Khamis, 25 Ogos 2011

~~~SALAM AIDILFITRI~~~


BSMILLAHIROHMANIROHIM...

Hari Raya hari mulia,
Maaf dipinta sesama kita,
Hubungan erat tercipta akhirnya,
Tanda kita bersyukur pada-Nya

andai ada
terkasar bahasa
tersilap bicara
tersinggung rasa
ampun dan maaf jua dipinta

Takbir bergema di hening pagi
Memohon keampunan kehadrat Ilahi
Kini Syawal bakal menjelma lagi
Ku hulur ucapan Salam Aidilfitri...

Lisan kadang2 tidak terjaga,janji kadang2 terabai,hati kadang2 berprasangka,sikap kadang2 menyakitkan...
Harapan ini akan menjadi indah jika selalu ada maaf di antara kita,
Syawal akan menjelang...ampun maaf ku pinta darimu wahai sahabat2ku yg tersayang,semoga ukhwah yg terjalin tetap indah di hati dan sanubari...

“Ya Allah, ampunkanlah bagiku amalan yang telah kukerjakan dan apa yang akan kukerjakan, sesuatu yang aku sembunyikan dan sesuatu yang aku nyatakan, sesuatu yang tidak sengaja kulakukan dan sesuatu yang Engkau lebih mengetahuinya daripadaku. Engkaulah yang terawal dan Engkau yang terakhir, tiada Tuhan selain Engkau.”
~Mata selalu tersalah pandang,telinga selalu tersalah dengar,mulut selalu tersalah cakap,hati selalu tersalah anggap,ampun maaf ku pinta dari semua sahabat2 yg tersayang..semoga ukhwah kan tetap indah,InsyaAllah..."SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI,MAAF ZAHIR BATIN"

FROM NUR MUJAHIDAH ISLAM BLOGSPOT...<3 <3 <3

Berakhirnya Ramadhan, Suka atau Duka?


BISMILLAHIROHMANIROHIM...

Ramadhan akan meninggalkan kita dalam masa tidak beberapa hari sahaja lagi. Bulan keberkatan, rahmat, keampunan sudah hampir menutup tirainya. Syaitan-syaitan hampir dilepaskan belenggunya, pintu neraka hampir dibuka. Namun kita sebagai manusia (termasuk diri ini), masih terleka dengan kegembiraan syawal lebih dari kelebihan ramadhan yang disebut.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah : 183

183. Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Dalam ayat diatas jelas menunjukkan outcome terhadap orang-orang yang berpuasa adalah sejauh mana taqwanya meningkat. Kita? Adakah taqwa kita meningkat? Sesungguhnya untunglah orang-orang yang berjaya mendapat outcome yang dijamin oleh ALLAH ayat diatas. Siapakah orang-orang tersebut?

Mereka ialah orang orang merasai terkesannya diri untuk menjadi lebih baik, gembira sewaktu kedatangan ramadhan dan sedih sewaktu pemergiannya. Mengapa mereka merasai begitu? Sudah tentulah kerana ganjaran dan kebaikannya tidak ada di dalam bulan-bulan lain.

Antara kelebihan ramadhan ialah :

Pahala kebaikan digandakan. MasyaALLAH. Bayangkan kalau diluar ramadhan setiap satu kebaikan akan diberi sepuluh ganjaran, apatah lagi ramadhan? Sebagai contoh, dengan membaca al-Quran, ganjarannya mengikut berapa huruf yang dibaca. Jika satu surah al-Fatihah di baca pada luar bulan ramadhan, setiap huruf di beri ganjaran sepuluh kebaikan. Jika dibulan ramadhan, hanya dengan surah al-fatihah berganda-ganda ganjarannya. Apatah lagi yang menghabiskan satu Al-Quran. Begitu juga sedeqah dan sebagainya.

Allah membuka pintu keampunan seluas-luasnya. Sedangkan Rasulullah yang ma’sum pon setiap hari bertaubat kepada ALLAH, inikan lagi kita, manusia biasa, yang tidak diberi apa-apa jaminan syurga. Hanya orang-orang bijak sahaja yang mengambil peluang sehabis baik meminta keampunan di bulan ini. Setiap tangisan airmata yang keluar ikhlas kerana ALLAH itulah yang akan membantu menyelamatkan kita dari seksaan azab api neraka.

Malam lailatulqadar. Ganjaran yang ada pada malam ini sama seperti beribadat selama 1000 bulan atau bersamaan dengan 83 tahun. Mengikut salah satu pendapat ulama’ berdasarkan nas-nas, ia berlaku pada sepuluh malam ganjil sepuluh terakhir bulan ramadhan. Semua ciptaan ALLAH tunduk sujud dengan cara tersendiri pada malam itu, Inikan lagi manusia, yang diberi aqal, mereka perlulah lebih berusaha mencari malam ini.

Seperti firman Allah dalam (surah Al-Qadr : 1-5)

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar, dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa Dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu? malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. pada malam itu, turun malaikat dan Jibril Dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa Segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun Yang berikut); sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

Doa dimakbulkan. Antara doa-doa akan ALLAH akan makbulkan dengan hebat ialah doa orang-orang yang berpuasa. Itupun jika puasa dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Berusaha untuk mencapainya, bukan setakat berdoa sahaja.

Dengan pemergian Ramadhan pada kali ini diharapkan memberi satu kekuatan dan latihan untuk terus istiqamah dalam melakukan amalan-amalan. Oleh itu wahai rakan sekalian, sambutlah aidilfitri dengan kegembiraan yang berpada-pada, janganlah sampai menjadikan syawal sebagai hari balas dendam atas segala apa yang kita tahan selama bulan ramadhan.

Kepada yang berusaha pergi bertarawikh di surau pada bulan ramadhan, teruskan usahamu untuk berjamaah fardhu di luar bulan ramadhan.

Kepada mereka yang berusaha berhenti merokok pada bulan ramadhan, teruskan usaha anda untuk berhenti merokok.

