduk dan membina rasa ukhwah.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala maksudnya : "(Mereka) keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka..." (Surah al-Fath ayat 29)

Allah Subhanahu Wa Ta'ala menyuruh Nabi-Nya dengan firman-Nya yang bermaksud : "dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang mengikutimu, iaitu orang-orang yang beriman." (Surah Asy-Syu'ara ayat 215)

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Maukah kamu aku tunjukkan akhlak yang paling mulia di dunia dan di akhirat? Memberi maaf orang yang menzalimimu, memberi orang yang menghalangimu dan menyambung silaturrahim orang yang memutuskanmu”
(Hadis Riwayat Baihaqi)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : “Maukah kamu aku tunjukkan amal yang lebih besar pahalanya daripada solat dan puasa?” Sahabat menjawab, “Tentu saja!” Rasulullah kemudian menjelaskan, “Engkau damaikan yang bertengkar, menyambungkan persaudaraan yang terputus, mempertemukan kembali saudara-saudara yang terpisah, menyambungkan berbagai kelompok dalam Islam, dan mengukuhkan ukhuwah di antara mereka, (semua itu) adalah amal soleh yang besar pahalanya. Barangsiapa yang ingin dipanjangkan usianya dan dibanyakkan rezekinya, hendaklah ia menyambungkan tali persaudaraan” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Ketujuh : Mengelakkan fitnah untuk menjaga kesucian diri .

Dari Abu Malih Al- Hudzli : Kaum perempuan kota Himsh atau penduduk Syam menemui Aisyah. lalu Aisyah berkata " Kamu adalah kaum perempuan yang masuk ke kamar mandi. padahal, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Siapa saja perempuan yang meletakkan pakaiannya bukan di rumah suaminya, Allah akan membuka aibnya"
( Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Hakim )

Abu Hurairah r.a pun menyebutkan, ketika turun ayat al- Mula'anah ( tentang suami-isteri yang saling melaknat kerana tuduhan perbuatan serong ) Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : " Siapapun perempuan yang menemui suatu kaum yang bukan kerabatnya, ia akan tidak memperoleh apapun dari Allah SWT dan Dia tidak akan memasukkannya ke syurga "

Dari Aisyah ra berkata : “Sesungguhnya wanita-wanita Quraisy memiliki beberapa kelebihan. Demi Allah, sesungguhnya aku tidak pernah melihat wanita lain yang lebih baik daripada wanita kaum Anshar dalam hal keimanannya terhadap kitabullah dan apa-apa yang diturunkan-Nya. Ketika turun surat An-Nur, pada potongan ayat (yang artinya) : Dan hendaknya mereka memakai tudung sampai menutupi dada mereka. Maka saat itu pula para suami membacakan kepada anak-anak perempuan, saudara-saudara perempuan dan kerabat-kerabatnya setelah dibacakan, maka tidak ada satu wanita pun kecuali mereka memakai tudung (jilbab) lalu mereka melipatkannya di atas kepala mereka. Hal itu dilakukan kerana kepercayaan dan keimanan mereka terhadap apa yang telah diturunkan Allah dalam kitab-Nya. Kemudian tatkala mereka berada di belakang Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam , mereka terlihat sudah mengenakan jilbab. Seolah-olah di atas kepala mereka ada seekor burung ghirban.”

Hadis di atas menunjukkan contoh perempuan yang tidak menjaga diri daripada perkara-perkara yang boleh mendatangkan fitnah yang akan menjerumuskan pada fitnah yang lebih besar. Semoga semua para wanita senantiasa menjaga kesucian diri mereka dan elakkanlah segala bentuk fitnah yang mungkin boleh berlaku tanpa disedarinya.

Fitnah dizaman morden ini adalah berhati-hati di dalam perhubungan dengan lelaki yang bukan mahram di alam maya samaada melalui facebook atau blog atau hubungan telifon bimbit dan mengelakkan meletakkan gambar-gambar peribadi yang mungkin boleh disalah gunakan oleh mereka yang telah rosak akhlaknya.

Kelapan : Sentiasa berwuduk nescaya akan bercahaya wajahnya di hari akhirat.

