Ahad, 19 Disember 2010

Kenapa Hati Kita Masih Terhijab?



Sahabat yang dirahmati Allah,

Setiap manusia dilahirkan mempunyai hati. Samaada hati itu hidup atau mati bergantung kepada pemilih hati itu sendiri. Jika ia berusaha mengenali Allah s.w.t dan mencari kebenaran maka hatinya akan jadi baik. Sebaliknya jika ia menjauhkan diri dengan Allah s.w.t dan melanggar perintah dan larangan-Nya maka hatinya akan menjadi sakit. Inilah kelebihan manusia daripada haiwan-haiwan iaitu mempunyai hati yang dapat mengenal Allah dengan sebenarnya hingga ia menjadi hamba Allah yang benar-benar takutkan Allah.

Ini di firmankan Allah s.w.t. yang bermaksud : "Apabila disebut nama Allah,gementarlah hati-hati mereka".

(Surah Al Anfaal ayat 2)

Hati yang terang-benderang begini dimiliki oleh para orang muttaqin, muhlisin, muqarrobin dan solehin. Hati mereka nampak dan kenal betul sifat-sifat keagungan Allah. Sebab itu mereka dapat benar-benar menghambakan diri kepada Allah s.w.t. Sebaliknya ada juga manusia yang hatinya gelap (buta) tidak nampak dan tidak kenal Allah.

Ini juga ada difirmankan oleh Allah s.w.t maksudnya :

"Adakah orang yang mengetahui bahawasanya apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu itu benar sama seperti orang yang buta (mengetahui) ? Hanyalah orang-orang yang berakal sahaja yang dapat mengambil pelajaran."

(Surah Ar Ra’d ayat 19)

Firman Allah s.w.t.lagi maksudnya :

"Mereka itulah orang-orang yang hatinya, pendengarannya dan penglihatannya telah dikunci oleh Allah dan mereka itulah orang orang yang lalai"

(Surah An Nahl ayat 108)

Dari Umar bin Al Khattab, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Cap penutup hati tergantung di kaki Arasy maka bila larangan Allah dilanggar dan yang diharamkan-Nya dianggap halal, Allah mengirim cap penutup hati ini lalu hati para pelanggar dikenakan cap ini".

Bila hati sudah buta, sudah dikunci mati oleh Allah s.w.t., tidak dapat lagilah ia mengenal Allah. Begitulah hati orang-orang kafir dan munaflk yang menyebabkan mereka menolak kebenaran. Walaupun kita sebagai umat Islam, ada juga dikalangan kita hatinya masih buta. Buktinya ialah kita masih tergamak membuat dosa (kecil atau besar). Orang yang masih buat dosa ialah orang yang tidak takutkan Allah . Orang yang tidak takutkan Allah . ialah orang yang tidak kenal siapa Allah . Tidak kenal Allah ialah lantaran kerana hati telah buta.

Sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya : "Sesungguhnya seorang Mukmin apabila melakukan dosa terjadilah satu bintik hitam di hatinya, maka jika dia bertaubat dan berusaha membuangnya selamatlah hatinya, dan kalau bertambah dosanya bertambahlah terkunci hatinya."


Sabda baginda lagi yang maksudnya:

"Orang yang membuat satu dosa hilanglah sebahagian akalnya untuk tidak kembali lagi selama-lamanya."

Kalau mata kita buta, kita tidak dapat melihat, tidak mengenal malah tidak dapat berjalan lagi. Begitulah kalau hati buta, kita tidak dapat mengenal Allah dan tidak dapat menempuh jalan syariat lagi. Kita tidak takut, tidak redha, tidak tawakkal, tidak yakin, tidak berharap kepada Allah, tidak cinta, tidak yakin dengan janji-Nya iaitu Syurga, Neraka, Hari Hisab, seksa kubur, dan lain-lain lagi. Dan bila amalan itu tidak ada di hati kita maka datanglah penyakit hati.

Firman Allah s.w.t.maksudnya :

"Dalam hati mereka ada penyakit lalu ditambah Allah penyakitnya dan bagi mereka seksa yang pedih disebabkan mereka berdusta."

(Surah Al Baqarah: 10)

Mereka akan terseksa di dunia dan di akhirat. Di dunia mereka kecewa, putus asa, keluh kesah, tidak tenang. Di akhirat lagi pedih. Antara penyakit hati yang Allah s.w.t. maksudkan itu ialah hasad dengki, dendam, buruk sangka, tamak, cinta dunia, bakhil, pemarah, penakut, riak, ujub dan sombong.


Sahabat yang dimuliakan,

Bersabda Rasulullah s.a.w. maksudnya : "Dalam diri anak Adam itu ada seketul daging. Bila baik daging itu baiklah seluruhanggota dan seluruh jasad. Bila jahat dan busuk daging itu jahatlah seluruh jasad. Ketahuilah, itulah hati".

(Hadis Riwayat Bukhuri dan Muslim)

Masaalah besar penyakit manusia adalah penyakit hati.Bila hatinya rosak , kotor, sakit dan berselaput maka akan rosaklah seluruh anggota manusia yang lain.