Kepada yang selalu menahan diri untuk mencarut pada bulan ramadhan, jaga mulutmu dari perkataan-perkataan yang tidak berguna itu selepas ramadhan.

Kepada mereka yang letih sujud berqiamullail pada bulan ramadhan, teruskan dengan bangun malam itu sepertimana kau mencari LailatulQadr di bulan ramadhan.

Kepada mereka yang menahan diri dari berdating dengan temanmu di bulan ramadhan teruskan usahamu membina pertalian suci diantara dua hati yang bukan muhrim.

Kepada mereka yang menahan nafsu daripada melakukan perkara-perkara yang terjurus kepada kelucahan semasa bulan ramadhan, jadikan syawal dan bulan-bulan seterusnya sebagai permulaan kepada pengakhiran.

Kepada mereka yang berusaha menutup aurat untuk bertarawikh di surau pada bulan ramadhan, teruskan usaha sucimu itu dibulan-ulan seterusnya. Agar ia menjadi kebiasaanmu kelak.

Dan begitulah selanjutnya, jadikanlah ramadhan sebagai latihan untuk kamu menjadi insan yang lebih berguna.

Terima kasih ALLAH kerana memberikan aku kesempatan untuk menghabiskan ramadhan pada tahun ini, dan sampaikanlah aku ke ramadhan seterusnya. Amin, Ya Rabbal- Alamin

Hadith Rasulullah SAW:

Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan”. -Riwayat Ahmad dan At Tabrani daripada Anas-


Jazakumullah..

iluvislam

Tunaikan Zakat Fitrah dan Teruskan Beramal di Hujung Ramadan Untuk Mendapat Takwa Kepada Allah SWT


BISMILLAHIROHMANIROHIM...

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Ramadhan telah berada dipenghujungnya. Beberapa hari lagi Syahwal akan menjalang tiba iaitu menandakan Hari Raya Aidilfitri akan menjelma lagi. Hari Raya Aidilfitri disambut pada 1 Syawal tahun Hijrah. Perayaan tersebut juga dikenali sebagai Hari Raya Puasa, Hari Raya Fitrah, dan Hari Lebaran.

Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia berbagai bangsa di seluruh dunia yang beragama Islam bagi menandakan berakhirnya bulan Ramadhan yang mana umat Islam telah menjalani ibadat puasa dengan tekun. Ia merupakan antara dua perayaan terbesar bagi umat Islam, selain Hari Raya Korban.

Sebelum menjelangnya Hari Raya Aidilfitri umat Islam diwajibkan membayar zakat fitrah.

Ibnu Umar meriwayatkan: “Rasulullah SAW. mewajibkan zakat fitrah di bulan Ramadan kepada setiap orang Muslim, sama ada dia merdeka atau hamba, lelaki mahu pun perempuan. Iaitu (jumlahnya) segantang kurma atau gandum.”
(Hadis Riwayat Imam Muslim)

Di dalam Islam, di samping zakat harta maka semua umat Islam yang layak diwajibkan zakat fitrah. Sungguh pun sama dari aspek nama dan amalan; namun kedua-dua amalan fardu ini mempunyai perbezaan. Ia berbeza lantaran mempunyai beberapa syarat yang mendasari hikmah di sebalik perlaksanaannya.

Zakat fitrah dikenakan kepada semua umat Islam, sama ada merdeka mahu pun hamba sahaya. Ini berbeza dengan zakat harta, kerana tidak dikenakan kepada hamba. Mana mungkin seorang hamba mampu berzakat, andai dirinya sendiri pun dimiliki oleh orang lain. Bahkan, demi mengangkat taraf seorang hamba maka Islam memberikan hak zakat untuk mereka menebus diri.

Zakat fitrah juga mempunyai nisab yang berbeza dengan zakat harta. Untuk menunaikan zakat fitrah, Islam menetapkan bahawa seseorang itu mempunyai makanan yang cukup baginya pada malam hari raya sehingga ke siang hari raya. Jika seseorang itu mempunyai makanan yang cukup bagi tempoh itu, maka wajiblah zakat fitrah ke atasnya.

Manakala, nisab zakat harta pula mesti disandarkan kepada nilai emas semasa. Apabila harga emas tinggi, maka tinggilah nisabnya. Kadar zakat fitrah pula ialah sekadar segantang Baghdad yang dikenakan berdasarkan makanan asasi. Jika di Malaysia, beraslah zakat fitrahnya. Segantang Baghdad itu pula menyamai 2.7 kg. Maka, darablah harga beras semasa dengan 2.7 kg bagi mendapatkan kadar zakat fitrah. Manakala, kadar zakat harta pula ialah 2.5 peratus dari keseluruhan harta. Manakala, jika zakat pertanian pula kadarnya sama ada 5.0 peratus atau 10.0 peratus.

Contohnya harga sekilo beras pada masa kini rm2.60 kemudian dikali dengan 2.7kg, bersamaan rm7.00 (kadar bayaran zakat fitrah) jumlah kadar zakat fitrah berubah mengikut harga beras dipasaran.

Zakat harta agihannya kepada lapan asnaf. Manakala, agihan zakat fitrah selalunya difokuskan kepada fakir dan miskin. Inilah pandangan sebahagian ulama. Misalnya dinyatakan oleh Ibnu Qayyim, Ibnu Rusyd, Sayid Sabiq dan Karim Zaidan

Menjelang Aidilfitri, bermakna umat Islam menuju kegembiraan. Inilah yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW. iaitu orang yang berpuasa diberikan dua kegembiraan. Kegembiraan pertama sewaktu berbuka (berbuka puasa dan berhari raya) dan keduanya ketika menatap wajah Allah SWT. di dalam syurga (mafhum daripada hadis riwayat Imam Muslim dan Imam Ahmad).