Nabi SAW. bersabda maksudnya : "Umatku akan tampil pada hari kiamat dengan wajah bersinar tangan serta kakinya berkilauan dari bekas-bekas wuduk."

Kesembilan : Sentiasa menimba ilmu yang bermanfaat

Nabi SAW bersabda yang maksudnya, ”Barangsiapa menuntut ilmu bererti menuntut jalan ke syurga”. (Hadis Riwayat Muslim)

Wanita solehah mengharapkan balasan syurga daripada Allah SWT sebagai ganjaran paling tertinggi dan paling dikehendakinya. Maka wanita solehah akan sentiasa belajar dan menuntut ilmu yang bermanfaat samaada ilmu fardu ain atau fardu kifayah, kerana sesiapa yang menutut ilmu akan dinaungi dan didampingi oleh para malaikat dan mendapat rahmat daripada Allah SWT. Malah kelebihan belajar ini diperkukuh dengan hadis riwayat Ibn Abdul Barr dan Ibn Majah, Nabi SAW bersabda maksudnya, “Belajar satu bab daripada ilmu lebih baik dari sembahyang (sunat) seratus rakaat”.
BISMILLAHIROHMANIROHIM...

Sahabat yang dimuliakan,

Wahai wanita solehah! Apabila piala hati kalian telah dipenuhi kecintaan dan kesetiaan yang mendalam kepada Allah, barulah mudah fizikal dan akal diarah untuk melakukan sebarang bentuk kebaktian. Sesungguhnya kebaktian yang utama dilakukan oleh wanita solehah yang sedar ialah membantu agama Allah supaya syariat Islam mewarnai seluruh hidup insan. Setiap saat seluruh tenaga akan digembeling untuk menyebarkan seruan keyakinan supaya setiap anggota masyarakat menepati tujuan manusia diciptakan.

Oleh itu berhati-hatilah didalam menjalani kehidupan ini, hiasilah akhlak kalian dengan sembilan perkara seperti yang dinyatakan di atas. Jangan kecundang dengan tipu daya dunia dan terpengaruh dengan pujuk rayu anak Adam. Sekiranya kalian kekal dengan status wanita solehah insya Allah pasti kalian akan mendapat kebahagiaan di dunia dan mendapat kemuliaan di hari akhirat. Yakinilah bahawa kalian bakal menjadi ketua bidadari di syurga yang lebih cantik daripada bidadari bermata jeli!

Khamis, 7 Julai 2011

Pemimpin Islam Harus Menghormati Hak Bersuara Rakyat Jelata


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Di dalam Islam seorang yang telah dipilih menjadi pemimpin perlulah melaksanakan amanah dan tanggungjawab. Pemimpin perlu mendengar rintihan, kesusahan dan permohonan daripada suara dan kehendak rakyat. Pemimpin tidak boleh bersikap berat sebelah atau tidak adil di dalam menyelesaikan masaalah yang dihadapi oleh rakyat. Pemimpin tidak boleh mengutamakan kroni atau ahli keluarganya sahaja di dalam mengagihkan projek atau kekayaan negara kerana sesiapa dikalangan rakyat yang berkemampuan dan berkelayakkan perlu diberikan hak-haknya.

Beberapa ciri-ciri penting kepimpinan Islam adalah seperti berikut:

1. Setia Pemimpin dan orang yang dipimpin (rakyat) terikat kesetiaan kepada Allah.

2. Tujuan Pemimpin melihat tujuan negara bukan saja berdasarkan kepentingan kelompok/parti tetapi juga dalam ruang lingkup tujuan Islam yang lebih luas.

3. Berpegang pada syariat dan akhlak Islam. Pemimpin terikat dengan peraturan Islam, boleh menjadi pemimpin selama ia berpegang pada perintah syariat. Ketika mengendalikan urusannya ia harus patuh kepada adab-adab Islam, khususnya ketika berurusan dengan rakyat dan dengan negara lain.