Terdapat beberapa sebab kenapa hati boleh terhijab . Perkara-perkara tersebuat adalah seperti berikut :

Pertama : Memakan makanan yang haram atau syubahat :

Bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:

"Hati itu ditempa dengan apa yang dimakan".

Memakan makanan yang haram bukan sahaja hati menjadi terhijab tetapi do'a seseorang juga tidak dimakbulkan oleh Allah s.w.t.

Daripada Abu Hurairah r.a. meriwayatkan, katanya Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Sesungguhnya Allah itu baik. Dia tidak menerima melainkan yang baik. Sesungguhnya Allah memerintahkan orang mukmin dengan apa yang diperintahkan kepada sekalian rasul dengan firman-Nya (seperti yang tersebut dalam hadis yang bermaksud) : Wahai sekalian rasul, makanlah makanan yang baik dan beramallah dengan amalan yang soleh. Firman-nya lagi : Wahai sekalian orang yang beriman! Makanlah makanan yang baik yang telah kami beri rezeki kepada kamu. Kemudian baginda menyebutkan seorang lelaki yang jauh perjalanannya, kusut masai rambutnya, dan berdebu mukanya menghulurkan kedua tangannya ke langit (berdoa) Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Padahal makanannya haram, minumannya haram, dan pakaiannya haram dan (mulutnya) disuapkan dengan yang haram. Maka bagaimanakah akan diperkenankan doanya." (Hadis Riwayat Muslim)

Antara langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengelak dari makanan yang haram ialah:

1. Jangan makan benda yang zatnya jelas haram seperti arak atau makanan yang dicampur arak atau daging yang tidak disembelih.

2.Jangan makan makanan yang bernajis sama ada sifatnya najis (kerana dibuat dari bahan yang tidak halal) atau kerana cara menyucinya tidak betul yakni tidak menurut syariat, menjadikan ia tetap najis (tetap tidak halal).

3. Jangan makan daging sembelihan yang tidak halal dan pembersihannya tidak menurut syariat.

4.Jangan makan makanan yang dibeli dengan duit yang haram (sekalipun makanan itu halal). Duit yang haram adalah seperti rasuah, duit riba, duit curi dan tipu.

5.Jangan kita makan dari usaha yang haram seperti riba, pelacuran, judi, nombor ekor dan lain-lain. Adapun makanan syubahat ialah makanan yang kita ragui halal atau haram dan duit syubahat ialah duit yang sumbernya kita ragui halal atau haram. Kedua-dua makanan dan duit yang syubahat itu wajib dielakkan supaya kita berpeluang memperolehi kejernihan ‘batin untuk mengenal Allah dengan pengenalan yang sebenarnya.

Hari ini banyak makanan di kedai-kedai makanan yang menulis perkataan “HALAL” dan “ISLAM” untuk tanda perniagaan mereka. Kita harus hati-hati juga sebab orang bukan Islam telah menyalahgunakan perkataan "HALAL” dan “ISLAM” itu untuk keuntungan perut dan poket mereka sahaja. Mereka tidak langsung takut pada Allah s.w.t. kerana mereka bukan orang beriman dan tidak ingin untuk mencari keredhaan-Nya.

Kedua :Makanan halal tetapi berlebih-lebihan di dalam pemakanan.

Rasulullah s.a.w. maksudnya :"Wadah yang paling dibenci oleh Allah ialah perut yang penuh dengan makanan yang halal".

Allah s.w.t. benci kepada perut yang penuh dengan makanan sebab perut yang ketat itu akan melemahkan kegiatan hati yakni tidak kuat untuk memandang pada alam ghaib. Bila hati lemah maka manusia jadi lalai dan malas (mahu tidur sahaja). Malas beribadah dan mudah terjebak dalam maksiat. Atas dasar inilah para solafussoleh hanya sedikit makannya.

Rasulullah s.a.w. selalu berlapar perut. Baginda pernah meletakkan batu di perut dan kemudian mengikat perut baginda dengan kain agar dengan itu tidak terasa kekosongan perut yang memang kosong. Baginda jarang kenyang. Tiga hari berlapar, satu hari kenyang. Dan selalunya satu hari baginda berpuasa, satu hari berbuka.

Nabi Sulaiman a.s yang kaya-raya itu juga begitu hidupnya. Selalu berpuasa dan kalau makan hanya roti kering dan air sejuk.

Nabi Yusuf a.s ketika menjadi menteri Mesir pun sehari puasa sehari berbuka. Bila ditanya mengapa baginda berbuat begitu, jawabnya, “Di hari aku lapar, aku dapat merasa aku adalah hamba yang memerlukan pertolongan Allah. Di hari aku kenyang aku dapat bersyukur pada Allah s.w.t. yang memberikan rezeki.”