Di dalam memastikan umat Islam khususnya golongan fakir dan miskin turut merasai nikmat hari raya inilah, maka zakat fitrah diwajibkan. Ia bertujuan memberikan mereka makanan yang cukup. Bahkan dalam konteks hari ini, fakir miskin bukan sahaja diberikan makanan bahkan wang ringgit. Maka, dapatlah mereka membeli keperluan hari raya dengan wang ringgit tersebut.

Di samping itu, zakat fitrah juga menepati kehendak puasa yang bermaksud mengembalikan manusia kepada fitrah. Apabila zakat fitrah ditunaikan, maka akan terhakislah rasa tamak dan haloba dalam diri. Akan tersingkaplah tirai kesombongan dan diganti dengan rasa rendah diri dan saling berkongsi.

Ibnu Abbas menyatakan: “Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang berpuasa daripada ucapan yang tidak ada manfaatnya dan kata-kata yang kotor, serta untuk memberikan makanan kepada orang-orang miskin.” (Hadis Riwayat Abu Daud).

Sahabat yang dimuliakan,
Pergunakanlah beberapa hari yang tinggal dibulan Ramadan ini dengan penuh keinsafan dan tingkatkan lagi amalan, kerana para sahabat Rasulullah menangisi kerana pemergiaan Ramadan kerana dibulan yang penuh berkah ini terdapat hikmah dan ganjaran yang tidak diperolehi pada sebelas bulan yang akan datang.

Bulan Ramadan dipilih sebagai bulan re-charge untuk kita semua menghadapi 11 bulan keseterusnya. Re-charge dari segi ibadat, akhlak, muamalat. Sebab itu, banyak sekali pantang larang yang perlu kita ikuti dan patuhi sepanjang tempoh sebulan tersebut. Ia adalah latihan Allah SWT. kepada kita supaya dapat diamalkan pada bulan-bulan seterusnya. Solat berjamaah, berterawih, berzikir, membaca al-Quran, menjaga tutur kata dan bersedekah ialah antara amalan yang menjadi kelaziman pada bulan yang mulia ini .

Namun, sebaik sahaja azan Maghrib berkumandang menandakan masuknya 1 Syawal, maka umat Islam akan meraikan hari kemenangan kerana selama sebulan telah berjaya menundukkan hawa nafsu dan bergembira kerana jiwa telah kembali kepada fitrahnya yang asal iaitu bertakwa kepada Allah SWT. Hasil daripada madrasah Ramadan akan menghasilkan insan-insan yang baru dan bersih daripada dosa kerana mendapat pengampunan daripada Allah SWT.

Sahabat yang dikasihi,
Kekalkanlah amalan-amalan mulia yang kalian lakukan ini walaupun Ramadan yang penuh berkah pergi meninggalkan kita. Penerusan amalan dan beristiqamah adalah tanda takwa itu telah kita miliki. Jika kita kembali hidup cara lama iaitu kurang darisegi ibadah dan amal soleh dikhuatiri ibadah puasa kita setakat mendapat lapar dan dahaga saja. Oleh itu marilah sama-sama kita bermuhasabah dan meneruskan jihad dan pengorbanan kita dalam mencari keredaan Allah di dunia ini.

Isnin, 8 Ogos 2011

Rahsia Kejayaan Umat Islam Berlaku di Bulan Ramadhan


BISMILLAHIROHMANIROHIM....

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.


Sahabat yang dirahmati Allah,
Ramadan adalah bulan yang mulia disisi Allah SWT. Kehadiran Ramadan umat Islam diwajibkan berpuasa dan melaksanakan ibadah dengan penuh kusyuk semata-mata mencari keredhaan Allah SWT.

Namun begitu dibulan Ramadan ini juga mengandungi rahsia kejayaan Rasulullah SAW dan sahabat-sahabatnya dan juga para mujahid Islam dalam usaha untuk mempertahankan Islam dan mengembalikan balik kedaulatan Islam . Islam hanya mampu dihayati sepenuhnya apabila wujud Daulah Islamiah dan melaksanakan hukum-hukum Allah SWT di dalamnya.

Perlulah kita faham bahawa kewajipan berpuasa dengan kewajipan berjihad tidak ada bezanya. Malah puasa yang sedang umat Islam lakukan benar-benar menjadi penguat rohiyah yang jauh melebihi kekuatan fizikal. Semasa berpuasalah semangat jihad dan pengorbanan akan terbentuk didalam hati dan jiwa orang mukmin.

Terdapat beberapa peristiwa dalam sejarah Islam, kejayaan umat Islam berjaya dalam jihad dan peperangan ketika berhadapan dengan tentera kuffar ianya berlaku didalam bulan Ramadan. Peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Perang Badar al-Qubra .

Dengan pertolongan Allah SWT Rasulullah SAW dan sahabat-sahabatnya telah berjaya mengalahkan pasukan kafir Quraish meskipun secara fizikal dan material memihak kepada Quraish.

Perang Badar al-Kubra adalah antara peristiwa penting dalam sejarah Islam yang berlaku pada bulan Ramadan. Perang itu berlaku pada 17 Ramadan tahun kedua hijrah, menyaksikan pertembungan antara tentera Islam yang disertai 313 orang dengan bala tentera kafir musyrikin seramai 1,000 orang.

Jumlah tentera yang tidak seimbang itu menyebabkan Rasulullah berdoa kepada Allah SWT sambil bermunajat: "Ya Allah! Ya Tuhanku! Perkenankan apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah! Ya Tuhanku! Jika Jemaah Islam ini binasa, maka tidak akan ada lagi orang yang akan menyembah-Mu di bumi ini."

Baginda terus berdoa sehingga selendangnya jatuh daripada bahunya. Lantas datang Abu Bakar al-Siddiq mengambil selendang itu, lalu meletakkannya kembali pada bahu Baginda. Kemudian beliau berdiri di belakang Rasulullah SAW seraya berkata: "Wahai Nabi Allah! Cukuplah doamu itu kepada Allah. Mudah-mudahan Allah akan makbulkan permintaanmu dan akan penuhi janji-Nya kepadamu."