4. Pembawa Amanah. Pemimpin menerima kekuasaan sebagai amanah dari Allah SWT yang disertai dengan tanggungjawab yang besar. Al-Quran memerintahkan pemimpin melaksanakan tugasnya untuk Allah SWT dan menunjukkan sikap baik kepada rakyatnya sebagaimana Firman Allah SWT:

“Iaitu orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka, nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah perbuatan yang mungkar, dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.” (Surah Al-Hajj, ayat 41).

Pemimpin seharusnya memperlakukan manusia secara adil dan tidak berat sebelah tanpa mengira suku bangsa, warna kulit, keturunan dan lain-lain. Al-Quran memerintahkan agar kaum muslimin berlaku adil bahkan ketika berurusan dengan para penentang mereka.

Firman Allah SWT maksudnya : “Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu berlaku adil.” (Surah An-Nisa’, ayat 58).

Firman-Nya lagi yang bermaksud : “Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil lebih dekat kepada takwa.” (Surah Al-Ma’idah, ayat 8.)

“Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah walaupun terhadap dirimu sendiri, ibu-bapa, dan kaum kerabatmu, sama ada ia kaya atau miskin, kerana Allah akan melindungi.” (Surah An-Nisa’, ayat 135).

Selain memenuhi prinsip keadilan yang menjadi asas tertegaknya masyarakat Islam. Pemimpin Islam juga mesti menyelesaikan pelbagai perbezaan pendapat atau pengaduan orang ramai. Hak rakyat untuk bersuara dan menyatakan pandangan atau menegur pemimpin perlulah di ambil perhatian. Pemimpin tidak boleh bersilap kasar dan keras (tidak kena tempat) dengan memaksa rakyat dengan kekerasan (memaksa rakyat dengan keputusannya). Pemimpin Islam tidak boleh hanya melaukan selogan-selogan kosong untuk mengutamakan rakyat tetapi apabila berlaku perbezaan pendapat dengan rakyat mengambil sikap tidak mahu bertolak ansur.

Daripada Auf bin Malik daripada Rasulullah SAW sabda baginda: “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah yang kamu suka dan mereka menyukai kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu, seburuk-buruk pemimpin kamu adalah yang kamu benci dan mereka benci kepada kamu, kamu melaknapt mereka dan mereka melaknat kamu”. Kata para sahabat: ‘wahai Rasulullah, apakah tidak boleh kami memerangi mereka?’ Jawab baginda: “Tidak boleh selagi dia mendirikan solat dalam kalangan kamu dan jika kamu melihat pemimpin kamu melakukan sesuatu yang dia benci maka bencilah amalannya tetapi jangan cabut tangan dari mentaatinya (dalam makruf)”.(Hadis Riwayat Muslim dan Ahmad)

Dalam hadis yang lain daripada Ummu Salamah r.ha Isteri Rasulullah SAW bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Akan ada nanti para pemerintah yang mana ada tindakan mereka kamu setujui dan ada yang kamu ingkari, maka barangsiapa yang dapat mengenal pasti (antara yang baik dan buruk perbuatan mereka) maka dia akan terlepas (dari maksiat), barangsiapa yang mengingkarinya akan selamat, tetapi mereka yang reda dan mengikut (maka dia binasa)”. Kata Sahabat: Apakah tidak wajar kami memerangi mereka? Jawab baginda s.a.w: “Tidak boleh, selama mereka mendirikan solat”.
(Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud dan Tarmizi).

Rakyat tidak harus dihukum dan ditangkap oleh penguasa undang-undang hanya kerana mereka menyatakan cadangan dan pandangan yang bernas untuk memulihkan keadilan atau membetulkan penyelewengan pemimpin, kerana apabila hati rakyat telah terluka maka akibatnya pemimpin tidak akan dihormati dan rakyat akan memilik pemimpin lain yang lebih berwibawa, adil dan bertolak ansur.