Begitulah cara hidup Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul, orang-orang muqarrobin dan orang-orang soleh. Mereka berjuang dengan nafsu untuk membersihkan hati supaya merasa diri sebagai hamba Allah yang lemah dan hina dina. Dan cara hidup mereka itulah yang wajib kita contohi. Kita mesti sentiasa berperang dengan nafsu yang sentiasa mengajak kita lalai dari Allah.

Mari kita ubati hati kita dengan cara mengurangkan makan.

Hidangan makanan kita janganlah lebih dari dua jenis lauk. Ini adalah amalan Sayidina Umar. Beliau tidak makan lebih dari dua jenis lauk. Sebab bila lauk sudah bermacam-macam jenis, nafsu kita tambah besar untuk merasa semua jenis lauk.

(contoh sayur dan ikan, atau sayur dan ayam dll jangan campur ayam, daging, telor , udang dan sotong dalam satu hidangan)

Makanan itu biarlah sederhana, jangan terlalu sedap. Sebab kalau terlalu sedap kita tidak mampu mengawal nafsu dari makan lebih.


Ketiga : Pandangan dan Pendengaran yang Haram.

Telah sepakat orang-orang kita mengatakan: “Dari mata turun ke hati.” Ertinya hasil dari pandangan (termasuk pendengaran) bukan setakat di mata dan telinga tetapi akan bersambung dan berkesan ke hati. Kalau apa yang kita pandang dan dengar itu baik, maka hati kita akan menerima kebaikannya. Sebaliknya kalau yang kita pandang dan dengar itu maksiat dan mungkar (haram), maka hati kita akan bersalut kejahatan dan kemungkaran itu.

Allah s.w.t menyuruh lelaki beriman supaya menundukkan pandangan matanya kepada wanita yang bukan mahram, begitu juga Allah s.w.t menyuruh wanita beriman supaya menundukkan pandangan mereka kepada lelaki yang bukan mahram. Hikmah arahan ini adalah supaya mereka akan merasa kemanisan iman dan terpelihara hati mereka daripada cenderung kepada kemungkaran.

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan".

(Surah an-Nur ayat 30)

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya..."

(Surah an-Nur ayat 31)

Hati yang sentiasa menerima pandangan dan pendengaran yang mungkar ialah hati yang gelap pekat, buta dari melihat keagungan Allah. Hati itu tidak lagi takut pada Allah s.w.t., malah hilang cinta dan rindu pada Allah s.w.t

Kalau setiap hari hati kita terisi dengan zikrullah, bacaan al Quran, puasa, sembahyang sunat, membaca kitab dan mendengar pengajian agama, hati kita akan lembut, terasa indah dalam beribadah kepada Allah, rindu kepada kebaikan, benci dan takut kepada dosa. Tetapi kalau setiap hari kita isi dengan program hiburan di TV, melihat filem-filem dalam CD, berbual kosong, mengumpat dan mencaci, membaca majalah hiburan yang penuh maksiat dan mendengar lagu-lagu rock, nanti kita akan jadi malas beribadah, memandang kecil tentang cara hidup sunnah, tidak lagi rasa takut dengan Allah, tidak membesarkan Allah apalagi untuk rindu pada-Nya dan tidak suka lagi pada ahli-ahli agama dan lupa akhirat.

Hati kita jadi cinta kepada dunia dan segala hiburannya, mahu lepas bebas tanpa sekatan hukum Islam, malas berjuang dan berangan-angan ingin hidup lebih lama lagi. Itulah bukti-bukti menunjukkan tindakan lahir, pendengaran dan penglihatan kepada yang haram, akan membuatkan hati kita buta kepada kebenaran.

Mari kita ubati hati kita dengan membataskan pandangan dan pendengaran hanya kepada apa yang boleh mengingatkan kita kepada Allah, takut pada-Nya dan untuk berbakti pada-Nya.


Antara langkah-langkah yang patut diambil ialah:

1. Banyakkan membaca Al Quran dan terjemahannya, hadis dan kitab-kitab serta buku-buku agama termasuk majalah dan risalah yang berunsur dakwah. Dalam masa yang sama, elakkan daripada membaca buku-buku khayal, majalah hiburan dan akhbar-akhbar yang kosong dari kebenaran.

2. Selalu mengunjungi masjid, tempat pengajian agama, majlis dakwah, tahlil dan zikrullah dan elakkan dari tempat-tempat maksiat, majlis-majlis sosial liar (percampuran bebas) dan keluar rumah tanpa tujuan. Sebab di luar banyak pandangan dan pendengaran yang membawa kepada maksiat serta elakkan dari bergaul dengan kawan yang mengajak kita kepada maksiat.

3. Menziarahi orang-orang soleh, sebab dengan melihat mereka, dapat memberi kekuatan.

4. Ingat mati, kerana selalu mengingati mati akan melembutkan hati.


Sahabat yang dikasihi,

Ingatlah, hati orang Mukmin ialah hati yang sihat dan ceria manakala hati orang yang fasiq (berdosa) ialah hati yang sakit dan resah. Dosa itu akan mengundang resah dalam jiwa. Hati yang terhijab tidak akan merasai kebesaran Allah s.w.t. dan tidak akan bersalah apabila melakukan dosa. Oleh itu marilah kita sama-sama perbaiki hati-hati kita supaya sentiasa sihat, ceria dan sejahtera dan tidak terhijab. Kerana hati yang sejahtera dan salim akan dijemput oleh Allah s.w.t untuk memasuki Syurga-Nya.