Selepas itu, turun wahyu yang bermaksud: "(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu Allah perkenankan permohonan kamu (dengan firman-Nya): 'Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) daripada malaikat yang datang berturut-turut."
(Surah al-Anfal ayat 9)

Kisah ini menggambarkan dengan jelas peranan doa dalam kehidupan muslim. Setiap muslim dituntut berdoa hanya kepada Allah SWT. Ia juga menunjukkan betapa manusia adalah makhluk lemah dan serba dhaif. Oleh itu, manusia berhajatkan kepada pertolongan Allah sebagai Pencipta alam semesta yang Maha Berkuasa. Kepada-Nya setiap muslim bergantung harapan dan memohon bantuan sebagaimana maksud daripada surah al-Fatihah yang diulang-ulang sekurang-kurang 17 kali sehari semalam maksudnya: "Engkaulah saja (Ya Allah) yang kami sembah dan kepada Engkaulah saja kami memohon pertolongan."
(Surah al-Fatihah, ayat 5)

Maka tidak hairan baginda sentiasa menggalakkan umat Islam agar tidak putus-putus berdoa kepada Allah SAW dalam semua keadaan tidak kira pada masa senang atau susah, kaya atau miskin dan seterusnya. Baginda pernah bersabda maksudnya: "Doa adalah senjata mukmin dan tiang agama serta sinaran cahaya yang menerangi langit dan bumi."
(Hadis riwayat Abu Ya'la)

Kedua : Perang Khandak .

Pada bulan Ramadan tahun 5H pula, Rasulullah SAW dan para sahabat melakukan persiapan untuk Perang Khandak. Persiapan dilakukan dengan menggali parit (khandak) di sekeliling kota Madinah. Taktik yang diusulkan oleh Salman Al-Farisi ini tidak pernah digunakan oleh bangsa Arab sebelum ini. Peperangan Khandak akhirnya terjadi pada bulan Syawal dan berakhir pada bulan Dzulkaedah dengan kemenangan berpihak kepada kaum muslimin setelah Allah SWT menurunkan bantuan-Nya berupa angit ribut menghancurkan kekuatan tentera kafir Quraish.

Ketiga : Pembukaan Kota Mekah .

Satu lagi peristiwa penting berlaku pada 21 Ramadan 8H yakni Fathul (pembukaan) Mekah. Rasulullah SAW. keluar dari Madinah pada 10 Ramadan dan berpuasa, lalu diikuti para sahabat. Mereka berbuka di suatu tempat yang dipanggil Mukaddid (antara Asfan dengan Amjad). Mekah jatuh ke tangan kaum muslimin tanpa pertumpahan darah. Menurut Ibnu Ishaq, penaklukan itu terjadi pada 10 malam terakhir bulan Ramadan. Peristiwa penting ini telah menyaksikan berapa ramai dari para sahabat khasnya golongan muhajirin menitiskan air mata gembira kerana kejayaan mereka menawan¡ kembali kota yang dulunya menjadi tempat mereka dihina dan diseksa di dalam perjuangan menegakkan agama Allah.

Kisah yang terjadi pada 10 Ramadan tahun ke-8 Hijrah adalah Pembukaan Kota Mekah (Fathul Makkah) di mana umat Islam telah berjaya menakluki Mekah dan ia merupakan kejayaan yang terbesar kepada umat Islam apabila berjaya menguasai Mekah dan Madinah sekaligus menjadikan kedua-duanya sebagai pusat yang penting bagi Daulah Islamiah di bawah kepimpinan Rasulullah SAW.

Kejayaan umat Islam pada waktu itu bukan sahaja dapat menakluki Mekah, bahkan hasil penaklukan kota Mekah itu telah menyebabkan penduduk Mekah yang dahulunya kafir telah berbondong-bondong memasuki agama Allah SWT. Ini terkandung di dalam al-Quran.
Firman Allah SWT maksudnya : "Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Mekah) . Dan engkau melihat manusia berbondong-bondong masuk ke dalam agama Allah. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampunan padaNya, Sesungguhnya, Dia Maha Penerima Taubat".(Surah an-Nasr ayat 1-3)

Ayat ini jelas menceritakan kisah Fathul Makkah (pembukaan Kota Mekah) dan dalam ayat ini juga, Allah SAW. menyeru agar hamba-hambaNya bertasbih kepadaNya apabila beroleh kemenangan sebagai tanda mensyukuri atas nikmat yang diberikan. Seperti yang kita sedia maklum, kita juga akan bertasbih, bertakbir dan bertahmid meraikan hari kemenangan seperti pada Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha khususnya.

Ibnu Qayyim Al-Jauzi telah berkata : "Ianya satu pembukaan teragung yang dengannya Allah SWT memuliakan agama-Nya, Rasul-Nya, tentera-Nya dan parti-Nya yang beramanah, dengannya juga Allah SWT telah menyelamatkan negeri-negeri-Nya dan rumah-Nya yang telahpun ditetapkan sebagai tempat hidayah untuk seluruh alam, menyelamatkan dari tangan-tangan kafir dan musyrikin, ianya pembukaan yang turut bergembira olehnya penghuni-penghuni langit, lanjutan kemuliaannya melimpah ke angkasa cakerawala hingga dengannya maka berduyun-duyunlah manusia menganut agama-Nya, hingga dengan-Nya wajah bumi terukir seribu senyuman mekar".

Keempat : Tentera Islam mendarat di Pantai Andalusia (Sepanyol).

Pada bulan Ramadan tahun 91H, pasukan tentera Islam mendarat di selatan Pantai Andalusia (Sepanyol) dan terus berjihad. Kemudian pada Ramadan tahun berikutnya Panglima Thariq bin Ziyad berjaya mengalahkan Raja Roderick.

Kelima : Salahuddin Al-Ayyubi mengalahkan tentera salib di Baitul Maqdis.