Sahabat yang dimuliakan,
Tujuan memilih pemimpin adalah supaya ada yang mengatur setiap urusan, dan ada yang bertangungjawab dan membela sesuatu keperluan sebagaimana dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud : "Pemimpin itu adalah perisai memerangi musuh rakyatnya dan melindungi mereka. Jika pemimpin itu mengajak rakyatnya kepada ketakwaan kepada Allah dan bersikap adil maka pemimpin itu bermanfaat bagi rakyat, tetapi jika dia memerintahkan selain itu maka pemimpin itu merupakan musibah bagi rakyatnya"
( Hadis Riawyat Muslim ).

Tidak semua orang berhak memimpin sebab kepemimpinan itu meupakan amanah dan tanggungjawab. Auf bin Malik menceritakan bahwa Rasulullah bersabda : “ Aku khabarkan kepadamu tentang pemimpin “. Auf berkata : Apa itu ya Rsulullah? Nabi menjawab : “ Kedudukan itu nanti merupakan sesuatu yang dapat membuat engkau hina. Kedua, kedudukan itu nanti akan memberikan penyesalan. Ketiga, kedudukan itu akan menjadi penyebab seksaan di hari akhirat, kecuali jika orang yang mendapat kedudukan itu dapat bersikap adil, tetapi bagaimana mungkin seseorang itu dapat berlaku adil dengan kaum kerabatnya ( Hadis Riwayat Bazar, dan Thabrani )

Perlu difahami dan dingatkan bahawa pemimpin Islam yang bertanggungjawab bukan hanya kepada para pengikutnya atau partinya sahaja, malah apa yang lebih penting ialah dia bertanggungjawab kepada Allah SWT di akhirat nanti!

Sebagai kesimpulannya, di dalam pencarian model pemimpin dan kepimpinan Islam, empat elemen yang perlu ada iaitu intelek, rohani, jasmani dan emosi hendaklah diperkukuhkan dan dimantapkan.

Keempat-empat elemen ini perlu saling lengkap-melengkapi di dalam pembentukan karakter dan jati diri pemimpin yang unggul. Pastinya ilmu, iman, berhemah tinggi dan hikmah merupakan transformer penganjak yang mesti diaktifkan dan dipastikan terus mengaliri urat nadi kepimpinan umat masa kini dan generasi harapan pimpinan masa depan secara keseluruhannya.

Sahabat yang dikasihi,
Ingatlah bahawa sesungguhnya generasi hari ini penentu kejayaan generasi mendatang. Pemimpin yang diredai Allah SWT ada pemimpin yang berusaha bersungguh-sungguh supaya syariat Allah SWT berjalan dalam pemerentahannya ataupun dia berusaha kearah perlaksanaannya secara beransur-ansur. Pemimpin yang dibenci Allah SWT adalah pemimpin yang memusuhi para alim ulama, tidak ada usaha bersungguh-sungguh menegakkan kalimah Allah dan menzalimi rakyat yang tidak berdosa dan menafikan hak-hak kebajikan dan keperluan asasi yang perlu dimiliki oleh mereka.

Rabu, 6 Julai 2011

andai ku tahu ini malam terakhirku...


Wahai insan, renunglah engkau akan nasib diri
Wahai qalbu, sedarkah engkau akan gerak hati
Wahai aqal, terfikirkah engkau akan apa yang bakal terjadi


Andai ini merupakan malam ku yang terakhir kali.....

Buatku sekujur jasad yang bakal berlalu pergi
Tatkala usia bernoktah di penghujung kehidupan duniawi
Pabila tiba saat tepat seperti yang dijanji Ilahi
Kematian...adalah sesuatu yang pasti.....


Andai ku tahu ini adalah malam terakhirku.....

Tentu siangnya aku sibuk berzikir
"a'la bizikrallahi tat mainnal qulub"
[Bukankah dgn berzikir itu hati akan menjadi tenang..]
Biarpun anak tekakku kering kehausan air
Tentu aku tak akan jemu melagukan syair
Rindu mendayu..
Merayu...
Kepada-NYA Tuhanku yang satu...


Andai aku tahu ini adalah malam terakhirku......

Tentu solatku dikerjakan di awal waktu
Solat yang dikerjai...
Sungguh khusyuk lagi tawadhu'
Tubuh, minda, dan qalbu...bersatu memperhamba diri
Mengadap Rabbul Jalil...
Menangisi kecurangan janji
"innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil 'alamin"
[sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku...kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekelian alam]


Andai aku tahu ini adalah malam terakhirku......