Firman Allah s.w.t maksudnya : “Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jama’ah hamba-hamba-Ku. Masuklah ke dalam Syurga-Ku”

(Surah Al-Fajr ayat 27-30)

10 Sifat Peribadi Yang Mesti Dipupuk



Sifat peribadi yang luhur merupakan aset penting dan berharga dalam kehidupan seseorang. Ia menjamin kehidupan yang indah dan bahagia tidak kira lelaki mahupun wanita.
Tidak semua di kalangan kita memiliki sifat mulia yang luhur ini sejak azali.
Sebab itu ia harus dipupuk supaya sebati di dalam diri kita dalam menjalani kehidupan seharian.
Hayati 10 sifat peribadi luhur di bawah, tanamkan ke dalam hati sanubari, lalui kehidupan yang lebih bahagia…
1. Tulus
2. Rendah diri
3. Setia
4. Berfikiran positif
5. Perwatakan ceria
6. Bertanggungjawab
7. Percaya kepada diri sendiri
8. Pemaaf
9. Mudah berkira
10. Empati
Tulus
Tulus atau ‘transparent‘ merupakan sifat yang paling disukai oleh semua orang. Ketulusan akan membuatkan orang lain berasa aman dan dihargai dengan kehadiran kita.
Orang yang tulus tidak akan memperbodoh atau berbohong apabila berkata-kata. Sebaliknya sentiasa menyatakan kebenaran, tidak suka mengada-ngada, berpura-pura, mencari-cari alasan atau memutar belitkan fakta.
Prinsip tulus ialah “berkata benar walaupun pahit”. Namun begitu, adalah lebih sempurna jika sifat tulus ini digabungkan dengan kebijaksanaan. Supaya ketulusan tidak menjadi penyebab yang boleh merugikan diri sendiri.

Rendah diri

Bukan rendah diri di atas kelemahan, tetapi merendah diri kerana kehebatan dan kekuatan. Inilah yang sukar manusia lakukan. Hanya orang-orang yang berjiwa kental mampu bersikap rendah diri. Ibarat padi yang semakin berisi semakin menunduk.
Orang yang bersikap rendah diri mampu mengakui dan menghargai keunggulan orang lain. Sikap sebegini mampu memberi impak terhadap dua situasi.
Pertama, membuatkan orang yang lebih tinggi pangkatnya daripada kita untuk berasa segan dengan kita.
Kedua, membuatkan orang yang lebih rendah pangkatnya daripada kita untuk tidak merasa kekok apabila berinteraksi dengan kita. Hebat bukan?

Setia

Kesetiaan merupakan satu sifat yang tinggi nilainya. Orang yang setia sentiasa dipercayai dan boleh diharap, selalu menepati janji, mempunyai komitmen yang tinggi, rela berkorban dan tidak berkhianat.

Berfikiran positif

Orang yang bersikap positif sentiasa berusaha melihat segala sesuatu dengan pandangan positif, meskipun dalam situasi yang buruk.
Orang sebegini lebih suka membicarakan kebaikan daripada keburukan orang lain, lebih suka membicarakan tentang harapan daripada kekecewaan, lebih suka mencari penyelesaian daripada berputus asa, lebih suka memuji daripada mengecam, dan sebagainya.

Berperwatakan ceria

Bukan semua orang dianugerahi wajah yang ceria. Oleh itu keceriaan tidak harus dinilai dari ekspresi wajah dan tubuh tetapi sikap dalaman (hati).
Orang yang ceria adalah orang yang dapat menikmati hidup, tidak suka mengeluh dan selalu berusaha meraih kegembiraan. Dia juga mampu mentertawakan situasi, orang lain, juga dirinya sendiri. Dia mempunyai potensi untuk menghibur dan mendorong semangat orang lain.

Bertanggungjawab

Orang yang bertanggungjawab akan melaksanakan kewajipannya dengan bersungguh-sungguh.
Andai melakukan kesalahan, dia berani mengakuinya. Ketika mengalami kegagalan, dia tidak akan mencari kambing hitam untuk disalahkan.
Bahkan kalau dia merasa kecewa dan sakit hati, dia tidak akan menyalahkan siapapun. Dia menyadari bahwa dirinya sendirilah yang bertanggungjawab atas apa pun yang dialami dan dirasakannya.

Percaya kepada diri sendiri

Rasa percaya kepada diri sendiri memungkinkan seseorang itu menerima dirinya sebagaimana yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t, menghargai dirinya dan menghargai orang lain.
Orang yang percaya kepada diri sendiri mudah menyesuaikan diri dengan lingkungan dan situasi yang baru. Dia tahu apa yang harus dilakukannya dan melakukannya dengan baik.