Pada Ramadan 584H pula menyaksikan Panglima Islam yang terkenal, Salahuddin Al-Ayyubi mendapat kemenangan besar ke atas tentera Salib. Tentera Islam menguasai daerah-daerah yang sebelumnya dikuasai oleh tentera Salib. Oleh kerana bulan Ramadan, penasihat-penasihat Salahuddin menyarankan agar dia berehat kerana risau ajalnya tiba, tetapi Salahuddin menjawab "Umur itu pendek dan ajal itu sentiasa mengancam". Kemudian tentera Islam yang dipimpinnya terus berperang dan berjaya merampas benteng Shafad yang kuat.

Keenam : Tentera Islam mengalahkan tentera Mongol .

Seterusnya dalam bulan Ramadan 658H, tentera Mongol berjaya dikalahkan di Ain Jalut dan Palestin kembali ke tangan kaum muslimin.
Banyak lagi peperangan lain yang berlaku di masa Rasulullah SAW dan juga para khalifah Islam semasa bulan Ramadan yang tidak dapat diungkapkan di sini. Catatan sejarah membuktikan kepada kita bahawa bulan Ramadan bukan sahaja dipenuhi dengan ibadah khusus tetapi juga penuh dengan perjuangan untuk menyebarkan agama Allah SAW dan meninggikan syiar Islam.

Beberapa peristiwa yang tercatat juga menunjukkan betapa Rasulullah SAW. dan para khalifah sentiasa berusaha menyebarkan rahmat Allah di muka bumi dengan jalan dakwah dan jihad meskipun mereka dalam keadaan lapar dan dahaga. Mereka tidak rela melihat dan membiarkan umat Islam terus berada di bawah kekuasaan musuh mereka. Mereka sentiasa memerangi kaum kuffar demi menjaga nasib umat Islam dari ditindas dan diancam oleh musuh Allah SWT.

Sahabat yang dimuliakan,
Oleh itu apakah kita sebagai umat Islam saat ini terfikir akan nasib yang menimpa saudara-saudara kita di Palestin, Iraq, Afghanistan, Khasmir, Selatan Filipina (Philipine) dan Selatan Thailand yang sedang ditindas dan mereka menjalani kehidupan yang sukar dan terpaksa mempertahankan maruah diri untuk mempertahankan negara mereka yang diceroboh oleh tentera kuffar. Penderitaan ini yang datang berpanjangan adalah kerana umat Islam telah kehilangan Khalifah Islamiah sejak jatuhnya Khalifah Islamiyah di Turki pada 3 Mac 1924 hinggalah kini.

Sudah 82 tahun Khilafah Islamiyah (Daulah Islam) dihancurkan oleh musuh-musuh Allah dengan kerjasama oleh para pengkhianat dari pemimpin-pemimpin umat Islam sendiri. Sekarang ini, muncul pula para pengkhianat lain yang mewarisi dan mempertahankan negara masing-masing yang telah dihadiahkan oleh penjajah kuffar.

Mereka bersungguh-sungguh mempertahankan negara masing-masing walhal apa yang sepatutnya mereka pertahankan ialah Islam dan umatnya. Mereka takutkan musuh Allah, Amerika dan sekutunya, walhal apa yang sepatutnya mereka takutkan ialah Allah SWT dan azabNya. Mereka mencari perlindungan, kemuliaan dan kekuatan dari orang-orang kafir yang jelas-jelas merupakan musuh Allah dan musuh mereka sendiri, walhal sepatutnya mereka mencari kemuliaan dan kekuatan dari Allah. Mereka menjadi lemah dan pengecut dan tunduk kepada kaum kuffar, walhal Allah SWT. berfirman maksudnya : "Padahal kekuatan itu hanyalah bagi Allah, RasulNya dan bagi orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tidak mengetahui¡¨
(Surah Al-Munafiqun ayat 8).

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita mengambil iktibar di sini bahawa bulan Ramadan bukan sahaja dituntut kita mengerjakan ibadah puasa sahaja tetapi dan melahirkan hubungan iman kita dengan Allah SWT tetapi ibadah puasa juga bertujuan memberi keyakinan kepada kita bahawa perlu dikembalikan balik Daulah Islamiah dan meletakkan Islam sebagai satu kuasa yang dapat memerintah dan Islam pastinya akan beroleh kejayaan sekali lagi seperti zaman kegemilangannya sebelum ini. Hanya Allah SWT yang mengetahui masanya.

Alangkah indahnya jika kita dapat hidup mengikut syariat Islam di dalam semua kehidupan kita dan Islam dapat dikembalikan ditempatnya yang sebenarnya dan seluruh muka bumi Allah ini dimakmurkan dengan keadilan Islam.

Ibadah Puasa Melahirkan Mukmin Yang Bersifat Amanah


BISMILLAHIROHMANIROHIM...

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Ibadah puasa akan melahirkan muslim yang amanah yang merupakan sifat yang tinggi nilainya. Puasa melatih manusia dengan sifat-sifat amanah kerana tanpanya puasa akan menjadi batal atau tidak sempurna. Jika begitu, sia-sia sahaja seseorang itu berpuasa dan tiada faedahnya menahan lapar dan dahaga.

Puasa mengajarkan rasa amanah di hadapan Allah SWT, baik dengan amalan yang nampak maupun yang tersembunyi.

Tidak ada yang mengawasi seseorang yang berpuasa agar menghindari hal-hal yang dilarang dalam berpuasa kecuali Allah SWT. Amanah yang dimiliki orang beriman mendorongnya untuk tetap menjaga kejujuran untuk tidak membatalkan puasa sekalipun ia tahu tidak seorang pun akan mengetahui perbuatannya.

Maksud amanah di dalam al-Quran dan hadis mengandung makna yang dalam dan merupakan salah satu kunci dalam konsep syariah. Paling tidak ada tiga konsep kunci dalam Islam yang berkenaan dengan amanah ini.

Pertama, amanah berkenaan dengan soal kepercayaan.

Amanah dalam bahasa ekonomi sering diterjemahkan dengan 'trust', yang bersangkut paut dengan kepercayaan atau mempercayakan sesuatu pada orang lain.