Tidak akan aku sia-sia kan walau sesaat yang berlalu
Setiap masa tak akan dipersiakan begitu saja
Di setiap kesempatan juga masa yang terluang
Alunan Al-Quran bakal ku dendang...bakal ku syairkan


Andai ku tahu ini adalah malam terakhirku.......
Tentu akan aku sibukkan dengan
Mengadu...
Merintih...
Meminta belas kasih....


Andai ku tahu ini adalah malam terakhirku.....

Ya Allah, dari usia dan umur yang telah Engkau berikan, begitu banyak dosa yang telah hamba-Mu lakukan, begitu besar kesalahan yang telah aku perbuat, begitu jauh aku bergelimang dosa, sehingga aku sering
melupakan-Mu ya Allah. Sering aku melalaikan perintah-Mu ya Allah, tidak mendengarkan panggilan-Mu Ya Allah, begitu asyik aku mengarungi kehidupan duniawi, begitu jauh aku menyimpang dari jalan-Mu Ya Allah.

Ya Allah, aku memohon ampunan-Mu ya Allah atas segala kelalaian dan kesalahan yang telah aku lakukan selama ini. Ya Allah, Tuhan yang maha pengasih tolong selamatkanlah aku dari kepedihan azab-Mu.


Andai ku tahu ini adalah malam terakhirku......

Ya Allah, wahai Zat yang menunjuki orang yang tersesat, pengasih terhadap orang yang berdosa, dan pemaaf bagi orang yang tergelincir pada kesalahan, Kasihanilah hamba-Mu ini, selamatkanlah aku dari
gejolak api neraka.

"sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-MU
tapi...aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU"

Oleh karena itu duhai Ilahi...
Kasihanilah daku hamba-MU yang...
Hina..
Dhaif..
Jahil..
Lagi Banyak Dosa ini..
Moga setiap langkah ku zuhud kepada MU..
Moga ku istiqamah di malam ini..

ANDAI AKU TAHU INI ADALAH MALAM YANG TERAKHIR…~~~

Ahad, 3 Julai 2011

~Bukan Hanya Lafaz Bicara~


Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar kita menghinakan diri, tetapi menghembuskan kegagahan. Cinta bukan melemahkan semangat, tetapi membangkitkan semangat. (Hamka)

Sememangnya cinta itu sering kali dikaitkan dengan keindahan, dan sering sahaja mengundang senyuman. Ada yang sanggup memperjuangkan cinta sehingga sanggup pula melepaskan yang dimiliki demi mengejar cinta. Lihat sahaja paparan di media pada hari ini, tataplah berita di kaca televisyen dan internet, bacalah berita di akhbar dan majalah.

Apa yang sering dikaitkan dengan keruntuhan nilai akhlak remaja? Sudah pastilah kerana cinta yang diagung-agungkan sehingga sanggup pula lari dari rumah meninggalkan ibu bapa yang telah banyak berkorban. Hanya kerana cinta, manusia sering saja menghalalkan yang sudah termaktub haramnya. Bukankah sejak di awal usia, kita sering kali diberitahu bahawa penzinaan dan menghampiri zina itu tetap HARAM hukumnya?

Barang siapa yang cintakan sesuatu, maka dia akan menjadi hamba kepada yang dicintainya. Barang siapa yang mencintai sesuatu, maka dia banyak menyebutnya, mengingatinya, dan memikirkannya (Ibnu Ata'illah – Kitab Al-Hikam )

Bukan salah cinta itu hadir dalam diri setiap manusia. Tetapi salah manusia yang tidak pandai, tidak cekap menguruskan perasaan cinta yang hadir. Benarkah cinta yang dirasakan jika kita sanggup mengetepikan cinta kita kepada Allah, cinta kita kepada Rasul, cinta kita kepada Islam, dan cinta kita kepada ibu bapa?