Pemaaf

Kebesaran jiwa dapat dilihat dari kemampuan seseorang memaafkan orang lain. Orang yang berjiwa besar tidak membiarkan dirinya dikuasai oleh rasa benci dan permusuhan.
Ketika menghadapi masa-masa sukar dia tetap tegar, tidak membiarkan dirinya hanyut dalam kesedihan dan kekecewaan.

Mudah berkira

Orang yang mudah berkira menganggap hidup ini ringan. Dia tidak suka membesar-besarkan masalah kecil. Bahkan berusaha mengecilkan masalah-masalah besar.
Dia tidak suka mengungkit masa lalu dan tidak mahu khuatir dengan masa depan. Dia tidak mahu memeningkan kepada dan memberi tekanan kepada diri sendiri dengan masalah-masalah yang berada di luar kawalannya.

Empati

Empati adalah sifat yang sangat mengagumkan. Orang yang mempunyai sifat empati bukan sahaja merupakan seorang pendengar yang baik tetapi juga dapat menempatkan diri di tempat orang lain.
Ketika berlaku konflik dia akan selalu mencari jalan keluar terbaik bagi kedua belah pihak. Dia juga tidak suka memaksa pendapat dan kehendaknya sendiri. Dia selalu berusaha memahami dan mengerti perasaan orang lain.

Kesimpulan

10 sifat peribadi luhur di atas sangat berharga jika dapat diatasi dalam hati masing-masing. Bukan mudah, tetapi berbaloi jika dapat sentiasa ditanam, dipupuk dan dirasai oleh semua orang. Cubalah!

Wallahu a’lam.

Ahad, 12 Disember 2010

Seorang Mukmin Perlu Memiliki Qudwah Hasanah Seperti Peribadi Rasulullah s.a.w.



Sahabat yang dirahmati Allah,

Kelahiran Rasulullah s.a.w. adalah umpama cahaya bulan yang menyinari kegelapan malam. Kebangkitan Rasulullah sebagai utusan Allah telah berjaya memimpin dan membimbing umat manusia ke jalan yang lurus iaitu Islam.

Firman Allah dalam surah al-An'am ayat 153 yang bermaksud: "Dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus maka ikutilah ia dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain) kerana jalan-jalan ini mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertakwa".

Rasulullah bukan saja menyampaikan risalah dan ajaran Islam semata-mata bahkan baginda sendiri menunjukkan qudwah hasanah iaitu contoh bagaimana yang dikehendaki oleh Islam. Segala tingkah laku, percakapan dan sikap baginda mencerminkan keperibadian Islam yang dituntut dan dikehendaki oleh Allah untuk dicontohi oleh umat manusia.

Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud: "Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu sebaik-baik teladan bagi kamu (untuk diikuti) iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kemuliaan hidup) di akhirat dan orang yang banyak mengingati Allah".

Firman Allah ini dengan jelas menerangkan kepada kita bahawa Rasulullah adalah contoh ikutan terbaik untuk kita bagi menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Dengan kata lain, Rasulullah adalah contoh utama bagi kita umat Islam. Pada diri Rasulullah itu terletak contoh pemimpin yang baik, bapa yang baik, suami yang baik, jiran yang baik, peniaga yang baik, sahabat yang baik dan banyak lagi. Pendek kata, kita selaku umat Islam tidak perlu mencari-cari peribadi atau qudwah hasanah daripada tokoh-tokoh lain untuk dicontohi dan diikuti selain daripada Rasulullah. Ini kerana umat Islam telah pun dibekalkan dengan contoh keperibadian yang terbaik yang merangkumi segenap aspek iaitu Nabi Muhammad s.a.w.


Sahabat yang dimuliakan,

Walau sehebat mana sekalipun manusia itu, mereka tetap tidak dapat menandingi Rasulullah yang sentiasa mendapat jagaan dan peliharaan Allah.

Sahabat-sahabat pernah bertanyakan kepada saidatina Aisyah mengenai akhlak Rasulullah. Dia menjawab: "Akhlak Rasulullah adalah al-Quran".

Jawapan itu dengan jelas menerangkan betapa Rasulullah telah menjadikan al-Qur'an itu sebagai sesuatu yang hidup yang dapat dilihat dan diikuti bukan saja oleh umat Islam bahkan oleh sekalian umat manusia. Oleh demikian, segala ajaran dan perintah Allah yang terdapat di dalam al-Quran dapat kita lihat secara praktikalnya sama ada menerusi hadis yang diriwayatkan oleh periwayat hadis yang muktabar ataupun melalui seerah Nabi Muhammad.

Oleh itu, segala contoh ikutan yang ingin diambil oleh umat Islam sama ada sebagai pemimpin, ketua keluarga, majikan, pendidik, pelajar, tokoh korporat dan sebagainya semuanya ada di dalam diri Rasulullah s.a.w. Dengan itu, memperbetulkan kembali model ikutan kita dengan menjadikan Rasulullah sebagai 'role model' adalah satu kewajiban dan tuntutan agama yang perlu dilakukan oleh kita umat Islam.