Dalam pemerintahan, ketua negara adalah orang yang dipercayai untuk menjalankan tugas atau amanah. Ia harus menunaikannya, kerana amanah adalah kewajiban dan harus dipegang penuh ketika amanah itu diterima.

Kedua, amanah berkenaan dengan tanggung jawab yang berat.

Dalam al-Quran surah al-Ahzab ayat 72, Allah SWT berfirman maksudnya : ‘’Sungguh kami telah menawarkan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung, tapi mereka enggan memikulnya, kerana takut akan mengkhianatinya dan manusia bersedia memikulnya. Ia sungguh zalim dan bodoh sekali.’’

Menurut tafsir Prof. Dr. Hamka, ayat tersebut bermaksud menggambarkan secara kiasan atau dengan ungkapan, betapa berat amanah itu, sehingga gunung-gunung, bumi dan langit pun tak bersedia memikulnya.

Dalam tafsir ini dikatakan, hanya manusia yang mampu memikul amanah, kerana manusia diberi kemampuan untuk itu oleh Allah SWT walaupun ternyata kemudian berbuat zalim, terhadap dirinya sendiri maupun orang lain serta bertindak bodoh dengan mengkhianati amanah itu.

Sementara alam menolak untuk tidak setia. Dengan perkataan lain, alam semesta memang tunduk pada undang-undang yang berlaku dalam alam semesta, sedang manusia tidak.

Secara fizikal manusia diberi Allah SWT jiwa yang mampu menjalankan amanah. Dengan pengalaman, perasaan dan pengetahuan, manusia memiliki kemampuan untuk menjalankan tugasnya sebagai pemegang amanah.

Tapi sebagaimana dinyatakan pada akhir ayat di atas, manusia ternyata berbuat zalim dan tidak jujur dalam menjalankan tugasnya.

Manusia memang mampu berbuat baik, tapi manusia memiliki potensi pula untuk cenderung pada kezaliman. Dalam sejarah manusia, manusia memang banyak yang tergoda oleh nafsu amarah dan mengikut bisikan syaitan sehingga membawa mereka pada tindakan-tindakan yang mengingkari amanah.

Oleh sebab itu, pemegang amanah selain perlu ilmu pengetahuan, juga perlu petunjuk atau hidayah dari Tuhan, sebab manusia menghadapi pujukan dan godaan dari keinginannya sendiri yang sering tidak dapat dikawal daripada godaan nafsunya.

Ketiga, amanah berkaitan dengan iman.

Amanah mempunyai asas kata yang sama dengan iman, dalam al-Quran Allah SWT berfirman maksudnya : ‘’Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati kepercayaan Allah dan Rasul-Nya dan jangan pula kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepadamu sedang kamu mengetahui persoalannya.’’ (Surah al-Anfal ayat 27)

Ayat ini bermaksud, bila manusia menerima amanah, maka Allah SWT akan memberi petunjuk untuk memegang amanah. Dengan perkataan lain, amanah adalah moral dan akhlak yang memungkinkan manusia membangun yang positif dan menghilangkan yang negatif.

Orang yang tidak bermoral dan tidak mempunyai akhlak tentunya bukanlah orang yang beriman, dan orang yang tidak beriman tentunya bukanlah orang yang mampu melaksanakan dan memegang amanah.

Sahabat yang dimuliakan,
Puasa di bulan Ramadan akan melahirkan mukmin yang dapat dipercaya orang lain. Puasa mestinya membuat seseorang jujur dalam setiap perkataan dan perbuatannya. Puasa membuat seseorang meyakini sepenuhnya bahawa Allah SWT mengawasi dan melihat semua perbuatannya samaada baik atau buruk.

Puasa yang kita laksanakan dengan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT akan melahirkan individu-individu muslim yang cukup amanah kepada Allah SWT, amanah sesama manusai danamanah kepada diri sendiri.

Jika dia seorang suami dan bapa, dia akan bersifat amanah dan menjalankan tugas dengan penuh bertanggungjawab memberi nafkah dan mendidik isteri dan anak-anaknya kejalan yang diredai oleh Allah SWT. Dia akan mampu melahirkan rumah tangga muslim yang bahagia hingga menjadikan rumah tangganya; 'rumahku syurgaku'.

Jika dia seorang anak , dia akan melaksanakan amanah memberi bantuan, menjaga, menghormati dan memberi kasih sayang kepada kedua ibu bapanya, hingga dia menjadi anak yang soleh dan sentiasa mendoakan kedua ibu bapanya.

Jika dia seorang isteri, dia akan berkhidmat untuk suaminya, mentaatinya, menjaga kehormatan diri dan menjadikan dirinya sebagai seorang isteri yang solehah dan tidak menderhakai suaminya.

Jika dia seorang pekerja, dia akan bekerja dengan jujur dan amanah, tidak mencuri tulang dan sentiasa menjaga kepentingan majikannya.

Jika dia seorang pemimpin negara, amanah yang besar terpikul dibahunya iaitu :

1. Dia bertanggungjawab memastikan hukum-hukum Allah SWT terlaksana seperti yang terdapat di dalam al-Quran dan as-Sunah. Jika hukum-hukum tersebut perlu kepada peringkat demi peringkat dalam perlaksanaannya dia perlu ikhlas dan berusaha agar undang-undang tersebut dapat dilaksanakan satu persatu dan kesedaran perlu diberikan kepada rakyat supaya memahami kebaikan undang-undang yang datangnya daripada Allah SWT. (bukannya membenci dan menentang hukum hudud)

2. Sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat samaada keperluan pendidikan, perubatan, perumahan, peluang-peluang pekerjaan, peningkatan ekonomi dan sebagainya.

3. Sentiasa menjamin keselamatan rakyat, pemimpin tidak boleh memusuhi atau menzalimi rakyat dengan menolak pandangan dan kehendak mereka. Apatah lagi membelasah rakyat yang berhimpun secara aman.