Bukankah cinta itu jauh lebih mulia daripada cinta yang kita sanggup agung-agungkan. Percayalah, setiap rasa cinta yang hadir sehingga kita mengetepikan soal halal dan haram itu tidak lebih sekadar cinta yang berajakan NAFSU. Ya Allah, jauhkanlah kami daripada mengulit mimpi indah dalam cinta yang semakin hari semakin menjauhkan kami daripadaMu.Tuntunlah hati ini untuk mengenali cintaMu, mendahulukan cintaMu, dan tidak menduakan cintaMu.

Mana mungkin rasa cinta ini,
ku curahkan untuk lelaki yang telah lupa,
Lupa pada cintanya pada pemilik cinta,
Mana mungkin rasa cinta ini,
ku serahkan kepada lelaki yang kedekut,
Kedekut untuk mengucapkan ayat-ayat cintanya pada pemilik cinta,
Mana mungkin cinta ini,
ku amanahkan buat seorang lelaki yang culas,
Culas dalam melaksanakan amanah pemilik cinta,
Mana mungkin ku merasa bahagia,
Jika aku menjulang-julang peminjam cinta,
Tapi mengetepikan pemilik cinta.

Berkali kita diingatkan. Lahir sahaja di dunia, menjengah alam telah pun diazan dan diiqamahkan. Cinta kepada Allah, adalah cinta yang agung dan suci. Cinta yang sebenar-benarnya menuntut kesabaran, ujian iman, dan ketaqwaan. Cintailah Allah, dan Allah akan memelihara cinta yang tersulam indah sesama manusia.

Allah swt berfirman: "Aku menurut sangkaan hamba kepada-Ku, dan Aku bersamanya apabila dia ingat kepada-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dan dalam dirinya maka Aku mengingatnya dalam diri-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dalam kelompok orang-orang yang lebih baik dari kelompok mereka. Jika dia mendekat kepada-Ku sejengkal maka Aku mendekat kepadanya sehasta. Jika dia mendekat kepada-Ku sehasta maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari-lari kecil." (Sahih Bukhari)

- Artikel iluvislam.com

Rabu, 29 Jun 2011

Peristiwa Israk dan Mikraj dan Pengajaran Yang Perlu di Hayati

BISMILLAHIROHMANIROHIM...

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap tahun apabila sampai tanggal 27 Rejab umat Islam diseluruh dunia akan mengadakan majlis sambutan peristiwa Israk dan Mikraj. Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah Rasulullah SAW dari Mekkah ke Madinah.

Apabila berbicara tentang peristiwa Israk dan Mikraj ini, kita secara spontan akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah SAW bersama malaikat Jibril dan Mikail yang boleh dibahagikan kepada dua fasa.

Pertama : Israk yakni perjalanan Nabi SAW menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.

Kedua : Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh.

Perjalanan Rasulullah SAW ini telah diabadikan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran, Surah Al-Isra' ayat 1 yang bermaksud; ”Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidilharam ke Al Masjidilaqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”

Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah SAW hanya berlangsung pada satu malam.

Para ulama, hadis, ulama feqah dan ulama tafsir secara umum menegaskan bahawa perisitiwa Israk dan Mikraj di mana kedua-duanya berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan baginda SAW sedar. Ia berlaku pada jasad atau tubuh dan roh Nabi SAW bukannya roh sahaja. Sebagaimana difahami daripada firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah menegaskan " asra bi 'abdihi lailan " yang bermaksud memperjalankan hambaNya pada waktu malam. Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini iaitu Nabi Muhammad SAW yang mana meliputi batang tubuh dan rohnya serentak bukannya rohnya sahaja.Jika ia berlaku pada rohnya sahaja maka sudah tentu firman Allah itu berbunyi " asra bi rohi 'abdihi lailan " yang bermaksud memperjalankan roh hambaNya pada waktu malam tetapi yang berlaku sebaliknya di mana Allah secara jelas menyatakan bahawa Dia telah memperjalankan hambaNya iaitu Nabi SAW dalam keadaan tubuh dan rohnya serentak.