Beberapa pengajaran dan contoh tauladan yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. berkenaan kehidupannya untuk kita jadikan panduan serta ikutan dalam mengisi dan mempertingkatkan keimanan kita bagi memperolihi darjat taqwa yang diharap-harapkan. Maka untuk itu, dibentangkan sebahagian dari bimbingan dan teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. khasnya berkenaan perkara-perkara berikut:

Rumahtangga :Keharmonian hidup berumahtangga adalah salah satu faktor utama dalam membina sesebuah masyarakat yang baik dan terhormat. Rumahtangga yang baik dan harmoni ini sukar diperolihi tanpa adanya kerjasama serta saling hormat menghormati antara suami isteri dan lain-lain anggota keluarga.

Suami seharusnya berkelakuan baik dan berakhlak mulia dalam mengendalikan rumahtangganya, di samping itu sentiasa memperlihatkan contoh-contoh yang baik dalam pergaulan supaya ianya mudah diteladani oleh isteri dan anak-anaknya.

Di dalam rumahtangga, para suami tidak sewajarnya bertindak sebagai seorang yang keras dan bengis yang tahu mengarahkan itu dan ini dan mahukan semuanya tersedia untuknya tanpa memikirkan suasana rumahtangga yang memerlukan kasih sayang, kerjasama dan saling bantu membantu.

Dalam kehidupan berumahtangga, Rasulullah s.a.w. telah memperlihatkan suatu teladan yang baik yang boleh diikuti oleh seseorang suami dalam mengurus rumahtangganya. Sebagai seorang suami Rasulullah s.a.w. amat bertimbang rasa dan bersedia membantu keluarganya. Banyak kerja yang dilakukan dengan tangannya sendiri, seperti menjahit pakaian, memerah susu kambing dan apabila mahu makan Baginda makan apa-apa makanan yang sedia ada saja.

Rasulullah s.a.w. sangat marah kepada suami yang memukul isterinya sebagaimana memukul hamba abdi, sabdanya yang bermaksud:

" Tidakkah seseorang dari kamu merasa malu untuk memukul isterinya sebagaimana dia memukul hambanya? Di waktu pagi dipukul isterinya kemudian di waktu malam ditidurinya pula".

Di samping Rasulullah s.a.w. menunjukkan panduan dan contoh tentang hidup tolong menolong serta perasaan kasih sayang kepada isteri, Rasulullah s.a.w. juga menunjukkan suatu teladan yang baik khususnya kepada mereka yang mempunyai isteri yang lebih dari seorang. Sebagaimana yang diketahui umum bahawa Rasulullah s.a.w. mempunyai beberapa orang isteri yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Ada yang masih muda dan cantik, dan ada yang sudah berumur.

Walau bagaimanapun, Rasulullah s.a.w. tidak sekali-kali bersikap pilih kasih dalam layanan kasih sayang antara mereka. Masa dan giliran mereka dibahagikan dengan adil serta cukup rapi sekalipun dalam masa Baginda sakit. Apabila Rasulullah s.a.w. hendak musafir, Baginda menjalankan undi antara isteri-isterinya itu dan hanya yang terkena undi saja yang berhak bersamanya.

Jiran :Agama Islam sangat memandang berat tentang masalah berjiran di kalangan masyarakat umat Islam khususnya dan umat manusia umumnya. Islam memberikan perhatian yang sungguh berat ke arah menjalin hubungan yang baik dan harmoni di kalangan masyarakat sesuatu tempat.

Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. telah memberi panduan dan ajaran kepada umat Islam supaya mengelakkan diri dari segala sesuatu yang mengelakkan diri dari segala sesuatu yang boleh mencetuskan rasa kurang baik sesama jiran. Dalam salah satu sabdanya, Rasulullah s.a.w. telah menerangkan:

Maksudnya: ' Tidak akan masuk Syurga seseorang yang jirannya tidak merasai selamat dari kejahatannya"

Pemimpin tentera :Rasulullah s.a.w. bermesyuarat bersama-sama sahabat-sahabat untuk membincangkan strategi yang perlu dirancang apabila mengetahui satu pakatan jahat kaum musyrikin Mekah untuk menyerang Muslimin di Madinah. Salman Al-Farisi mencadangkan untuk membina parit. Cadangan Salman ini diterima baginda s.a.w lalu memerintahkan menggali parit di sekeliling Madinah. ‘Khandak’ yang bermaksud ‘parit’ diambil nama sempena peristiwa menggali parit sebagai strategi peperangan di dalam peperangan ini yang dipanggil 'Perang Khandak'

Dari hadis riwayat Bukhari dari Sahl bin Saad berkaata: "Kami bersama-sama Rasulullah di dalam kubu, ada yang menggali sedang kami mengangkut tanah di atas belakang kami sambil Rasulullah bermadah".