4. Pastikan akidah, akhlak dan pendidikan Islam berjalan dengan sempurna untuk rakyat yang beragama Islam, mengutamakan pendidikan Islam disemua peringkat pembelajaran kerana amanah ini lebih penting daripada perkara yang lain.

5. Pemimpin tidak mengambil rasuah, tidak memberi keutamaan kepada kroni dan ahli keluarga dan pastikan harta dan kewangan negara diurus dengan sempurna dan tidak berlaku penyelewengan dan salah urus.

Penyelewengan dan mengabaikan amanah akan mengakibatkan pemimpin tidak dapat memasuki syurga Allah SWT di hari akhirat.

Diriwayatkan dari Ma’qil bin Yasar, ia berkata kepada Ubaidah bin Ziyad pada saat sakit menjelang wafatnya : “Kalau bukan karena sakit yang akan membawa kematian ini, saya tidak akan menceritakan kepadamu, bahwa saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah seseorang yang diberi amanah Allah untuk memimpin rakyatnya, sedangkan ia meninggal dunia dalam keadaan menipu rakyatnya, kecuali Allah haramkan baginya masuk syurga.”
(Sahih Muslim, hadits ke 3409, Jilid 9, hal 349).

Dalam hadis yang lain sabda Rasulullah SAW bersabda maksudnya : " Kamu sekalian adalah pemimpin dan kamu juga akan diminta bertanggungjawab tentang apa yang kamu pemimpin, ketua atau imam adalah pemimpin dan ia akan diminta tanggungjawab tentang apa yang dipimpin. Suami adalah pemimpin di dalam keluarganya, dan dia akan bertanggungjawab tentang apa yang dipimpin. Isteri juga dipimpin, dalam mengendalikan rumahtangga suaminya dan dia juga akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya, dan pembantu rumahtangga juga pemimpin dalam mengawasi harta benda majikannya dan dia juga akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya." (Hadis Riwayat Bukhari)

Dari hadis ini jelaslah bahawa tiap-tiap orang tidak dapat melepaskan diri dari tanggungjawab, dan tiap-tiap orang tidak dapat melepaskan tugasnya terhadap masyarakat dan semuanya akan ditanya oleh Allah SWT apakah tanggungjawab kita itu dapat dilaksanakan dengan baik atau tidak.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita menjalani ibadah puasa dengan sempuran dengan mematuhi syarat-syaratnya dan menjadikan puasa kita sebagai amanah yang wajib perlu kita tunaikan kepada Allah SWT. Dari rasa tanggung jawab ini akan melahirkan rasa tanggungjawab kepada Allah SWT untuk memikul segala amanah yang diberikan kepada kita untuk dilaksanakan. Sekiranya puasa yang kita kerjakan tidak dapat melahirkan sifat amanah kepada tugas (tanggungjawab) yang diberikan kepada kita ini bermakna puasa kita tidak betul dan mungkin tidak diterima oleh Allah SWT. Natijah puasa akan melahirkan salah satu sifat mahmudah iaitu sifat amanah dengan tugas dan tanggungjawab.

Banyakkan Bersedekah di Bulan Ramadan Sebagai Penebus Kemurkaan Allah


BISMILLAHIROHMANIROHIM...

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah SAW adalah orang yang sangat dermawan, dan kedermawanan baginda semakin bertambah pada bulan Ramadan. Kebaikan-kebaikan yang baginda lakukan pada bulan itu melebihi angin yang berhembus.”

Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda yg bermaksud:
“Seutama-utama sedekah adalah pada bulan Ramadan.”
(HR. At-Tirmidzi)

Zaid bin Salim meriwayatkan dari ayahandanya bahawa ia berkata: Saya mendengar Umar bin Khattab berkata: “Rasulullah SAW. memerintahkan kami agar bersedekah. Kebetulan aku sedang memiliki harta.
Umar pun berkata: “Pada hari ini aku akan melebihi Abu Bakar !” Umar melanjutkan: Aku pun membawa setengah dari hartaku.
Rasulullah berkata: “Apa yang kamu tinggalkan untuk keluargamu?”
“Sebanyak ini juga!” jawabku.
Kemudian datanglah Abu Bakar dengan membawa seluruh hartanya. Rasulullah SAW berkata: “Apa yang kamu tinggalkan untuk keluargamu?” .
Dia menjawab: “Aku tinggalkan bagi mereka Allah dan RasulNya!”
Maka aku berkata: “Aku tidak akan mampu melebihimu selamanya.”

Diriwayatkan dari Thalhah bin Yahya bin Thalhah bahawa ia berkata:“Nenekku bernama Su’da binti ‘Auf Al-Murriyyah, beliau adalah isteri Thalhah bin ‘Ubaidillah- menceritakan kepadaku:“Pada suatu hari Thalhah datang menemuiku dengan wajah yang kusut. Aku bertanya kepadanya: “Mengapa wajahmu kusut seperti itu?” Apa yang telah terjadi atas dirimu? Adakah sesuatu yang dapat kubantu?
Ia berkata: “Terima kasih, kamu adalah sebaik-baik isteri seorang muslim!” Aku bertanya lagi: “Jika demikian, apa yang terjadi atas dirimu?

Ia akhirnya berkata: “Harta yang kumiliki sudah terlalu banyak dan hal itu sangat menyusahkan diriku.”
Kukatakan padanya: “Jangan terlalu bersusah, bagikan saja harta itu!”

Maka ia pun membagi-bagikan harta itu hingga tidak tertinggal sedirham pun.”
Thalhah bin Yahya (cucunya) berkata:“Aku tanyakan kepada penjaga gudangnya: “Berapa harta Thalhah ketika itu?”
“Empat ratus ribu dirham!” katanya.