Peristiwa ini pada pandangan orang yang tidak beriman atau mereka yang tipis imannya, mereka menyatakan bahawa peristiwa ini tidak mungkin akan berlaku atau pun mereka berbelah bahagi samada mahu mempercayainya atau pun sebaliknya. Tetapi bagi orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan rasulNya maka mereka tetap percaya dengan penuh keimanan kepada peristiwa ini.

Setelah baginda SAW menceritakan apa yang telah terjadi padanya kepada masyarakat umum maka orang-orang kafir bertambah kuat mengejek dan mendustakan baginda SAW. Fitnah terhadap baginda SAW bertambah kuat malah ada juga di kalangan mereka yang sebelum ini telah memeluk Islam telah pun murtad kembali. Manakala bagi mereka yang begitu membenarkan baginda SAW maka iman mereka tetap utuh sebagaimana kita lihat kepada reaksi Sayyidina Abu Bakar apabila dia mendengar berita daripada orang ramai tentang apa yang telah diberitahu oleh Nabi SAW lalu beliau dengan tegas menyatakan : " Benar! Aku menyaksikan bahawa engkau merupakan Rasulullah. Jika baginda SAW mengatakan bahawa baginda telah diperjalankan lebih jauh daripada itu maka aku tetap beriman kepadanya ". Inilah ketegasan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi Sayyidina Abu Bakar dalam mempercayai Allah dan rasulNya sehingga beliau digelar as-Siddiq yang membawa maksud pembenar.

Selain itu, pernah juga diriwayatkan Rasulullah SAW berjumpa dengan pelbagai keadaan manusia ketika di dalam perjalanan tersebut. Meskipun kisah tentang peristiwa bersejarah ini seringkali diulangcerita oleh para penceramah setiap kali sambutan Israk dan Mikraj diadakan, saya melihat roh dan intipati di sebalik peristiwa ini masih tidak meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam.

Sahabat yang dimuliakan,
Sebelum berlakunya Israk dan Mikraj Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada / perut oleh malaikat. Hati Baginda S.A.W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ):

Sepanjang perjalanan (Israk) itu Rasulullah S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

1. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
2. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah;
3. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib.

Peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti berikut :

1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

2. Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

3. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

4. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

5. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.

7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah SAW terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah SAW memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah SWT ):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah SAW dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

Di Langit Pertama: Rasulullah SAW dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam a.s. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

Di Langit Kedua: Nabi SAW dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa a.s. dan Nabi Yahya a.s.

Di Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf a.s.

Di Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris a.s.

Di Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun a.s. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

Di Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa a.s.. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

Di Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Makmur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah SAW , Nabi Ibrahim a.s. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dhaif, maka berdoalah untuk umatmu.

Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim a.s. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga".

Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

Di Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

Di Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

Di Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah SWT : Ya Muhammad.

Rasulullah : Labbaika.

Allah SWT : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.

Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah SWT : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah SAW di bawa menemui Nabi Ibrahim a.s. kemudian Nabi Musa a.s. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah SAW merayu kepada Allah SWT agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj :

Rasulullah SAW turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.

(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id)

Sahabat yang dikasihi,
Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah SWT dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Dengan kita mendengar dan menghayati kisah dan cerita yang berlaku di dalam peristiwa Israk dan Mikraj kita perlu ambil ikhtibar dan yakin bahawa bumi Baitulmaqdis Palestin yang menjadi tempat bermulanya Mikraj Nabi SAW adalah bumi penuh berkah dan terdapat Masjidil Aqsa (kiblat pertama umat Islam)

Baitulmaqdis dan Masjidil Aqsa adalah harta umat Islam yang telah dirampas oleh Zionis Yahudi laknatullah. Umat Islam perlu berusaha, berkorban dan berdoa semoga tempat suci umat Islam ini dapat dipulangkan kembali kepada pangkuan umat Islam. Peristiwa Israk dan Mikraj akan lebih bermakna apabila umat Islam seluruhnya dapat membantu saudara-saudara kita di Palestin dan dapat memulihkan dan menguasai Baitulmaqdis dan menghalau Yahudi laknatullah daripada menguasai dan membunuh saudara-saudara kita di Palestin.