Baginda "turun padang" dan menunjukkan qudwah hasanah bersama-sama dengan sahabat-sahabat dan kaum Muslimin yang memperjuangkan Islam untuk merasakan kepayahan, kesusahan, kelaparan yang dihadapi. Disamping melaungkan kata-kata semangat untuk menanamkan keyakinan dan semangat yang kukuh, tidak goyah dan gentar. Akhirnya tentera Muslimin berjaya mengalahkan tentera kafir dengan pertolongan Allah s.w.t menghantar angit ribut menerbangkan kemah-kemah pertahanan musuh.


Sahabat yang dikasihi,

Selain daripada qudwah hasanah (contoh yang baik) darisegi peribadi baginda, baginda juga bersifat lemah lembut bila berhadapan dengan kejahilan manusia. Contoh apabila seorang Arab Desa pernah kencing di dalam masjid Nabawi, Sayyidina Umar hendak memukul Badawi tersebut tetapi dihalang oleh Rasulullah s.a.w dengan meminta sebekas air dan menjiruskan air tersebut ditempat terkena air kencing sebagai satu dakwah untuk memujuk Badawi tersebut kepada ajaran Islam.

Satu lagi sifat yang ada pada diri Rasulullah s.a.w adalah sifat ihsan. Rasulullah s.a.w.telah memberikan makna Ihsan sebagai “Hendaklah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat Allah, kiranya engkau tidak melihatNya, maka sesungguhnya Allah tetap melihat kamu.”

Dalam hubungan dengan pembinaan akhlak insan, kita kena faham bahawa akhlak Rasulullah adalah hasil didikan terus dari Allah s.w.t. Rasulullah merealisasikan akhlak yang terkandung dalam ajaran al Qur'an (khuluqul Qur'an) atau menzahirkan akhlak al Qur'an. Sekiranya ingin melihat manusia yang sedar kepada konsep ihsan dan melaksanakan dalam kehidupan sehariannya maka lihatlah apa yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam amalan kehidupannya (sunnah).

Bagaimana konsep ihsan ini dapat membentuk akhlak insan? Kesedaran ke atas konsep ihsan ini sewajarnya timbul dari dalam diri seseorang dan menjadikan seseorang itu merasakan dirinya sentiasa di perhatikan oleh Allah s.w.t.


Sahabat yang dikasihi,

Qudwah hasanah, bersikap lemah lembut dan sifat ihsan adalah satu bentuk dakwah yang paling berkesan sekali untuk kita mengajak orang lain kepada kebenaran Islam. Betapa ramai orang kafir dizaman Nabi s.a.w telah memeluk agama Islam disebabkan mereka melihat contoh dan akhlak yang baik ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.

Selain dari sifat-sifat yang dinyatakan di atas, sebagai seorang Mukmin dan menjadi para dai'e kita mestilah menjadikan dirinya contoh ikutan yang baik kepada masyarakat. Segala tingkah-lakunya adalah menjadi gambaran kepada prinsip-prinsip Islam serta adab-adabnya seperti dalam hal makan minum, cara berpakaian, pertuturan, dalam suasana aman, dalam perjalanan malah dalam seluruh tingkah laku dan diamnya.

Marilah kita membawa qudwah hasanah, bersikap lemah lembut dan bersifat ihsan dalam kerja-kerja dakwah dan tarbiyyah. Semoga dengan usaha-usaha kita ini akan mendapat keredhaan Allah s.w.t. dan ditempatkan kita dikalangan hamba-hamba-Nya yang mendapat kemuliaan di hari akhirat nanti.

BIARKAN AKU MENANGIS...


Di tengah malam, para hamba yang membelah kegelapan, mengharap ampunan Allah dengan menumpahkan semua air matanya. Tersungkur dalam sujudnya. 'Biarkan aku menangis Ya Allah, sebelum datang hari yang penuh tangisan. Sebelum terbakar semua tulang dan sebelum datang malaikat maut yang tidak pernah mengingkari perintahMu.'

'Aku tangisi diriku sebelum datang hari yang penuh tangisan dan sebelum datang hari yang tidak bermanfaatnya tangisan. Dua mataku seperti awan yang menangis menumpahkan air mata bagaikan hujan, menyembuhkanku dari rasa takut kepadaMu, sebelum air mata berubah menjadi darah dan sebelum titik hujan berubah menjadi batu.


Biarkan aku menangis Ya Allah, mengharap ampunanMu!'

Ketahuilah, tangisan dan air mata yang mengalir bertanda hati dan perasaan yang lembut. Mata yang tidak menangis menunjukkan kerasnya hati dan perasaan. Itulah sebabnya Rasulullah Shalallahu Alaihi wa Salam menganjurkan kita agar menangis. 'Diharamkan neraka atas mata yang menangis kerana takut kepada Allah.' (HR. Ahmad).


Wassalam,

Isnin, 6 Disember 2010

SALAM MAAL HIJRAH 1432 HIJRAH...



Selamat menyambut Tahun Baru hijrah...bersamalah kita menghayati hijrah Rasulullah SAW...Semoga tahun ini lebih baik dari semalam...dan membawa sinar baru buat kita semua sebagai Hamba Allah di muka bumi ini...Allahuakbar3x Walillahilhamd...

Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya:

“Barangsiapa yang hari ini
lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan yang beruntung.
Barangsiapa yang hari ininya sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang kerugian. Barangsiapa yang hari ininya lebih teruk dari
semalam, maka dia dari kalangan yang celaka”

Sabtu, 4 Disember 2010

CARILAH HATIMU


Bismillahirohmanirohim...

Kau mesti mulakan langkah mujahadah ini sekali lagi. Berbekalkan kata pujangga, kebaikan itu kerapkali perlu dimulakan berkali-kali. Tidak ada istilah putus asa dalam mengharap keampunan dan keredhaan Allah. Walaupun berkali-kali mundur dan terbentur, tetapi itu bukan alasan untuk berhenti. Berhenti ertinya mati – mati hati dalam mengharapkan cahaya Ilahi. Hakikatnya itu lebih bahaya daripada matinya jasad yang lahir ini.

Ya, kau perlu mulakan sekali lagi. Begitu bisikan ilmu menolak rasa ragu. Selalu. Walaupun terasa diri diselubungi selimut dosa dan kemelut alpa, jangan sekali-kali putus asa. Begitu kata jiwa yang menjerit tanpa suara. Allah tidak akan menutup pintu keampunannya… kunci pintu itu adalah harapan. Selagi ada harapan, selagi itulah ada perjuangan. Tewas dalam satu pertempuran tidak bererti tewas dalam satu peperangan. Begitulah jua dalam peperangan melawan syaitan dan hawa nafsu ini.

Tidak ada jalan lain wahai diri, kecuali bangun dan terus bermujahadah. Hati itu boleh berkarat, pencucinya adalah Al Quran dan ingatkan mati. Begitu panduan yang diberikan oleh Rasul junjungan. Jua teringat pesan Imam Ghazali:
“Carilah hatimu di tiga tempat… Temui hatimu sewaktu bangun membaca Al Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, kau carilah hatimu ketika duduk tafakkur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati!”

Semak-semak dalam kehidupan harianmu. Bagaimana awal pagimu… Telahkah kau buka setiap hari barumu dengan hati yang bersyukur? Telahkah kau ucapkan, segala puji bagi Allah yang menghidupkan aku daripada kematian yang sebentar dan kepada-Nyalah kami akan dikembalikan? Kemudian mintalah berlindung daripada sifat malas, takut, bakhil dan penguasaan orang lain terhadapmu. Senyum. Dan teruskan bersuci dengan mandi dan wuduk. Basuh wajahmu, fikiranmu, pendenganmu dan penglihatanmu daripada cela dosa dan prasangka. Kemudian dirikan solat Subuh. Pinta hidayah, kesihatan, kekuatan dan kesabaran dalam kalimah-kalimah doa dan munajat itu.

Tidak mengapa sekiranya hati terganggu oleh karenah-karenah manusia atau mainan rasa. Tetapi capai segera Al Quran dan bacalah. Bacalah, itu hakikatnya menjana kekuatan jiwa untuk menghadapi badai kehidupan. Jiwa yang tidak membaca al Quran umpama talipon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, tidak berguna… Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran, tanpa al Quran segalanya tidak berguna.

Jangan mendaki puncak hanya untuk meninggikan tempat jatuh. Jangan memburu fatamorgana kemewahan dunia hanya untuk ditipu olehnya. Ingat wahai diri, janji kesibokan yang tanpa henti, kelesuan yang tiada penghujung, kejemuan yang senentiasa mencengkam, kebimbangan tanpa kesudahan, buat pemburu-pemburu dunia yang bagaikan anjing rakus memburu bangkai. Sebaik-baik bekalan adalah taqwa. Sebaik-baik perlindungan adalah Al Quran. Mereka yang begini sahaja mampu ‘menukar’ bangkai dunia menjadi baja dalam kehidupan.
Burulah kehidupan dengan semangat orang yang bersedia untuk mati. Jadilah insan bijaksana yang menghayati pesanan Rasulullah agar sentiasa mengingati mati dan bersedia untuk menghadapinya. Jadilah umpama para sahabat Rasulullah s.a.w yang hidup bahagia, tenang dan aman walaupun dunia ditadbir dan diurus dengan cekap dan berkesan. Jangan jadi Namrud, Firaun dan Haman yang mengurus dunia penuh dengan ketamakan dan kezaliman. Nanti kau diburu oleh resah, gelisah, kesibokan, kejemuan, kemarahan yang tiada berkesudahan.

Ingatlah wahai orang yang bermujahadah… tidak mengapa sekiranya engkau tidak sampai di hujung jalan, cukup sekadar kau telah menempuh jalan. Justeru ketenangan dan kebahagiaan itu bukan hanya ada di hujung jalan, tetapi ada di sepanjang jalan…Genggam al Quran, ingat mati dan berangkatlah. Jalan mujahadah itu susah tapi indah!