Sedekah boleh melindungi dari bahaya dan musibah, serta menolak su’ul khatimah (kematian yang buruk). Sedekah mampu memberikan pengaruh yang luar biasa kepada orang yang menunaikannya. Salah satu manfaat sedekah adalah ia memelihara seseorang dari segala macam bahaya dan musibah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (su’ul khatimah).” (Hadis Riwayat al-Turmuzi)

Sahabat yang dimuliakan,
Salah satu sifat orang mukmin adalah hati dan jiwanya sentiasa suka bantu membantu. Hati dan jiwanya akan resah apabila berlalu satu hati tidak ada bantuan yang dapat diberikan. Dia akan memberikan bantuan walaupun sekecil mana kepada saudara-sauadara yang perlukan bantuan dan khidmat daripada dirinya.

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah S.A.W. bersada yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya."
(Hadis Riwayat Muslim).

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa setiap bantuan dan pertolongan yang diberikan ikhlas kerana Allah, tidak menjadi sia-sia kerana jaminan daripada Allah SWT bahawa Dia akan membalas dengan balasan yang lebih baik samaada di dunia atau pun di hari akhirat.

Rasulullah SAW pernah menerangkan satu amalan yang dapat menyelamatkan kaum wanita dari azab neraka. Ketika beginda selesai berkhutbah hari raya yang berisikan perintah untuk bertakwa kepada Allah SWT. dan anjuran untuk mentaatiNya. Baginda pun bangkit mendatangi kaum wanita, baginda menasihati mereka dan mengingatkan mereka tentang akhirat kemudian baginda bersabda :

“Bersedekahlah kamu semua. Kerana kebanyakan kamu adalah kayu api Jahanam!”

Maka berdirilah seorang wanita yang duduk di antara wanita-wanita lainnya yang berubah kehitaman kedua pipinya, iapun bertanya : “Mengapa demikian, wahai Rasulullah?”

Baginda menjawab : “Kerana kamu banyak mengeluh dan kamu kufur terhadap suami!” (Hadis Riwayat Al- Bukhari)

Bersedekahlah kerana sedekah adalah satu jalan untuk menyelamatkan kaum wanita dari azab neraka.

Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud :
“Satu dirham mengatasi seribu dirham.”
Para sahabat bertanya, “Bagaimana berlaku demikian, ya Rasulullah?”
Rasulullah SAW. menjawab, “Seorang lelaki ada dua dirham, lalu disedekahkannya satu dirham yang paling baik. Seorang kaya mengeluarkan dari hartanya yang banyak dan disedekahkan seribu dirham. Maka satu dirham itu lebih baik.”

Mata wang dirham adalah mata wang yang lumrah digunakan di zaman Rasulullah SAW. Dari hadis diatas dapat kita mengambil pengajaran bahawa sumbangan si miskin walaupun kecil tetapi besar bagi si miskin kerana ia memerlukan wang tersebut untuk menyara kehidupannya, dia terpaksa berlawan dengan perasaan dan rasa hatinya sendiri dan sanggup memberikan sedekah tersebut dengan rasa ikhlas dan takwa .

Sebaliknya si kaya tidak merasai apa-apa kesulitan walaupun dia bersedekah sebanyak seribu dirham, kerana harta yang ia miliki jauh lebih banyak daripada apa yang disedekahkan.

Oleh itu Allah SWT. menilai bukan pada jumlah sumbangan tetapi ianya dinilai daripada sejauhmana pengorbanan dan kesusahan yang terpaksa ia lalui untuk memberi sumbangan. Itulah sebabnya kenapa satu dirham mengatasi seribu dirham.

Sifat cintakan harta boleh menjangkiti siapa sahaja tanpa mengenal orang miskin atau kaya. Berlatihlah bersikap dermawan sewaktu miskin, walaupun menderma seringgit mungkin seringgit yang kita dermakan nilainya melebihi seribu ringgit. Sekiranya amalan mulia ini diteruskan, percayalah kalian akan bersikap dermawan sewaktu kaya nanti.

Didalam satu wasiat Nabi SAW kepada Sayyidina Ali r.a. mengatakan bahawa dipintu syurga ada tertulis bahawa orang yang bakhil tidak dibenarkan masuk kedalam syurga.

Sekiranya kalian membiarkan diri bersikap bakhil, kemungkinan penyakit bakhil itu akan terus kekal sewaktu kalian kaya.Rebutlah peluang untuk bersedekah dan menyumbang sementara harta dan umur masih ada. Kalian tidak tahu, mungkin esok kalian jatuh miskin atau kembali kepada Allah SWT dan tidak berkesempatan untuk bersedekah.

Seorang anak lelaki bertanya Rasulullah SAW : "Sedekah mana yg lebih besar pahalanya?
Nabi SAW menjawab maksudnya : "Sedekah yg diberikan sedangkan pada masa itu engkau masih sihat dan sebenarnya engkau bakhil (merasa sayang nak dermakan harta kerana takut jadi fakir dan engkau berangan jadi kaya) maka jangan menangguh sedekah sehingga apabila roh sampai dikerongkongan lalu pada masa itu kau berkata, "ini untuk si anu ini untuk si anu sekian" dan sebenarnya harta engkau pada masa itu memang akan dimilki oleh orang lain." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sahabat yang dikasihi,
Banyak sekali keistimewaan bersedekah pada bulan Ramadan, maka hendaknya kalian bersegera mengerjakannya. Keluarkanlah dengan segera sedekahmu sesuai dengan keluasan yang ada padamu.

Dalam hadis Nabi SAW ada menjelaskan bahawa sedekah jariah yang diberikan dengan ikhlas semata-mata kerana Allah adalah salah satu saham akhirat yang akan mengalir terus pahalanya walaupun ia telah kembali menemui Allah SWT di alam Barzakh.

Kekayaan sebenar bukanlah kerana banyak ‘memiliki’ tetapi kerana banyak ‘memberi’. Justeru, Allah itulah zat yang Maha Kaya, kerana Dia-lah yang banyak memberi. Jika kalian banyak memberi akan meningkatkan kualiti jiwa. Jika kalian banyak menerima kalian akan hanya meningkatkan kuantiti harta. Kualiti jiwa itu matlamat, kuantiti harta itu cuma alat. Jangan tertukar antara alat dan matlamat.